Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
13 Julai 2020 - 16 Julai 2020
129) PELUANG PEKERJAAN NEGERI SELANGOR
Tahun: 2020
Sesi: 2
Isu: Pekerjaan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah Kerajaan Negeri bercadang memberikan peluang perniagaan kepada para belia dan beliawanis untuk memulakan kerjaya dalam bidang perniagaan, pertanian, perladangan, perindustrian dan pelancongan?
Soalan ini dijawab bersekali dengan Pertanyaan Bertulis No 134 berhubung dengan Bantuan kepada Belia dan Rakyat yang tiada Pekerjaan Tetap.
Kerajaan Negeri sentiasa prihatin untuk menambah baik keadaan ekonomi anak muda. Ini termasuklah dalam membantu meningkatkan pendapatan anak muda di Negeri Selangor. Berdasarkan data dari Institut Penyelidikan Pembangunan Belia (IYRES), populasi belia di Negeri Selangor merangkumi hampir separuh daripada populasi rakyat Negeri Selangor yang berjumlah seramai 6 juta orang.
Umur
2018 2019
15-30
1,601,700 orang 1,558,400 orang 30-40 3,118,700 orang 2,953,900 orang Jumlah 4,720,400 orang 4,512,300 orang
Sumber: Cawangan Pengurusan Data, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia (IYRES)
Sementara itu, data dari Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) pula menunjukkan kadar pengangguran yang dicatatkan di Negeri Selangor adalah seperti berikut:-
- 2016 (3.2%)
- 2017 (2.8%)
- 2018 (2.8%)
Sumber: Jabatan Statistik Malaysia
Sehubungan itu, antara langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri memberikan peluang perniagaan kepada para belia dan beliawanis untuk memulakan kerjaya dalam bidang perniagaan, pertanian, perladangan, perindustrian dan pelancongan adalah seperti berikut:-
- Program Karnival Kerjaya – Selangor Job Fair
Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Modal Insan telah menganjurkan program Karnival Kerjaya (Job Fair) secara berkala (2 kali setahun). Program ini dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Selangor (JTK) dan Jobs Malaysia bermula pada tahun 2014.
Setiap tahun Kerajaan Negeri telah menganjurkan program berskala mega buat julung kalinya iaitu Selangor Mega Job Fair. Penganjuran program ini telah melibatkan sebanyak 210 syarikat swasta terpilih yang mengadakan temuduga terbuka (walk in interview) selain 20 Agensi/ Jabatan Kerajaan turut terlibat menjayakannya. Melalui penyertaan syarikat swasta dan agensi terlibat, sekitar 12,000 peluang pekerjaan telah ditawarkan termasuklah oleh 20 majikan yang turut menawarkan peluang ini kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Hampir 20,739 pengunjung mendapat manfaat melalui program ini. Jumlah permohonan yang berjaya mendapatkan tawaran pekerjaan pada hari tersebut ialah seramai 3,497 orang. Program yang dilaksanakan ini telah berjaya melibatkan pemohon berdaftar seramai 8,493 orang.
Program ini juga merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk mengurangkan kadar pengangguran di kalangan belia terutamanya selain membantu syarikat-syarikat yang memerlukan tenaga kerja dengan mengutamakan penglibatan warga tempatan berbanding warga asing.
- Program di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan
Kerajaan Negeri turut mengadakan program siri latihan keusahawanan secara atas talian dengan kerjasama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan beberapa moderator kursus yang terpilih. Intipati kursus adalah modul mudah yang meliputi jualan, pemasaran dan kewangan secara atas talian. Peserta dibimbing untuk mudah membina perniagaan dalam masa yang singkat.
- Program di bawah Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani
Kerajaan Negeri menggalakan penglibatan Generasi Muda dalam Sektor Pertanian dan memperkasakan usahawan-usahawan Generasi Muda yang telah pun memulakan Projek-projek Pertanian.
Sehubungan itu, Kerajaan Negari telah melaksanakan pelbagai Program untuk Generasi Muda yang berminat menceburi sektor pertanian sebagaimana antaranya :-
- Program Agropreneur Muda / Petani;
- Program Bantuan Peralatan Pertanian;
- Kursus dan Seminar kepada Generasi Muda; dan
- Rantaian E- Bekalan Digital Selangor (SELDEC) Rider.
- Skim Bantuan HIJRAH Selangor
HIJRAH Selangor menyediakan pinjaman kewangan secara berperingkat bermula tahun 2015. Sebelum ini program pinjaman kewangan ini dikenali sebagai Mikrokredit Bersepadu yang menggabungkan skim-skim mikrokredit SKIMSEL, MIMBAR dan WALA yang telah dilaksanakan semenjak tahun 2010. Ia merupakan satu sistem pembiayaan modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan kepada penjaja dan peniaga kecil yang menghadapi masalah kekurangan modal dan peluang mendapatkan modal tambahan. Pinjaman berperingkat ini dikategorikan mengikut skim 1 hingga 4 dan jumlah kelulusan diberikan sehingga RM50,000.00 mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.
- Program Latihan Kemahiran Keusahawanan atau KPS Entrepreneurship Development Programmes yang dilaksanakan oleh Kumpulan Peransang Selangor Berhad
Program Latihan Keusahawanan KPS telah dilaksanakan untuk menangani isu pengangguran dan menggalakkan para peserta untuk meningkatkan keyakinan terhadap keusahawanan dan memulakan perniagaan berskala kecil atau meningkatkan daya saing mereka dalam perniagaan yang telah dijalankan.
Program-program latihan ini terbuka kepada peserta yang tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan atau isi rumah berpendapatan rendah atau mereka yang tinggal di bawah garis kemiskinan (RM1,500 setiap rumah tangga sebulan). Pada tahun 2019, KPS telah memperuntukkan sebanyak RM471,278.00 untuk menganjurkan lima jenis program keusahawanan dan program ini telah melibatkan seramai 143 peserta dari sembilan daerah di Selangor. Objektif program ini adalah untuk meningkatkan kemahiran keusahawanan peserta dan seterusnya meningkatkan status sosioekonomi kumpulan sasaran.
Antara program yang disediakan adalah seperti :
- Home Care for Elderly (Caregiver) – Pusat Jagaan Orang Tua;
- Perkhidmatan selepas bersalin (postnatal);
- Latihan Penternakan;
- Program Latihan Eksport (Malaysian External Trade Development Corporation (MATRADE); dan
- Program Pemberdayaan Wanita
-
Apakah inisiatif yang Kerajaan Negeri bakal lakukan bagi mengatasi masalah pengangguran di kalangan graduan yang berlaku di Negeri Selangor?
Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pembangunan Generasi Muda, Sukan Dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor akan meneruskan penganjuran Karnival Kerjaya Selangor di Stadium Tertutup Kuala Selangor yang telah ditunda pada 15 Mac 2020 yang lalu kerana Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diumumkan berikutan penularan Covid 19. Karnival kerjaya dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ini akan menawarkan peluang pekerjaan terbuka kepada rakyat Selangor yang berumur dari 18 hingga 60 tahun. Sebanyak 30 majikan terpilih akan mengadakan temuduga terbuka mengikut garis panduan Majlis Keselamatan Negara yang telah ditetapkan.
Selain itu, perancangan Program Pembangunan Modal Insan pasca Covid 19 berkonsepkan latihan di mana program ini bukan sahaja mensasarkan khusus kepada golongan belia malah terbuka kepada remaja, wanita, veteran, dan komuniti. Program ini akan memfokuskan aspek kemahiran nilai tambah yang dapat menjana pendapatan individu dan juga keluarga. Ini bagi memastikan rakyat Selangor bijak untuk mencari peluang selain membantu mengurangkan kadar pengangguran di Selangor serta menerapkan budaya mencipta pekerjaan sendiri berbanding kebergantungan ekonomi individu terhadap pasaran kerja. Medium latihan adalah terdiri daripada latihan di dalam kelas dan latihan secara maya. Kerajaan Negeri Selangor juga akan berkerjasama dengan pusat latihan seperti Kolej Komuniti dan Giat Mara untuk memperkasa kemahiran dengan nilai tambah bagi rakyat Selangor. Di samping itu, MBI Selangor juga turut mengambil inisiatif dalam perancangan program mempertingkat kemahiran belia di mana jaminan pekerjaan akan diberikan kepada peserta program setelah tamat tempoh latihan bersama syarikat-syarikat yang terlibat.
Kerajaan Negeri Selangor mempunyai jalinan kerjasama dengan pihak JobsMalaysia di mana laman web JobsMalaysia berfungsi sebagai padanan dan carian pekerjaan atas talian bagi seluruh rakyat Malaysia. Pencari kerja khususnya graduan boleh mendaftar di laman web www.jobsmalaysia.gov.my untuk mencari pekerjaan semasa pasca Covid 19 dan mendapat notifikasi padanan pekerjaan melalui emel yang telah didaftarkan secara percuma.