Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

220) PELUANG PEKERJAAN DI ANAK SYARIKAT

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tuan Budiman Bin Mohd Zohdi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah anak syarikat negeri dapat membantu dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada belia Selangor?

    Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) mempunyai dua belas anak syarikat yang terdiri daripada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), Tourism Selangor Sdn Bhd (TSSB), SSIC Berhad, Pendidikan YS Sdn Bhd (Unisel), Majlis Sukan Negeri Selangor (Holdings) (MSNS(H)), Bukit Beruntung Golf & Country Resort Berhad (BBGC), Rantaian Mesra Sdn Bhd (RMSB), Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), Yayasan Dar Al Qard Al Hasan Selangor (YAQ), Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB). Setiap anak-anak syarikat negeri ini memberi peluang pekerjaan kepada belia-belia di Negeri Selangor. Sebagai contoh, syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) melalui Program Rancangan Kerjaya Rakyat Selangor (“RKRS”), beliabelia diberi peluang kursus-kursus latihan percuma yang disediakan oleh KDEB. Program ini bertujuan untuk meningkatkan peluang mendapat pekerjaan atau memulakan perniagaan sendiri sebagai usahawan.

    Melalui program RKRS, belia diberi peluang untuk meningkatkan kemahiran diri menerusi pelbagai kursus latihan, seperti Teknologi Maklumat, Aplikasi Perisian Komputer, Perbankan dan Kewangan Islam, Pengurusan dan Operasi Halal, Perakaunan, Pencukaian dan Pengauditan dan banyak lagi. Selain itu, program ini juga menawarkan kurusus-kursus keusahawanan seperti Menjahit, Penjagaan Kanak-kanak, Kursus Mutawif, Penternakan, Percetakan Segera dan Bakeri. Program berterusan ini bertujuan untuk membantu Kerajaan Negeri meningkatkan peluang pekerjaan selain kemahiran kelayakan di kalangan belia.

    Peluang pekerjaan ini juga diberikan oleh syarikat Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), di mana PNSB meletakan keutamaan kepada anak Negeri Selangor dalam membuat pemilihan calon pekerja-pekerja di syarikat tersebut dan seterusnya melihat kelayakan-kelayakan yang setara dengan jawatan yang ditawarkan. Selain daripada itu, syarikat Tourism Selangor Sdn Bhd (TSSB) anak syarikat Negeri Selangor yang merupakan peneraju sektor pelancongan di

    Negeri Selangor menawarkan peluang kepada belia-belia dari universiti dan kolej di seluruh Negeri Selangor untuk menjalani latihan industri di syarikat berkenaan antara tempoh empat sehingga enam bulan dan seterusnya menawarkan peluang pekerjaan kepada pelajar-pelajar tersebut berdasarkan kelayakan dan prestasi pelajar-pelajar tersebut semasa menjalani latihan industri. Peluang pekerjaan ini juga diberi oleh syarikat SSIC Berhad yang merupakan agensi yang mempromosikan Negeri Selangor sebagai destinasi terbaik untuk para pelabur, di mana sekiranya pelabur-pelabur luar melabur ke Negeri Selangor secara tidak langsung peluang pekerjaan di sektor-sektor tersebut akan meningkat. Kemasukan jumlah pelaburan ke Negeri Selangor telah memberikan kesan yang positif dimana ianya telah mewujudkan peluang –peluang pekerjaan kepada belia – belia terutama belia di Negeri Selangor. Bagi tahun 2013 sahaja sebanyak 23,519 potensi peluang pekerjaan di sektor perkilangan berjaya diwujudkan di Negeri Selangor.

    Tambahan pula anak syarikat Kerajaan Negeri yang dibawah MBI iaitu Yayasan Dar Al Qard Al Hasan Selangor (YAQ) ditubuhkan berorentasi Mikrokredit untuk memberi bantuan kewangan kepada peserta-pesertanya dalam bentuk penyediaan modal asas dan bimbingan bagi memulakan perniagaan, ini secara tidak langsung memberi peluang pekerjaan dalam bidang perniagaan kepada belia Negeri Selangor. Sehingga kini seramai 2,962 orang peserta terdiri daripada program Muda Skimsel dan seramai 2,331 orang peserta daripada program Mimbar dimana program-program ini adalah dibawah Yayasan Dar Al Qard Al Hasan Selangor (YAQ).

  2. Senaraikan jumlah belia dari Selangor yang bekerja di syarikat milik kerajaan negeri mengikut anak syarikat?

    Berikut adalah jumlah belia yang berumur dari 18 tahun sehingga 40 tahun anak kelahiran Negeri Selangor yang bekerja di syarikat milik Kerajaan Negeri mengikut anak syarikat yang dibawah MBI seperti berikut :-

    Bil. Anak Syarikat Jumlah Belia (orang)
    1. Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) 21
    2. Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) & Kumpulan Perangsang Selangor Berhad 15
    3. Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) 28
    4. Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) 54
    5. Pendidikan YS Sdn Bhd (UNISEL) 218
    6. SSIC Berhad 25
    7. Tourism Selangor Sdn Bhd (TSSB) 15
    8. Bukit Beruntung Golf & Country Resort Berhad (BBGC) 8
    9. Majlis Sukan Negeri Selangor (Holdings) (MSNS(H)) 6
    10. Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) 17
    11. Yayasan Dar Al Qard Al Hasan Selangor (YAQ) 96
    12. Rantaian Mesra Sdn Bhd (RMSB) 8
    13. Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB) 16
    JUMLAH 527

     

Lampiran

Tiada Lampiran.