Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

69) PELUANG PEKERJAAN ANAK MUDA

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan kerajaan untuk menambah dan meningkatkan kebolehpasaran anak muda dalam industri di Selangor?

    Kerajaan negeri sangat komited dalam merancang dan melaksanakan program untuk menambah serta meningkatkan kebolehpasaran anak muda dalam industri di Selangor. Antara program yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri adalah seperti berikut:

     

    1. Program Selangor Mega Job Fair yang berperanan sebagai satu medium interaksi yang proaktif di antara pencari kerja dengan pihak industri dalam menyediakan peluang pekerjaan berdasarkan kelayakan, personaliti dan minat;
    2. Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) yang menekankan ekosistem latihan kemahiran yang berorentasikan industri. Pelbagai program ditawarkan melalui Program IKTISASS ini. Program IKTISASS memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi di Negeri Selangor untuk penyediaan dan melengkapkan integrasi kemahiran bagi lepasan sekolah dan golongan muda dalam aspek kualiti bidang latihan dan peningkatan kemahiran dengan pasaran pekerjaan. Pembangunan latihan dalam Program IKTISASS merupakan pendekatan untuk lepasan latihan memasuki alam pekerjaan dan keusahawan dengan kepakaran dan kualiti yang bertaraf antarabangsa.
    3. Selain itu juga, Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) dan Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor sedang dalam perbincangan menambah baik program sedia ada selaras dengan keperluan industri di Malaysia dalam meningkatkan kemahiran pelatih-pelatih lepasan STDC supaya dapat melahirkan lepasan yang berkualiti setanding dengan pekerja mahir dalam industri bagi meningkatkan tahap kebolehpasaran dalam industri sedia ada.
    4. Antara usaha kerajaan negeri ialah dengan memberi fokus kepada industri teknologi digital dan pembuatan termaju melalui pembangunan inkubator industri bagi memacu transformasi revolusi Industri Keempat (IR4.0) dan pendidikan industri. Inisiatif ini disokong dengan penubuhan Pusat Kemahiran Teknologi dan Profesional STDC di Bangunan Worldwide@7, Seksyen 7, Shah Alam yang melibatkan jaringan kerjasama industri “up-Stream” seperti Siemens.Ins, Apple.Inc, FESTO dan MyfinB menjurus kepada permindahan program teknologi.
    5. Beberapa lawatan juga dilaksanakan bagi melihat sendiri program-program yang seumpamanya seperti di FESTO South East Asia, Singapura dan Apple Executive Briefing Centre, Cupertino Amerika Syarikat. Melalui lawatan ini, pelbagai input dan penambah baikan program sedia ada dapat diketengahkan dan dipelopori bagi meningkatkan kualiti program IKTISASS.
    6. Selain itu, usaha memperkasakan Program IKTISASS di peringkat global dengan jaringan kolaborasi bersama institusi peringkat antarabangsa seperti FESTO, Technical University Of Munich (TUM) dan institusi lain yang akan dikenalpasti. Kolaborasi akan melibatkan pemindahan teknologi, latihan tenaga pengajar dan pertukaran pelajar dalam ekosistem pendidikan industri di Negeri Selangor. Usaha ini adalah usaha berterusan bagi memastikan modul yang dijalankan sentiasa dikemaskini dan terbaik agar dapat memberi manfaat kepada pelajar dan seterusnya kepada Negeri Selangor.
    7. Di samping itu, tumpuan turut diberikan kepada pembangunan pusat penyelidikan Jaminan Makanan Lestari Selangor melalui UNISEL yang melibatkan pembangunan industri tanaman dan ternakan pintar. Hub Jaminan Makanan Lestari berperanan sebagai pusat latihan, penyelidikan dan pusat pengajian TVET dalam konsep inkubator industri.
  2. Apakah program-program pembangunan modal insan yang tersedia?

    Pembangunan modal insan merupakan dasar yang diwujudkan bertujuan untuk melahirkan sumber manusia berkualiti serta memberi impak yang baik kepada sosial dan ekonomi. Dalam konteks merancang dan mengimplementasi program pembangunan modal insan, kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa program seperti berikut:

     

    1. Program Selangor Mega Job Fair yang dilaksanakan pada 11 dan 12 Jun 2022 telah mendapat sambutan yang sangat baik, yang mana sebanyak 20,490 peluang pekerjaan yang merangkumi pelbagai sektor dan jawatan ditawarkan kepada pencari kerja.
    2. Hasil analisis yang diperolehi dalam penganjuran Program Selangor Mega Job tersebut, daripada seramai 8,201 orang jumlah pencari kerja yang hadir, 3,601 orang (44%) telah dipanggil untuk ditemu duga dan daripada jumlah tersebut seramai 1,996 (55%) telah berjaya mendapat pekerjaan.
    3. Pelaksanaan program-program penerapan nilai murni seperti komuniti sejahtera dan pemantapan jati diri yang melibatkan penyertaan dikalangan peserta Selangor volunteer (SERVE). Ini bertujuan untuk memupuk budaya hidup komuniti yang menerapkan nilai-nilai murni dan sikap peduli masyarakat seperti bantuan semasa berlakunya bencana alam dan program-program tanggungjawab sosial (CSR).
    4. Penganjuran program sukan tahfiz, Selangor Gema Insan yang menerapkan elemen spiritual dan kecergasan melibatkan pelajar maahad tahfiz seluruh Selangor seperti program Forum Perdana, Selangor Bermunajat, Qiamullail, Solat Hajat Perdana, Bacaan Yassin, Pertandingan Qasidah dan Nasyid. Selain itu diadakan juga aktiviti kecergasan seperti fun run, memanah tradisional, sepak raga bulatan dan lain-lain telah dilaksanakan dengan penyertaan pelajar tahfiz dalam anggaran 4000 orang.

Lampiran

Tiada Lampiran.