Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

331) PELUANG PEKERJAAN AI DAN SEMIKONDUKTOR

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif kerajaan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi penduduk Lembah Jaya?

    Pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan dan Modal Insan Negeri Selangor bagi membantu graduan baru mencari pekerjaan selepas tamat pengajian. Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah seperti berikut:

    STDC Kampus Shah Alam telah mengadakan kolaborasi bersama beberapa syarikat dan institusi antarabangsa antaranya Siemens.Inc, Apple.Inc, FESTO, Dassault Systemes; Program ini dibangunkan khusus bagi merapatkan jurang kemahiran yang dimiliki oleh graduan selepas tamat belajar dan keperluan kemahiran yang diperlukan oleh industri.

    Kerjasama ini menjurus kepada pemindahan teknologi dengan memberi fokus kepada industri teknologi digital dan pembuatan termaju melalui pembangunan inkubator industri bagi memacu transformasi Revolusi Industri Keempat (IR4.0) dan pendidikan industri. Melalui program ini, pihak industri akan berkongsi modul program terkini berdasarkan keperluan pasaran di industri utama di dalam dan luar negara yang akan meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan. Syarikat-syarikat ini juga memberi peluang pekerjaan di syarikat mereka di dalam dan luar negara selain memberi bantuan penempatan pekerjaan di bidang industri berkaitan setelah tamat pengajian;

    Kerjasama pembangunan modul program bersama Technical University of Munich (TUM) dan beberapa universiti awam dan swasta di Malaysia; Kerjasama ini dijalinkan untuk menampung keperluan pengajaran dan pembelajaran kursus-kursus TVET di STDC dengan bertumpu kepada perkongsian strategik tenaga pakar professional dan latihan kepakaran dalam kalangan tenaga pengajar serta mewujudkan program-program akademik yang relevan dengan keperluan industri bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi;

    Program kerjasama pembangunan modul bersama konsultan dan industri TVET di Negeri Selangor antaranya GE Engineering bagi program aeroangkasa, The Welding Institute (TWI Malaysia) bagi program kimpalan dan Carsome Institute bagi program automotif. Program-program ini membantu pelajar mempelajari secara spesifik keperluan di setiap industri tersebut seterusnya memberi peluang kepada mereka untuk diserap bekerja dalam syarikat berkenaan sebaik tamatnya latihan yang diikuti; dan

    STDC Kampus Kuala Selangor juga sedang giat melaksanakan kursus jangka pendek yang dipanggil ‘place and train’ dengan pihak industri yang menjamin penempatan pekerjaan selepas pelajar selesai menjalani kursus.  Antaranya usahasama dengan syarikat-syarikat seperti Yamaha, Daikin, Perodua, volkswagen, Wrightbus Malaysia dan Aerodyne bagi program automotif, Daikin bagi program pemasangan dan penyelenggaraan penghawa dingin serta Yamaha bagi penyelenggaraan motorsikal. Syarikat-syarikat ini juga akan menawarkan peluang pekerjaan bagi pelajar lepasan STDC dan sentiasa bekerjasama dalam memberikan pandangan terhadap keperluan tenaga kerja dalam industri terkini dan yang terbaharu, menjalinkan kerjasama dengan P10X Academy di mana mereka menawarkan program “Skill Talent Gateway” yang menggabungkan latihan teori dan praktikal selama dua bulan dan pelatih akan dihantar terus ke industri. Objektif program ini adalah melahirkan tenaga kerja yang berdaya saing dan bersedia untuk memenuhi permintaan pasaran dalam bidang ‘automotive aesthetic’.

    Kerajaan Negeri juga sentiasa berusaha untuk menambah baik inisiatif sedia ada dengan memantapkan jaringan kerjasama antara penyedia latihan dan pihak industri seperti memastikan peluang penempatan kerjaya graduan selepas mereka tamat pengajian. Melalui kerjasama dan program-program ini juga diharap memudahkan graduan mengenalpasti dapat mengisi kekosongan jawatan di mana-mana sektor awam dan swasta yang diminati dan bersesuaian dengan kemahiran yang diperoleh.

  2. Adakah program latihan kemahiran atau keusahawanan yang ditawarkan kepada belia dan penganggur akan diperkembang selari dengan perubahan teknologi?Misalnya kemahiran pembuatan sektor semikonduktor atau AI.

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited untuk memastikan program latihan kemahiran bagi belia serta penganggur diperkembangkan selari dengan perubahan teknologi terkini. Kerajaan Negeri memahami keperluan untuk merangka inisiatif yang selaras dengan permintaan industri yang semakin canggih, khususnya dalam sektor kritikal seperti pembuatan semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).

    Kerajaan Negeri Selangor, melalui Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) dan Advance Semiconductor Academi of Malaysia (ASEM), telah memperkenalkan program latihan untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI). Usaha ini dijalankan dengan kerjasama pihak industri bagi memastikan kursus dan latihan yang disediakan sejajar dengan keperluan semasa dan masa depan sektor tersebut.

    Inisiatif ini bukan sahaja membantu memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi tetapi juga bertujuan melahirkan pakar dalam bidang strategik, seperti semikonduktor dan AI, yang berpotensi untuk memacu pertumbuhan ekonomi Selangor. Program ini dijangka akan memberi manfaat kepada graduan tempatan serta pekerja yang ingin meningkatkan kemahiran mereka, lantas mengukuhkan ekosistem teknologi negeri dan daya saing industri semikonduktor di peringkat global.

    ASEM juga telah menjalinkan kerjasama dengan lebih daripada 19 institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia bagi memastikan pihak IPT dapat menyediakan kursus yang sangat bersesuaian dengan keperluan kerja masa kini. Kerjasama ini bertujuan untuk memperkasa pengajian dalam bidang semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI) melalui kurikulum yang relevan dan terkini, selaras dengan perkembangan industri. Dengan pendekatan ini, ASEM memastikan bahawa graduan yang dilahirkan mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi untuk memenuhi permintaan pasaran pekerjaan yang semakin berkembang dalam sektor teknologi tinggi, khususnya semikonduktor dan AI. Inisiatif ini juga membuka peluang besar kepada institusi pengajian untuk meningkatkan kualiti pendidikan mereka dan memperkukuh hubungan antara sektor pendidikan dan industri, sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik bagi para graduan.

Lampiran

Tiada Lampiran.