Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

194) PELUANG PEKERJAAN

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah peluang pekerjaan di Selangor dari 2014-2017.

    Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Selangor, statistik peluang pekerjaan yang tersedia di Selangor menurut portal JobsMalaysia dari tahun 2014 hingga 2017 adalah sebanyak 1,183,292 peluang pekerjaan.

    TAHUN PELUANG PEKERJAAN
    2014 265,797
    2015 292,087
    2016 234,134
    2017 391,274
    JUMLAH 1,183,292
  2. Senaraikan program yang dianjurkan pada 2017 bagi meningkatkan peluang pekerjaan serta kos dan keberkesanannya.

    Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil inisiatif dalam menganjurkan program – program tersebut bagi meningkatkan peluang pekerjaan di Selangor seperti berikut:

    1. Program Karnival Kerjaya – Selangor Job Fair

    Program Karnival Kerjaya – Selangor Job Fair adalah kerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja Selangor (JTK) dan Job Malaysia iaitu sebuah program yang memberi peluang kepada rakyat Selangor bagi mendapatkan pekerjaan. Program ini telah dilaksanakan sebanyak tiga (3) siri sepanjang tahun 2017. Peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi pelaksanaan program ini adalah berjumlah RM300,000.00 setahun.

    Program ini telah dilaksanakan sebanyak tiga (3) siri di lokasi berbeza sepanjang tahun 2017 dan telah berjaya melibatkan jumlah pengunjung seramai 3,416 orang dengan menawarkan sebanyak 5,782 kekosongan jawatan. Kesan dari pelaksanaan program ini, seramai 847 orang pencari kerja telah berjaya mendapat pekerjaan pada hari tersebut.

    1. Pendidikan Kemahiran dan Vokasional Percuma

    Menyediakan pendidikan kemahiran dan vokasional secara percuma di Kolej INPENS bagi belia yang kurang berkemampuan tetapi masih ingin meneruskan pembelajaran tanpa mempunyai latar belakang pendidikan cemerlang. Peruntukan tahunan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi menyediakan pendidikan kemahiran dan vokasional percuma adalah berjumlah RM 5,000,000.

    • Program Latihan Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS) Program Latihan Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS) iaitu sebuah program latihan keusahawanan dalam melalui kursus dalam bidang – bidang seperti berikut:
      • Kursus Keusahawanan Penternakan (Ruminan & Unggas)
      • Kursus Pemantapan Pemantauan Keusahawanan
      • Kursus Percetakan Segera Pentauliahan Sijil SKM Tahap 3: Peserta Urutan Selepas Bersalin
      • Kursus Keusahawanan Penternakan
      • (Makanan ternakan dan Rancangan Perniagaan)
      • Kursus Soft    Skills    Usahawan    Penternakan   &                 Pengurusan Kewangan (Online)
      • Kursus Keusahawanan   Penternakan    (Sembelihan    Halal    & Penyediaan Makanan (BBQ)
      • Mobile Service Aircond
      • Cuci Kasut
      • Mobile Barber
      • Ayam Gunting
      • Terapi Bekam
      • Bakery
      • Mobile Spa
      • Dekorasi Pelamin
      • Kiosk Sate

    Program ini yang diberikan secara percuma merangkumi beberapa kategori iaitu belia, suri rumah, pesara dan ibu tunggal. Pada tahun 2018,

     

    Kerajaan Negeri Selangor telah memberi peruntukan sebanyak RM920,000.00 bagi pelaksanaan program ini.

    Pada tahun 2011 hingga 2018, terdapat 3,248 orang peserta yang telah terpilih untuk menyertai Program Latihan Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS). Daripada jumlah tersebut, seramai 2,436 orang peserta (75%) telah berjaya menjana pendapatan melalui program tersebut. Purata pendapatan bulanan mencatatkan jumlah tertinggi bagi purata pendapatan berjumlah RM500 – RM2,000 sebulan melalui 1,712 orang peserta (52.71%).

    1. Program Graduate Employability and Enhancement Selangor

    (PROGRES)

    Program Graduate Employability and Enhancement Selangor (PROGRES) adalah sebuah program yang diperkenalkan pada tahun 2016 untuk memberi peluang kepada belia-belia yang masih belum mendapat pekerjaan untuk menjalani latihan meningkatkan kemahiran kebolehpasaran belia khususnya di Selangor termasuk penempatan di syarikat-syarikat terpilih. Kerajaan Negeri Selangor telah memberikan peruntukan sebanyak RM5,000,000 setahun bagi pelaksanaan program ini.

    Pada tahun 2016 hingga 2017, seramai 402 peserta telah terpilih untuk menyertai PROGRESS. Daripada jumlah tersebut, seramai 347 orang peserta (86.32%) telah berjaya mendapat penempatan pekerjaan di syarikat-syarikat terpilih setelah tamat program tersebut.

    1. Program Youth Enhancement Strategy Selangor (YES)

    Pada tahun 2015 – 2017, Program Strategi Peningkatan Kemahiran Belia atau Youth Enhancement Strategy Selangor (YES) telah dilaksanakan. Program ini memberi fokus kepada belia yang tidak mempunyai akademik cemerlang untuk menjalani latihan di Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC) bagi meningkatkan kemahiran dalam bidang-bidang tertentu seterusnya membolehkan mereka mendapat pekerjaan selepas tamat latihan. Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM2,508,000 setahun bagi pelaksanaan program ini.

    Pada tahun 2015 hingga 2017, seramai 133 orang peserta lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah terpilih untuk mengikuti Program YES.

    Daripada jumlah tersebut, seramai 99 orang peserta (74.44 %) yang telah mendapat pekerjaan setelah tamat program.

    Namun begitu, pada tahun 2018, program ini telah dimasukkan di bawah Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS) telah diperkenalkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sewaktu Belanjawan 2018 Negeri Selangor dengan peruntukan sebanyak RM52,000,000 setahun.

Lampiran

Tiada Lampiran.