Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

40) PELUANG PEKERJAAN

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tuan Preakas A/l Sampunathan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kadar pelantikan bagi jawatan di Kerajaan Negeri/ agensi untuk memastikan semua termasuk orang Asli dan OKU diberikan peluang untuk menunjukkan keseimbangan perpaduan di Negeri Selangor?

    Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Selangor sebagai Pihak Berkuasa Melantik anggota perkhidmatan awam Negeri Selangor perlu mematuhi peruntukan satu peratus (1%) peluang pekerjaan di setiap agensi awam kepada golongan Orang Asli dan OKU. Walau bagaimanapun, pematuhan atau pencapaian dasar ini bergantung kepada permohonan yang dikemukakan kepada Suruhanjaya oleh pemohon pekerjaan yang berminat atau melalui pengenalpastian oleh agensi.

    Pelantikan bagi jawatan daripada kalangan Orang Asli dan OKU perlu memenuhi syarat lantikan yang ditetapkan dalam suatu skim perkhidmatan, kesesuaian calon dengan bidang tugas jawatan serta kemudahan yang disediakan oleh agensi kepada golongan yang terlibat ini.

    Dalam memastikan peluang keseimbangan disediakan kepada golongan ini, calon permohonan pekerjaan daripada golongan ini hanya dikenakan syarat minimum dalam tapisan pengambilan berdasarkan syarat lantikan suatu skim perkhidmatan. Data pengambilan bagi permohonan jawatan daripada kategori Orang Asli Semenanjung dan OKU bagi tahun 2023 dan 2024 adalah seperti berikut:

  2. Apakah kadar pengangguran dan apakah tindakan Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah pengangguran ini?

    Kadar pengangguran rakyat Malaysia yang direkodkan berdasarkan sumber daripada Jabatan Perangkaan Malaysia melalui Laporan Tenaga Buruh tahun 2024 adalah seramai 566,400 orang telah dikenalpasti menganggur dengan purata 3.3% secara keseluruhan melalui data terkini bagi tahun 2024.

    Justeru, pelbagai usaha dan inisiatif telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan peluang pekerjaan serta mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat di negeri ini. Salah satu daripada inisiatif tersebut adalah dengan menubuhkan Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia pada tahun 2023 bagi menggantikan Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja. Peranan bagi Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia telah ditambahbaik dan diperluas dalam pelbagai sudut untuk membangunkan dan melahirkan pekerja yang kompeten, produktif, responsif dan berdaya tahan dalam pasaran buruh negara ke arah meningkatkan kualiti dan produktiviti kerja. Jawatankuasa tetap ini juga memberi fokus kepada menyelesaikan masalah pekerjaan rakyat Negeri Selangor khususnya individu yang dikategorikan sebagai golongan rentan seperti warga emas, ibu tunggal, OKU dan bekas banduan.

    Dua (2) program utama yang berkonsepkan pameran kerjaya telah dijadikan sebagai Sasaran Kerja Utama (SKU) tahunan di bawah Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia. Program tersebut adalah seperti berikut :-

    1. Program Jelajah Jobcare
    2. Program Mega Jobfair Peringkat Negeri Selangor

    Selain itu, Program Selangor Kerjaya yang dilaksanakan oleh pihak Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) untuk Kerajaan Negeri Selangor sejak tahun 2021 juga merupakan satu inisiatif strategik pengurusan bakat dan tenaga kerja bagi rakyat di Negeri Selangor untuk menangani isu penawaran pekerjaan Pasca Wabak COVID-19 dan pembangunan kemahiran tenaga kerja bagi memenuhi penawaran pekerjaan Abad Ke-21. Ia merupakan solusi pemadanan pekerjaan yang komprehensif bagi penempatan pekerjaan dengan menggunakan kaedah profiling, job matching, placement dan upskilling (dengan izin).

    Dalam menangani masalah pengangguran, Selangor Kerjaya berusaha untuk menyelesaikan masalah ketidakpadanan kemahiran yang dimiliki oleh seseorang bakat atau tenaga pekerja dengan kemahiran yang diperlukan bagi mengisi kekosongan pekerjaan yang ditawarkan oleh pihak majikan. Sehubungan dengan itu, semua peserta yang berdaftar dengan Selangor Kerjaya berpeluang untuk mengambil ujian profiling bagi menilai kemampuan kognitif, keperibadian, tingkah laku dan kemahiran berdasarkan Universal Competency Framework (dengan izin) yang akan dipadankan dengan profil pekerjaan bagi menentukan kesesuaian peserta kepada peluang kerja yang ditawarkan.

    Bagi meningkatkan tahap kemahiran, calon yang berjaya ditawarkan pekerjaan akan menjalani bimbingan kerjaya dan latihan untuk meningkatkan kemahiran, sekiranya diperlukan oleh pihak majikan, calon akan menjalani latihan upskilling (dengan izin) secara dalam talian selama setahun, di mana sijil penyertaan akan dikeluarkan. Pemantauan dalam bentuk mentoring juga akan diadakan secara berkala dalam tempoh setahun tersebut.

    Dalam pada itu, Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia sedang merancang untuk memberi bimbingan secara percuma kepada pencari kerja di negeri Selangor yang memerlukan khidmat untuk mempelajari asas penyediaan resume mengikut piawaian semasa di samping menyampaikan kemahiran menghadiri temuduga yang berkesan. Semakan secara rawak daripada pihak majikan mendapati, rata – rata pencari kerja gagal dalam sesi temuduga disebabkan kurangnya kemahiran komunikasi serta penyediaan resume yang tidak teratur. Lantaran itu, bagi mengurangkan masalah tersebut daripada berlanjutan, Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia sedang merangka inisiatif untuk memberikan perkhidmatan percuma ini kepada seluruh rakyat di negeri Selangor yang memerlukan bimbingan. Secara tidak langsung, ilmu dan pengetahuan yang diperolehi dapat mengatasi setiap permasalahan yang timbul dalam kalangan pencari kerja ketika berhadapan dengan situasi ketika ditemuduga.

Lampiran

Tiada Lampiran.