Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

207) PELUANG PEKERJAAN

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan bilangan dan statistik rakyat Selangor yang mengalami kehilangan kerja ketika bermula MCO.

    Mengikut data yang dikumpulkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor melalui Borang PK (Pemberitahuan Pemberhentian Pekerja) mengikut peruntukan dibawah Akta Kerja 1955, mewajibkan setiap majikan yang berhasrat untuk mengambil tindakan memberhentikan pekerja perlu melaporkan kepada jabatan selewat-lewatnya 30 hari sebelum tindakan pemberhentian dijalankan. Berdasarkan rekod Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor jumlah pekerja tempatan  yang telah diberhentikan kerja dalam tempoh Januari hingga Julai 2021 berjumlah 6,495 orang.

  2. Apakah rancangan Kerajaan Negeri bagi membantu golongan yang hilang kerja dan peniaga yang terjejas disebabkan pendemik COVID-19?

    Sebagaimana Yang Berhormat Sungai Ramal, Yang Berhormat Sungai Burong dan Yang Berhormat Rawang sedia maklum, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)/ Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berkuat kuasa kini adalah ekoran daripada penularan wabak pandemik Covid-19 di Malaysia di mana negeri Selangor khususnya adalah yang tertinggi dan penularan dalam kalangan rakyat adalah amat membimbangkan dan telah memberi kesan secara langsung kepada kehidupan seharian masing-masing. Sekatan ekonomi dan perniagaan yang dikuatkuasakan ini sedikit sebanyak telah memberikan kesan kepada rakyat dengan kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan serta syarikat/ perniagaan terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu untuk bertahan.

    Merujuk kepada data yang dikumpulkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor melalui Borang PK (Pemberitahuan Pemberhentian Pekerja) selaras peruntukan di bawah Akta Kerja 1955, mewajibkan setiap majikan yang berhasrat untuk mengambil tindakan memberhentikan pekerja perlu melaporkan kepada jabatan selewat-lewatnya  30 hari sebelum tindakan pemberhentian dijalankan. Berdasarkan rekod Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor jumlah pekerja tempatan yang telah diberhentikan kerja dalam tempoh Januari hingga Julai 2021 adalah berjumlah 6,495 orang sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) yang berkuat kuasa kini.

    Justeru itu, menyedari jumlah pekerja tempatan yang diberhentikan serta kehilangan punca pendapatan akan meningkatkan kadar pengangguran negeri dalam masa terdekat ini, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif dengan mewujudkan jaringan kerjasama erat dengan jabatan dan agensi yang berkenaan.

    Sehubangan dengan itu antaranya adalah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melalui Cawangan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) kini giat mengadakan sesi yang berkaitan Active Labour Market Policies (ALMP) yang mana salah satu keperluan bagi ALMP ini adalah menyediakan dan membuka ruang pekerjaan bagi mengurangkan kadar pengangguran negara. Justeru itu, berikut adalah beberapa inisiatif serta program yang giat dijalankan oleh PERKESO Negeri Selangor bagi membantu menangani masalah kehilangan pekerjaan dalam kalangan rakyat Selangor:

     

    • Bantuan Kewangan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP)

    Antara bantuan yang disediakan kepada pencarum yang kehilangan pekerjaan semasa musim Covid-19 ini adalah bantuan kewangan segera. Bagi mana-mana pencarum yang layak, mereka akan diberikan bantuan kewangan sebanyak 6 bulan Elaun Mencari Pekerjaan (EMP). Hal ini telah ditambah baik lagi dengan bantuan daripada kerajaan iaitu bantuan SIP PRIHATIN yang mana memberikan faedah tambahan 3 bulan kepada pencarum yang layak dan menjadikan jumlah faedah kewangan yang diterima iaitu sebanyak 9 bulan Elaun Mencari Pekerjaan (EMP). Perkara ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kepada pekerja yang terkesan akibat pandemik covid-19 yang melanda negara pada ketika ini.

     

    • Bantuan Perkhidmatan Pekerjaan

    PERKESO juga menerusi Cawangan Perkhidmatan Pekerjaan menyediakan bantuan perkhidmatan pekerjaan kepada semua warganegara tanpa mengira sama ada pencarum PERKESO atau pun bukan pencarum. Sokongan perkhidmatan meliputi aktiviti temu duga, sesi seminar secara dalam talian, penilaian pekerjaan dan bantuan latihan. Perkhidmatan pekerjaan yang tersedia ini bukan sahaja dapat membantu meningkatkan peluang pekerja menempatkan diri ke alam pekerjaan tetapi juga membantu pihak majikan dalam memenuhi kekosongan jawatan yang ditawarkan.

     

    • Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan

    Bagi memastikan majikan dapat meneruskan penawaran kerja, Pihak PERKESO melalui Belanjawan 2021 telah diperuntukkan sebanyak RM2 billion (Penjana Kerjaya 2.0) oleh pihak kerajaan bagi memastikan majikan dapat terus membuat pengambilan pekerja dan sekaligus memulihkan ekonomi daripada pandemik Covid-19 ini. Selain itu, bagi majikan yang mengambil pekerja kurang/ separa mahir, bantuan latihan bagi meningkatkan kemahiran pekerja yang diambil juga disediakan melalui insentif ini.

     

    • Insentif Kerjaya GIG

    Menyedari akan pertambahan pekerjaan yang berkonsepkan gig-economic, satu insentif Kerjaya Gig telah diperkenalkan mulai 1 April 2021. Objektif insentif ini adalah bagi membantu beberapa golongan seperti pekerja yang diberhentikan pekerja, pekerja yang diberikan cuti tanpa gaji, golongan mudah terjejas dan kaum wanita. Bagi mereka yang memenuhi syarat, Insentif sebanyak RM600.00 selama tempoh 6 bulan bagi pekerja yang terlibat dengan pekerjaan sendiri ini.

     

    • Program Subsidi Upah 4.0

    Program ini merupakan satu bentuk bantuan subsidi yang diberikan kepada pihak majikan bagi memastikan kelangsungan perniagaan dan pembayaran gaji boleh dibuat kepada pekerja mereka. Program subsidi upah dengan peruntukan sebanyak RM3.8 billion dijangka akan memberi manafaat kepada seramai 241,548 majikan dengan anggaran 2.49 juta pekerja. Bantuan bagi tempoh 2 bulan iaitu RM600.00 sebulan ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban majikan dalam menghadapi pandemik Covid-19 ini.

    Berikut adalah antara beberapa langkah yang dilakukan oleh pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam membantu pihak kerajaan bagi menangani isu pandemik Covid-19 yang tengah melanda negara pada ketika ini. Diharapkan dengan beberapa insentif yang diperkenalkan ini dapat mengurangkan bukan sahaja bebanan kepada pihak pekerja dan majikan, tetapi juga kepada rakyat di negeri Selangor khususnya.

    Oleh yang demikian, dengan mengambil kira situasi penularan wabak pandemik Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)/ Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang masih berkuat kuasa, Kerajaan Negeri Selangor akan terus memberi dorongan kepada jabatan dan agensi yang berkaitan untuk terus memberi bantuan kepada golongan yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan. Kerajaan Negeri turut sedar sekiranya tidak dibendung dan dibantu pada peringkat awal, masalah ini akan merebak dan menjadi lebih serius di setiap lapisan masyarakat. Susulan itu juga, bagi mengurangkan kesan akibat pendemik Covid-19 ini, Kerajaan Negeri sedang dalam penelitian rangka kerja baharu dengan mewujudkan program-program berbentuk kemahiran seperti taklimat, seminar, kursus jangka pendek dan sederhana bagi melengkapkan golongan sasaran dengan kemahiran baharu dan ilmu pengetahuan yang pelbagai di dalam sektor pekerjaan. Dengan adanya kemahiran dan ilmu pengetahuan baharu ini ia secara langsung dapat memberikan ‘value added’ kepada golongan sasaran untuk terus berdaya saing di dalam sektor pekerjaan dengan perniagaan sendiri mahupun dengan majikan sekaligus dapat mengurangkan kadar pengangguran dan meningkatkan peluang pekerjaan alternatif.

    Kerajaan Negeri Selangor menyedari perlu ada satu hubungan rapat untuk menyelaraskan program-program berkenaan pekerjaan dari jabatan dan agensi, maka Kerajaan Negeri telah meluluskan penubuhan Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 18 / 8 / 21 yang lalu yang dianggotai oleh 4 orang pegawai bagi memastikan kelancaran program berkenaan. Oleh yang demikian antara jabatan dan agensi yang akan bekerjasama adalah seperti:

     

    1. Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia;
    2. Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Malaysia;
    3. Jabatan Pembangunan Kemahiran;
    4. Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia;
    5. Jabatan Tenaga Manusia;
    6. Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ;
    7. Lembaga Teknologis Malaysia;
    8. Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran;
    9. Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan;
    10. Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF);
    11. Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO); dan
    12. Talent Corporation Malaysia Berhad.

Lampiran

Tiada Lampiran.