Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

4) PELUANG PEKERJAAN

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan statistik peluang pekerjaan yang tersedia di Selangor dari 2017-2019.

    Berdasarkan majikan yang berdaftar dan mengiklankan kekosongan jawatan melalui Portal JosbMalaysia, statistik peluang pekerjaan yang tersedia di Selangor dari 2017 hingga 2019 adalah seperti berikut:

    KATEGORI PEKERJAAN 2017 2018 2019 JUMLAH KEKOSONGAN
    Pengurus 4,319 674 2,764 7,757
    Profesional 7,257 3,804 6,062 17,123
    Juruteknik & Profesional Bersekutu 4,259 5,455 10,710 20,424
    Pekerja Sokongan Pengkeranian 4,244 2,358 3,671 10,273
    Pekerja Perkhidmatan & Jualan 20,435 10,444 10,369 41,248
    Pekerja Mahir Pertanian, Perhutanan, Penternakan & Perikanan 1,949 290 196 2,435
    Pekerja Kemahiran & Pekerja Pertukangan yang Berkaitan 10,747 8,218 7,076 26,041
    Opertor Mesin, Loji & Pemasang 46,701 31,958 36,525 115,184
    Pekerja Asas 291,457 222,517 134,847 648,821
    JUMLAH 391,368 285,718 212,220 889,306

     

  2. Apakah inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu anak muda memperoleh kerja?

    Dalam usaha bagi membantu anak muda mendapatkan pekerjaan, Kerajaan Negeri Selangor melalui Invest Selangor telah melaksanakan inisiatif berkaitan bagi menarik pelaburan yang berpotensi dengan mengambil pendekatan dasar terbuka bagi meneruskan kecemerlangan pertumbuhan ekonomi negeri. Sejak penubuhan, Invest Selangor telah berjaya menarik lebih daripada 5,104 projek perkilangan di Selangor. Secara tidak langsung bertanggungjawab untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang luas dan menarik kepada belia Selangor khususnya kepada golongan siswazah.

     

    Kerajaan Negeri Selangor turut mengambil inisiatif lain dalam menganjurkan program-program tersebut bagi meningkatkan peluang pekerjaan kepada belia Selangor termasuk golongan Siswazah seperti berikut:

     

    1. Program Karnival Kerjaya – Selangor Job Fair

    Program Karnival Kerjaya – Selangor Job Fair merupakan program yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Selangor (JTK) dan Job Malaysia Selangor. Program yang dilaksanakan dua (2) kali setahun ini telah diperkenalkan sejak tahun 2015, merupakan platform  bagi menghimpunkan majikan-majikan di negeri Selangor dengan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyat Selangor khususnya kepada golongan belia. Program ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk mengurangkan kadar pengangguran. Selain itu, membantu syarikat-syarikat yang memerlukan tenaga kerja dengan mengutamakan penglibatan warga tempatan berbanding warga asing. Pengisian program ini ialah temuduga terbuka bagi mengisi kekosongan jawatan dari peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hingga Ijazah. Selain itu, terdapat sesi perkongsian informasi, taklimat dan penerangan agensi, pameran jabatan/agensi luar dan peluang keusahawanan.

     

    1. Pendidikan Kemahiran dan Vokasional

    Menyediakan pendidikan kemahiran dan vokasional di Kolej INPENS dengan yuran yang berpatutan bagi belia yang kurang berkemampuan tetapi masih ingin meneruskan pembelajaran tanpa mempunyai latar belakang pendidikan cemerlang. Inisiatif Kerajaan Negeri Selangor ini telah menyediakan peluang pendidikan kemahiran dan vokasional dan pembiayaan pelajaran berdasarkan kelayakan pemohon.

     

    • Program Latihan Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS)

    Program Latihan Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS) iaitu sebuah program latihan keusahawanan dalam melalui kursus dalam bidang-bidang seperti berikut:

    • Kursus Keusahawanan Penternakan (Ruminan & Unggas)
    • Kursus Pemantapan Pemantauan Keusahawanan
    • Kursus Percetakan Segera Pentauliahan Sijil SKM Tahap 3: Peserta Urutan Selepas Bersalin
    • Kursus Keusahawanan Penternakan
    • (Makanan ternakan dan Rancangan Perniagaan)
    • Kursus Soft Skills Usahawan Penternakan & Pengurusan Kewangan (Online)
    • Kursus Keusahawanan Penternakan (Sembelihan Halal & Penyediaan Makanan (BBQ)
    • Mobile Service Aircond
    • Cuci Kasut
    • Mobile Barber
    • Ayam Gunting
    • Terapi Bekam
    • Bakery
    • Mobile Spa
    • Dekorasi Pelamin
    • Kiosk Sate

     

    Program ini yang diberikan secara percuma merangkumi beberapa kategori iaitu belia, suri rumah, pesara dan ibu tunggal. Pada tahun 2011 hingga 2018, terdapat 3,248 orang peserta yang telah terpilih untuk menyertai Program Latihan Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS). Daripada jumlah tersebut, seramai 2,436 orang peserta (75%) telah berjaya menjana pendapatan melalui program tersebut. Purata pendapatan bulanan mencatatkan jumlah tertinggi bagi purata pendapatan berjumlah RM500 – RM2,000 sebulan melalui 1,712 orang peserta (52.71%).

     

    1. Program Inisiatif Kemahiran Teknikal & Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS)

    Pada tahun 2018, Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) telah diperkenalkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sewaktu Belanjawan 2018 Negeri Selangor. Pada tahun 2019, Kerajaan Negeri Selangor akan memberi pembiayaan kepada 1,000 belia Selangor dalam pelbagai bidang kemahiran berimpak tinggi. Program kemahiran ini menawarkan pelbagai latihan teknikal dan vokasional yang memberi fokus kepada lima bidang utama dalam industri iaitu sains hayat, elektrik dan elektronik,  jentera dan peralatan, makanan dan minuman serta aeroangkasa. Program ini ditawarkan kepada belia Selangor dalam tempoh tertentu di mana setelah tamat program kemahiran ini, belia-belia ini akan diserapkan sebagai tenaga mahir di dalam pasaran industri-industri di Selangor.

  3. Nyatakan peratusan kadar pengangguran di Selangor dari 2017-2019

    Berdasarkan Survei Tenaga Buruh (STB) 2018, kadar pengangguran di Selangor ialah 2.8 peratus pada tahun 2018. Kadar pengangguran mengikut strata di Selangor pada tahun 2016 hingga 2018 adalah seperti di Jadual 1.

     

    Jadual 1: Kadar pengangguran mengikut strata di Selangor 2016 hingga 2018

     

    Strata 2016 (%) 2017 (%) 2018 (%)
    Malaysia 3.4 3.4 3.3
    Selangor 3.2 2.8 2.08
    Bandar 3.3 2.8 2.8
    Luar Bandar 2.6 2.8 2.9

     

    Maklumat Tambahan

    1. Statistik tenaga buruh, guna tenaga dan pengangguran diperoleh daripada Survei Tenaga Buruh (STB) dan merujuk kepada penduduk yang berumur 15-64 tahun semasa minggu rujukan.
    2. STB merupakan kajian sampel kebarangkalian yang dilaksanakan melalui pendekatan isi rumah untuk mendapatkan maklumat anggaran tenaga buruh dan pengangguran peringkat penduduk. Kajian ini dilaksanakan mengikut piawaian yang ditetapkan badan antarabangsa iaitu International Labour Organization (ILO) yang diguna pakai oleh kebanyakan negara.
    3. Menganggur merujuk kepada mereka yang berada dalam tenaga buruh yang tidak bekerja semasa minggu rujukan tetapi bersedia untuk bekerja atau mencari kerja dalam minggu rujukan.
    4. Kadar pengangguran ialah perkadaran penduduk yang menganggur kepada jumlah dalam tenaga buruh.
    5. Statistik pengangguran di peringkat terkecil yang diterbitkan adalah di peringkat bandar dan luar bandar mengikut negeri.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.