Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
21) PELUANG KERJA AEROANGKASA
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Melalui kerjasama ini, berapa banyak peluang pekerjaan yang dijangka akan diwujudkan?
Selangor telah lama menjadi pemacu utama dalam pembangunan industri aeroangkasa negara. Oleh itu, Kerajaan Negeri bersama-sama agensi berkaitan sentiasa berusaha untuk mendapatkan work packages (pakej kerja) yang berkualiti bagi menjamin peluang pekerjaan yang mampan untuk rakyat Malaysia. Mengikut data daripada NAICO Malaysia, jumlah tenaga kerja yang telah diwujudkan dalam industri aeroangkasa dari tahun 2019 sehingga 2024 adalah sebanyak 29,900 pekerjaan.
Daripada jumlah ini, 14,300 pekerja ataupun hampir separuh tenaga kerja aeroangkasa di dalam Malaysia berada di negeri Selangor, menjadikan negeri ini sebagai penyumbang utama tenaga kerja dalam sektor aeroangkasa. Angka keseluruhan ini juga hampir mencapai sasaran RMK-12, yang menetapkan penciptaan 30,000 peluang pekerjaan dalam industri aeroangkasa negara menjelang 2025.
Dalam usaha untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor aeroangkasa, pihak Kerajaan Negeri sentiasa menjalin hubungan bersama OEM (Original Equipment Manufacturer) dan pemain Industri bagi mendapat work packages yang berimpak tinggi dan peluang pekerjaan yang berkualiti.
Selain itu, Kerajaan Negeri terus menganjurkan pameran kerjaya untuk menghubungkan pemain industri dengan bakat tempatan. Inisiatif ini bertujuan memastikan tenaga kerja yang tersedia dapat diserap ke dalam industri dengan lebih berkesan, sekali gus mengurangkan jurang antara keperluan majikan dan pencari kerja. Pada edisi ke-empat penganjuran Selangor Aviation Show (SAS), sebanyak 2,270 peluang pekerjaan ditawarkan oleh pelbagai syarikat aeroangkasa dan sebanyak 222 peluang pekerjaan telah berjaya diisi.
Melalui inisiatif-inisiatif ini, Kerajaan Negeri menjangka bahawa sebanyak 32,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan menjelang 2030, sejajar dengan sasaran yang digariskan dalam Malaysia Aerospace Industry Blueprint (MAIB) 2030. Usaha ini akan terus mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab aeroangkasa utama di Malaysia dan rantau ini.