Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
288) PELARASAN KENAIKAN SKIM GAJI PENJAWAT AWAM
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Dato' Seri Mohamed Azmin Bin Ali
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan implikasi kewangan bagi setiap Pihak Berkuasa Tempatan bagi melaksanakan Pelarasan Kenaikan Skim Gaji Penjawat Awam Tahun 2024. Apakah langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi menampung kos pelaksanaan skim ini oleh PBT?
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, pada tahun 2024, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) telah mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 – Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) pada 13 September 2024. Selanjutnya, pemakaian di peringkat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke-29/2024 pada 9 Oktober 2024.
Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi pegawai Perkhidmatan Awam melibatkan penambahbaikan struktur gaji iaitu penetapan gaji permulaan RM1,500.00 sebulan bagi pegawai di gred 1 dan pelarasan gaji minimum RM240.00 atau 8% dari gaji pokok pegawai yang menerima Opsyen SSPA mulai 1 Disember 2024.
Pelarasan kenaikan gaji Penjawat Awam Negeri Selangor ini melibatkan pegawai dan kakitangan di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor termasuklah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan implikasi kewangan tambahan sehingga 15% (8% pada 1 Disember 2024 dan 7% pada 1 Januari 2026) ke atas gaji pokok pegawai di bawah Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dengan anggaran sebanyak RM80 juta (setahun) menggunakan peruntukan semasa jabatan.
Kenaikan tersebut ditampung sepenuhnya oleh semua dua belas (12) PBT di bawah Kerajaan Negeri. Sekiranya terdapat PBT yang memerlukan peruntukan tambahan bagi membiayai peningkatan tersebut, Kerajaan Negeri sedia membantu melalui perbekalan tambahan yang akan dibawa untuk kelulusan Dewan yang mulia ini.
(Maklumat implikasi kewangan tambahan bagi setiap PBT boleh dirujuk kepada Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan, UPEN)