Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

106) PELANTIKAN KETUA KOMUNITI INDIA SELANGOR

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Selain Islam

Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah proses perlantikan Ketua Komuniti India? Adakah semua Ketua Komuniti ialah ahli PKR?

    Ketua Komuniti Kaum India (KKI) merupakan jentera pentadbiran di peringkat akar umbi untuk membantu Kerajaan Negeri Selangor dalam menyalurkan maklumat bagi sesebuah lokaliti yang mempunyai kepadatan populasi masyarakat India. Ketua Komuniti Kaum India perlu menghadiri mesyuarat JKKK Kampung Tradisi dan menjalankan tugas – tugasnya dengan berkhidmat untuk penduduk setempat masyarakat India. Ketua Komuniti Kaum India juga berperanan sebagai orang tengah di antara Kerajaan Negeri Selangor dengan rakyat tempatan yang berbangsa India dalam menyampaikan segala bentuk program Kerajaan Negeri. Peranan Ketua Komuniti India adalah sama seperti Ketua Kampung Tradisi dan Ketua Kampung Baru Cina iaitu membantu rakyat dalam mendapatkan saluran bantuan yang betul dalam memastikan kebajikan seluruh rakyat di Negeri Selangor dijaga. Ia juga memastikan bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor sampai kepada masyarakat kaum India. Seorang Ketua Komuniti India akan berkhidmat dalam membantu pembangunan kaum India melalui EXCO yang dipertanggungjawabkan serta membuat laporan tugasan mereka kepada EXCO tersebut.

     

    Syarat-syarat dan kriteria utama bagi pelantikan seseorang Ketua komuniti India adalah :-

    • Warganegara Malaysia ;
    • Berumur di antara 30-65 tahun ;
    • Boleh membaca, bertutur dan menulis dalam Bahasa Malaysia ;
    • Bermastautin dalam kawasan komuniti sekurang-kurangnya dua (2) tahun. Bagi komuniti yang baru baru dibina, syarat ini boleh dilonggarkan ;

     

    • Hendaklah bekerja sendiri di kawasan komuniti tersebut ataupun menjalankan pekerjaan lain tetapi memberi masa dan komitmen sebagai seorang Ketua Komuniti India ;
    • Bukan seorang yang muflis ;
    • Seseorang yang boleh memberi komitmen penuh di komuniti berkenaan serta memberi kerjasama kepada EXCO ;
    • Bukan seorang kakitangan kerajaan ; dan
    • Berkelakuan

     

    Pelantikan Ketua Komuniti Kaum India perlu melalui beberapa fasa di peringkat daerah dan diangkat untuk persetujuan Jawatankuasa di peringkat Negeri. Senarai nama yang dikemukakan oleh Pejabat Daerah yang berkenaan perlu melalui tapisan temuduga serta memenuhi syarat – syarat yang telah ditetapkan. EXCO yang dipertanggungjawabkan akan memuktamadkan pemilihan calon-calon Ketua Komuniti India tersebut. Ketua-ketua Komuniti Kaum India di Negeri Selangor adalah terdiri daripada ahli DAP dan PKR.

  2. Mengapakah pelantikan Ketua Komuniti India tidak berlaku sejak November 2014?

    Ketua Komuniti Kaum India yang telah telah tamat tempoh pada Oktober 2014 dan tiada lantikan baru adalah disebabkan oleh faktor penyelarasan semula di peringkat Kerajaan Negeri dalam menentukan kuota pemilihan di antara komponen parti yang memerintah perlu diadakan. Walau bagaimanapun, sehingga kini Jawatankuasa pelantikan tidak mendapat restu dalam persetujuan kuota parti- parti tersebut. Namun begitu, Jawatankuasa pelantikan telah membawa perkara ini kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk menyambung perlanjutan Ketua Komuniti tersebut. Memandangkan pelantikan Ketua Komuniti India perlu diagihkan kepada komponen parti memerintah belum selesai, maka MMKN tidak meluluskan kertas tersebut. Oleh yang demikian, Jawatankuasa masih menunggu keputusan muktamad dalam menentukan kuota pemilihan Ketua Komuniti India di Negeri

  3. Adakah Ketua Komuniti India diberi elaun seperti Ketua Kampung Tradisi / Kampung Baru Cina?

    Ketua Komuniti India, Ketua Kampung Baru Cina dan Ketua Kampung Tradisi masing-masing diberikan elaun oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui peruntukan yang disalur ke Pejabat Daerah yang berkenaan. Bagi Ketua Komuniti India, elaun yang diberi adalah sebanyak RM500.00 sebulan. Bagi setiap kawasan komuniti, RM10,000.00 diperuntukkan bagi penganjuran program yang melibatkan komuniti berkenaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.