Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

5) PELANTIKAN AHLI MAJLIS DAN KETUA KAMPUNG

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Dato' Seri Mohamed Azmin Bin Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah formula pengagihan jawatan Ahli Majlis dan Ketua Kampung mengikut parti-parti komponen dalam Kerajaan Negeri Selangor dan nyatakan bilakah pengagihan ini akan dimuktamadkan?

    Bagi pelantikan Ahli Majlis, Kerajaan Negeri Selangor telah mengeluarkan Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan) Bilangan 1/2021 – Garis Panduan Pengurusan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor yang berkuat kuasa 1 September 2021.

    Berdasarkan pekeliling tersebut, tiada formula ditetapkan berkaitan pengagihan jawatan Ahli Majlis mengikut parti-parti komponen yang membentuk Kerajaan. Namun yang demikian, pembahagian kuota adalah berdasarkan nisbah calon parti dan calon Badan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu 75 peratus adalah daripada calon parti manakala 25 peratus lagi adalah daripada calon Badan Bukan Kerajaan (NGO).

    Bagi pelantikan Pengerusi Majlis Pengerusi Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru/ Bagan/ Tersusun pula adalah mengikut Garis Panduan Dasar, Tatacara dan Peraturan Mengenai Pelantikan dan Perkhidmatan Pegawai Perhubungan Perkampungan (PPP) Dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru/Bagan/Tersusun Negeri Selangor.

    Di dalam pekeliling ini juga, tiada formula mahupun kuota ditetapkan berkaitan pengagihan jawatan pengerusi MPKK mengikut parti-parti komponen yang membentuk kerajaan. Dari 77 pengerusi kampung baru/bagan/tersusun Negeri Selangor, sebanyak 46 orang pengerusi MPKK adalah daripada Democratic Action Party (DAP) dan 31 orang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Pembahagian kuota antara parti adalah berdasarkan perbincangan dan persetujuan di antara parti-parti tersebut.

    Manakala bagi pelantikan Ketua-ketua Kampung Tradisi, seperti amalan yang diamalkan seperti sebelum ini, formula pengagihan akan ditentukan berdasarkan rundingan dengan pimpinan parti-parti politik di dalam gabungan Kerajaan.

    Apabila persetujuan dicapai, barulah proses pemilihan Ketua-Ketua Kampung Tradisi dibuat mengikut Garis Panduan, Dasar, Tatacara, Peraturan Mengenai Pelantikan dan Perkhidmatan Ketua Kampung Tradisi serta Urusan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Selangor.

    Proses rundingan dan persetujuan berkaitan pelantikan Ketua-ketua Kampung Tradisi ini dijangka akan dimuktamadkan pada bulan Mac dan pelantikan baharu akan dibuat dijangka berkuatkuasa bulan April 2024.

    Untuk makluman Yang Berhormat, tempoh perkhidmatan Ketua-ketua Kampung Tradisi sedia ada pada masa ini, adalah dilanjutkan sehingga 31 Mac 2024

Lampiran

Tiada Lampiran.