Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

113) PELANCONGAN PERINDUSTRIAN

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan berhasrat untuk membangunkan pelancongan perindustrian yang berskala seluruh negeri?

    SPBT

    Pelancongan perindustrian merupakan sektor pelancongan baharu di Malaysia yang menawarkan peluang kepada pelancong untuk melawat ke kilang industri dan pemprosesan berkonsepkan makanan, minuman dan kraf tangan. Sektor ini dilihat mempunyai potensi tinggi untuk dibangunkan sebagai sektor pelancongan perindustrian yang menarik dan dinamik memandangkan negeri ini mempunyai banyak kawasan-kawasan perindustrian yang terkenal sama ada industri berat mahupun industri kecil dan sederhana.

    Justeru itu, Kerajaan Negeri akan meneliti dan merangka pakej-pakej produk pelancongan yang turut merangkumi sektor perindustrian di dalam siri promosi pelancongan ‘Nak Bercuti! Pusing Selangor Dulu’ dan ‘Splendid Selangor’ dengan menumpukan produk pelancongan di anjung utara Negeri Selangor melibatkan daerah Sabak Bernam hingga Kuala Selangor serta anjung selatan bagi daerah Sepang dan Kuala Langat.

    TSSB

    Untuk makluman Yang Berhormat, segmen Pelancongan Perindustrian telah pun dibangunkan di Negeri Selangor bermula tahun 2021. Pelancongan Perindustrian adalah satu bentuk pelancongan yang menekankan interaksi antara pelancong dan sektor perindustrian, terutamanya perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana serta kilang-kilang pembuatan. Dalam konteks ini, pelancongan perindustrian melibatkan pelancong yang ingin mendapatkan pengalaman langsung dan mendalam mengenai operasi perusahaan-perusahaan kecil, kilang-kilang pembuatan atau proses pengeluaran industri.

    Menerusi segmen pelancongan ini, Tourism Selangor pernah menjalinkan kerjasama dengan beberapa lokasi perindustrian seperti di Balakong menerusi penglibatan bersama mantan Adun Balakong, Y.B. Puan Wong Siew Ki ke beberapa lokasi antaranya:

    1. Kilang Pembuatan Coklat Benns Ethicoa’s
    2. Kilang Pembuatan Kek Bulan Yu Ai Industries Sdn Bhd
    3. Kilang Ligno Biotech’s Tiger Milk Mushroom (Lignosus Rhinocerus)
    4. Kilang Kicap Mu Artisan
    5. Kilang Tofu So Young
    6. Kilang Besi & Logam Ni Hsin

    Tourism Selangor juga sering kali menganjurkan siri Fam Trip untuk pelancong mahupun media tempatan dan antarabangsa di beberapa kilang pembuatan di Shah Alam dan lain-lain tempat di beberapa daerah, antaranya:

    1. Kilang Pembuatan Kereta Nasional, PROTON di Shah Alam
    2. Kilang dan Muzium Roti Gardenia di Shah Alam
    3. Kilang Pembuatan barangan elektronik KHIND di Sekinchan
    4. Perusahaan membuat tembikar tanah liat Ramadas Pottery di Kuala Selangor
    5. Perusahaan Bahulu dan Kerepek Masri di Sabak Bernam

    Jadi, dengan penganjuran program lawatan-lawatan ke tempat perindustrian sebegini sebelum ini ianya dilihat mempunyai potensi besar untuk dikembangkan selari dengan segmen pelancongan lain yang terdapat di Negeri Selangor.

  2. Jika ada, adakah satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan di bawah Selangor Tourism untuk mengkaji strategi terhadap cara pelancongan yang baru ini? Bagaimanakah ADN-ADN yang berminat menyumbangkan idea dan usaha?

    SPBT

    Buat masa ini, tiada jawatankuasa khusus yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk menerima perkongsian idea dari Ahli-ahli Yang Berhormat dalam usaha membangunkan sektor pelancongan perindustrian. Justeru itu, sebarang cadangan atau idea boleh dikemukakan melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri untuk diselaraskan bersama pihak-pihak yang berkepentingan.

    TSSB

    Untuk pengetahuan Yang Berhormat, buat masa sekarang Tourism Selangor sedang memberikan perhatian terhadap perkembangan segmen Pelancongan Perindustrian tersebut dan Tourism Selangor juga dalam perancangan mengadakan satu sesi pertemuan bersama pihak pemain-pemain industri pelancongan ini sebagai satu platform perbincangan bagi mendapatkan input dan idea dalam membangunkan lagi segmen pelancongan ini.

    Untuk usaha ini, Tourism Selangor juga mengalu-alukan cadangan dan kerjasama daripada Adun-Adun sekiranya ada yang ingin membangunkan segmen pelancongan ini di kawasan masing-masing.

    Penglibatan daripada Adun-Adun terhadap program yang akan dijalankan oleh pihak Tourism Selangor di masa akan datang akan memberi manfaat yang besar kepada pembangunan segmen Pelancongan Perindustrian.

    Selain itu, Tourism Selangor juga dalam proses melaksanakan program Fam trip kepada agensi-agensi pelancongan dan juga media bagi memperkenalkan lagi produk-produk pelancongan perindustrian di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.