Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

132) PELANCONGAN PERINDUSTRIAN

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Memandangkan pelancongan perindustrian merupakan sejenis pelancongan yang baru, adakah kerajaan berniat untuk menggalakkan pemilik-pemilik kilang untuk menyertai cara pelancongan ini?

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mengikuti trend dan perkembangan terbaru pelancongan dari semasa ke semasa. Seperti yang diketahui, pelancongan perindustrian merupakan sektor pelancongan yang baru di Malaysia, namun telah giat berkembang dan wujud di negara yang lain. Pelancongan perindustrian bermaksud selain melancong ke destinasi warisan, tradisional atau komersial, pelancong boleh melawat ke kilang-kilang industri dan pemprosesan. Kebanyakan kilang pemprosesan makanan, minuman dan kraf tangan mempunyai potensi tinggi untuk dibangunkan sektor pelancongan perindustrian yang menarik dan dinamik.

    Negeri Selangor mempunyai potensi yang sangat baik untuk membangunkan pelancongan perindustrian ini memandangkan negeri ini mempunyai banyak kawasan-kawasan perindustrian yang terkenal samada industri berat mahupun industri kecil dan sederhana. Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor sentiasa menggalakkan pemilik-pemilik kilang yang berminat untuk menyertai pelancongan perindustrian melalui program Pitching Pelan Pemulihan Bagi Semarakkan Semula Sektor Pelancongan Domestik Selangor yang telah dilaksanakan pada 2021 yang lalu. Selain daripada itu, Tourism Selangor juga turut mengadakan ‘Familiarization Trip’ bersama media, agensi pelancongan dan persatuan-persatuan pelancongan untuk memperkenalkan pelancongan perindustrian ini.

  2. Kalau ada, apakah rancangan atau insentif yang akan atau boleh diperolehi oleh kerajaan?

    Kerajaan Negeri sedang mengkaji keperluan industri perkilangan untuk tujuan mempergiatkan pelancongan peindustrian. Salah satu usaha yang telah dilaksanakan oleh Tourism Selangor adalah dengan memasukkan produk/ destinasi pelancongan perindustrian ke dalam itinerari pakej-pakej yang disediakan oleh agensi pelancongan. Bagi agensi pelancongan yang memohon dan mendapat kelulusan Bantuan Geran ‘Familiarization Trip’, pihak Tourism Selangor juga membantu mempromosikan pakej pelancongan perindustrian yang sedia ada kepada para agensi pelancongan.

Lampiran

Tiada Lampiran.