Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

186) PELANCONGAN LUAR BANDAR

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri Selangor mempunyai sebarang cadangan untuk membangunkan sektor pelancongan di kawasan-kawasan luar bandar seperti Daerah Sabak Bernam?

    Kerajaan Negeri sentiasa komited di dalam usaha untuk memajukan potensi pelancongan yang terdapat di dalam Negeri Selangor termasuklah pembangunan dan program promosi pelancongan untuk kawasan luar bandar.

  2. Jika ada, pelancongan bagaimanakah yang akan dibangunkan?

    Beberapa perkara yang perlu dititikberatkan dalam membangunkan kawasan pelancongan khususnya di kasawan luar bandar antaranya seperti yang berikut:

    1. Untuk mengangkat sesebuah tempat menjadi tempat pelancongan perlu merujuk Undang-Undang Malaysia di bawah Akta 482, Akta Industri Pelancongan 1992 dan mengenal pasti status tanah atau kawasan yang ingin dijadikan kawasan pelancongan.
    2. Pembangunan Pelancongan dari segi penyediaan kemudahan infrastruktur yang mesra alam atau berkonsep eko, kemudahan jalan serta akses, dan nilai komersial menggambarkan “x-factor” dan keunikan yang ada pada sesuatu tempat yang menjadi tarikan kepada orang ramai untuk datang ke tempat pelancongan tersebut.
    3. Aktiviti promosi yang giat dijalankan oleh Tourism Selangor bersama-sama organisasi pelancongan yang lain bagi memasarkan produk pelancongan yang mempunyai potensi diangkat menjadi tempat tarikan pelancong.
    4. Dokumentasi dan Kajian (Research). Bagi mengangkat sesebuah tempat untuk mencapai nilai destinasi pelancongan, Kerajaan Negeri turut menjalankan beberapa kajian dan dokumentasi serta publisiti dan promosi yang berterusan melalui kerjasama bersama agensi-agensi Kerajaan Persekutuan, Pihak Berkuasa Tempatan dan Tourism Selangor sendiri sebagai badan pelancongan negeri. Walau bagaimanapun, bagi menjalankan sesuatu kajian atau dokumentasi, Kerajaan Negeri buat masa ini hanya memberi keutamaan kepada produk-produk pelancongan yang difikirkan berpotensi untuk diangkat sebagai produk utama pelancongan negeri serta bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.
    5. Komuniti, organisasi atau kelab pelancongan tempatan daripada kawasan luar bandar tersebut perlu mewujudkan satu jawatankuasa dalam kalangan penduduk dan perniaga tempatan bagi menggerakkan aktiviti perniagaan pelancongan secara sihat. Contoh boleh dilihat kepada Persatuan Kemajuan Pelancongan Sekinchan yang bergiat aktif dan membawa model seperti ‘Community Based Tourism’ dan ‘Think Tourism’ yang sememangnya memberikan impak yang besar dalam memacu pembangunan pelancongan setempat di luar bandar.
  3. Berapakah jumlah peruntukan disediakan untuk tujuan tersebut?

    Peruntukan menaik taraf produk-produk pelancongan di kawasan-kawasan luar bandar bergantung kepada permohonan yang dikemukakan oleh setiap Pejabat Tanah/ Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan. Setiap tahun Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM2.5 Juta bagi tujuan menaik taraf produk pelancongan di dalam Negeri Selangor termasuk dalam membangunkan industri pelancongan di kawasan luar bandar yang berpotensi dibangunkan menjadi pusat tarikan pelancong.

Lampiran

Tiada Lampiran.