Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018
56) PELANCONGAN KESIHATAN
Tahun: 2018
Sesi: 3
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri dalam mempergiat prospek industri pelancongan perubatan di Selangor memandangkan Selangor adalah pintu masuk utama negara?
Pelancongan Kesihatan atau Perubatan merupakan antara segmen pelancongan yang terpenting di Negeri Selangor berikutan penawaran khidmat penjagaan kesihatan dan rawatan perubatan yang kompetitif dan terbaik berbanding negeri lain di Malaysia mahupun negara-negara jiran. Tourism Selangor selaku agensi promosi pelancongan negeri telah mewujudkan satu unit khas yang fokus kepada segmen pasaran khusus (Niche Market) seperti, Pelancongan Kesihatan (Medical Tourism), Pelancongan Golf, Pelancongan Mesyuarat, Insentif, Persidangan, dan Pameran (MICE), dan Pelancongan Kapal Persiaran (Cruise Tourism).
Kerajaan Negeri bersama agensi pelancongan, hospital dan pusat jagaan kesihatan di Negeri Selangor telah bekerjasama dalam menjalankan aktiviti pemasaran dan juga promosi pelancongan kesihatan dengan menyediakan pakej- pakej rawatan menarik dengan harga berpatutan. Pihak Tourism Selangor telah menyenaraikan lebih 30 hospital dan pusat kesihatan kerajaan dan swasta yang pakar dalam penjagaan kesihatan di peringkat rantau dan antarabangsa untuk dipromosikan berdasarkan kemampuan menawarkan kemudahan dan kelengkapan yang mengikut kriteria pelancongan kesihatan.
Pada masa yang sama, Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) dengan kerjasama Tourism Selangor telah menyediakan pakej pelancongan dan sesi lawatan mengikut kepada permintaan pasaran. Pakej yang ditawarkan ini memberi peluang kepada pesakit dan keluarga untuk melawat beberapa tempat yang menarik khususnya di sekitar dan berdekatan dengan pusat rawatan mereka.
Sebagai tanda usaha Kerajaan Negeri bersungguh dan mengambil peluang dalam industri pelancongan kesihatan, Kerajaan Negeri telah menganjurkan Selangor Wellness and Living Expo (SWELL) pada dua tahun berturut-turut iaitu pada Tahun 2016 dan Tahun 2017. Kerajaan Negeri juga menyokong penuh dan mengambil bahagian di dalam Malaysian Innovative Healthcare Symposium bertempat di International Medical University Malaysia juga pada tahun 2017 yang lalu.
Antara pasaran utama pelancongan kesihatan di negeri Selangor adalah dari negara Indonesia, Singapura, dan Timur Tengah di samping Vietnam, China dan India sebagai peluang baharu berdasarkan pasaran teras dan jumlah pelancong kesihatan, serta potensi pertumbuhan pasaran masing-masing menurut kajian Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC).