Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

124) PELANCONGAN DI BATU ARANG

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan kerajaan bagi pembangunan pelancongan di kawasan Batu Arang?

    Untuk makluman Yang Berhormat, MPS telah merancang untuk menjadikan Pekan Batu Arang sebagai pusat pelancongan warisan geologi seiring dengan pengiktirafan lokasi ini sebagai salah satu Geotapak di bawah Gombak Hulu Langat Geopark (GHL-Gp). Di bawah pengiktirafan ini, bekas rumah pekerja lombong arang batu telah dijadikan sebagai Pusat Satelit GHL-Gp dengan nama Galeri Batu Arang berfungsi sebagai pusat informasi pelancongan kepada pengunjung. Konsep pembangunan pelancongan yang dirancang adalah berasaskan kepada konsep ‘heritage trail’ yang akan menghubungkan ke keseluruhan 22 lokasi warisan yang terdapat di Pekan Batu Arang. Untuk makluman, perancangan projek ini telah memulakan kerja-kerja fizikal dan akan melibatkan beberapa fasa pembangunan sehingga dijangka siap menjelang 2025.

    Antara projek-projek naik taraf yang telah dilaksanakan ialah pembinaan tandas awam berhampiran bulatan Pekan Batu Arang, menaik taraf bulatan Pekan Batu Arang, membaik pulih papan tanda informasi pelancongan serta menaik taraf tandas di rumah bekas penempatan pekerja lombong Pekan  Batu Arang (Galeri Batu Arang).

    Perancangan pembangunan bagi fasa seterusnya telah dirangka pada tahun ini yang akan melibatkan kerja-kerja peningkatan kemudahan pelancongan di Galeri Batu Arang. Antara komponen-komponen projek terlibat ialah membina laluan pejalan kaki, membina wakaf dan pavillion, membangunkan replika cerobong asap (chimney) kilang batu bata, membangunkan heritage cafe dan membina tempat meletak kenderaan awam serta kerja-kerja pengindahan landskap di kawasan tersebut. Selain di Galeri Batu Arang, kerja-kerja pembangunan landskap di sekitar Pekan Batu Arang juga telah dirancang yang melibatkan komponen projek seperti menaik taraf laluan berbasikal, membina dataran berkumpul (gathering plaza), menaik taraf kemudahan rekreasi di kawasan lapang di Jalan Pekan dengan kerja-kerja membina wakaf, laluan pejalan kaki, bangku taman, lampu solar dan kelengkapan peralatan kecergasan. Setakat ini kos yang dibelanjakan untuk tujuan tersebut sebanyak RM1,579,236.60 bagi projek yang telah siap, manakala sebanyak RM1,079,075.90 bagi projek yang sedang dalam perancangan.

  2. Bagaimana kerajaan membantu untuk menjadikan terowong Batu Arang sebagai tarikan pelancongan?

    Terowong Batu Arang merupakan salah satu Geotapak di bawah Gombak Hulu Langat Geopark (GHL-Gp). Sehubungan dengan ini, beberapa inisiatif promosi pelancongan telah dilaksanakan bertujuan menjadikan lokasi ini sebagai pusat tarikan pelancongan. Antaranya ialah penerbitan video khas Pekan Batu Arang yang memaparkan tempat-tempat menarik sekitar Pekan Batu Arang seperti Terowong Batu Arang, Corong Udara (Air Shaft), Galeri Batu Arang, Sek. Men. Tuanku Abdul Rahman serta medan selera yang menempatkan kedai makan Roti Leleh yang telah diiktiraf sebagai Geofood. Video tersebut telah dimuatnaik ke media sosial iaitu di Facebook, Instagram, TikTok dan digital billboard di bawah pentadbiran MPS.

    MPS juga telah menerbitkan buku pelancongan yang memaparkan 22 lokasi tapak warisan dan produk-produk pelancongan di Pekan Warisan Batu Arang seperti Terowong Batu Arang, Air Shaft, Galeri Batu Arang dan lain-lain. Buku pelancongan ini telah dijadikan sebagai bahan promosi oleh Tourism Selangor Sdn Bhd dan Tourism Malaysia sebagai salah satu usaha untuk mempromosikan Pekan Batu Arang ini sebagai pusat tarikan pelancongan berasaskan warisan geologi.

Lampiran

Tiada Lampiran.