Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
128) PELANCONGAN ANJUNG SELATAN
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Lwi Kian Keong
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah pihak Tourism Selangor memberi keutamaan dalam mempromosikan produk - produk pelancongan di anjung selatan Selangor seperti terdapat penanaman buah naga dan River cruise?
Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor (TSSB) sentiasa memberi keutamaan kepada produk pelancongan di seluruh Negeri Selangor termasuk di kawasan anjung selatan yang terkenal sebagai ‘Pintu Masuk Negara’. Kawasan ini yang melibatkan daerah seperti Kuala Langat dan Sepang yang semakin menjadi tumpuan pelancong kerana terdapat pelbagai produk pelancongan yang menarik.
Pihak Tourism Selangor aktif dalam mempromosikan produk-produk pelancongan di media sosial, laman web rasmi serta jalinan kerjasama yang dilaksanakan dengan Agensi Pelancongan. Selain itu, terdapat banyak aktiviti promosi dan festival yang mengangkat keunikan kawasan Anjung Selatan Negeri Selangor telah dilaksanakan termasuk dari segmen makanan tempatan, alam semula jadi dan produk pertanian seperti berikut:
1.Penanaman Buah Naga
Kawasan seperti Tanjung Sepat di Kuala Langat terkenal dengan penanaman buah naga. Pihak TSSB sering mempromosikan kepada pelancong pengalaman melawat ladang buah naga, di mana pelancong boleh melihat secara langsung cara penanaman dan memetik sendiri buah naga. Di samping itu, ianya boleh menjadi daya tarikan dalam segmen eko-pelancongan di mana pelancong boleh menikmati pelbagai aktiviti seperti lawatan ke ladang, mencuba buah naga segar dan membeli produk berasaskan buah naga.
2.River Cruise
River Cruise di Kuala Langat juga menawarkan pengalaman menyusuri Sungai Langat kepada para pelancong. Aktiviti ini memberi pengalaman yang unik di mana pelancong boleh menikmati keindahan alam semula jadi, melihat hidupan liar dan merasai suasana santai di tepi sungai. Kuala Langat Nature Park dan kawasan sekitarnya telah dimasukkan ke dalam pakej pelancongan Anjung Selatan Negeri Selangor untuk dipromosikan oleh Tourism Selangor.
Selain itu, terdapat juga produk-produk pelancongan lain di Anjung Selatan yang sering menjadi tumpuan seperti berikut:
- Pantai Bagan Lalang;
- Ladang Buluh (Bamboo Farm);
- Sungai Sepang Besar;
- Jeti Sirip Biru;
- Mitsui Outlet Park;
- Avani Sepang Gold Coast;
- Homestay Banghuris;
- Gamuda Discovery Park;
- Splash Mania;
- Paya Indah Wetlands;
- Bangi Wonderland dan
- Ladang Farm Fresh UPM.