Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

317) PELANCONGAN

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Datuk Abdul Rashid Bin Asari

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif Kerajaan Negeri dalam merancakkan sektor pelancongan Negeri Selangor pada tahun ini sebagai langkah persediaan menyambut "Tahun Melawat Selangor" pada tahun hadapan?

    Kempen Tahun Melawat Selangor 2025 merupakan hala tuju kempen promosi pelancongan yang terbaharu yang akan menjalankan aktiviti promosi pelancongan besar-besaran bertujuan untuk meningkatkan lagi profil dan kemajuan industri pelancongan Negeri Selangor. Berikut merupakan perancangan persediaan yang sedang dan akan dijalankan sempena penganjuran Kempen Tahun Melawat Selangor 2025.

    1. Penetapan Matlamat dan Sasaran keseluruhan Tahun Melawat Selangor 2025, mengikut perincian seperti yang berikut:-
      1. Sasaran Kedatangan Pelancong: 8 juta pelancong dari dalam dan luar negara
      2. Sasaran Resit Pelancongan: RM 11.7 bilion
      3. Sasaran Program/Acara Pelancongan: Lebih 60 acara
      4. Sasaran Program/Acara Promosi: Lebih 50 inisiatif promosi pelancongan
      5. Sasaran Capaian di Media Sosial: 30 juta capaian dan tontonan
    1. Sempena penganjuran kempen Tahun Melawat Selangor 2025, berikut merupakan segmentasi pelancongan yang diberi penekanan khusus:
      1. Pelancongan Eko
      2. Pelancongan Agro
      3. Pelancongan Seni & Budaya
      4. Pelancongan Gastronomi (Makanan)
      5. Pelancongan MICE (Meetings, Incentives, Conferences and Exhibitions)
      6. Pelancongan Berpengalaman (Experiential Tourism)
    • Proses Kajian Potensi Pelancongan dengan membuat Kajian Pasaran seperti analisis pasaran bagi menentukan segmen pelancong berpotensi, dan trend pelancongan semasa.
    • Penambahbaikan Infrastruktur, sistem pengangkutan awam dan mengenalpasti produk pelancongan dan tempat penginapan pelancongan baharu di semua daerah Negeri Selangor.
    • Menggiatkan aktiviti Pemasaran dan Promosi Kempen termasuklah kempen pengiklanan, kempen digital dan media sosial, siri promosi dalam dan luar negara, penganjuran acara pelancongan, roadshow, dan Travel Fair sempena Tahun Melawat Selangor 2025.
    • Menjalankan kerjasama dengan penggiat industri pelancongan Negeri seperti agensi pelancongan, syarikat penerbangan, dan rakan kongsi strategik untuk meningkatkan capaian pemasaran, meningkatkan kualiti perkhidmatan serta menawarkan pakej menarik.
    • Penganjuran program latihan dan pendidikan pelancongan untuk meningkatkan kemahiran dan kesedaran penggiat industri terhadap keperluan pelancong seperti perkhidmatan atau servis dan cara berkomunikasi dengan pelancong.
    • Penyediaan Kalendar Acara Pelancongan dan Festival sepanjang tahun yang mempunyai daya tarikan unik dan beraneka samaada dianjurkan oleh Kerajaan Negeri ataupun pihak swasta
    • Persediaan aspek keselamatan dan kebersihan termasuk menerapkan  langkah-langkah keselamatan di destinasi pelancongan dan kemudahan umum serta berkolaborasi dengan pihak berkuasa tempatan untuk meningkatkan kawalan keselamatan.

Lampiran

Tiada Lampiran.