Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

286) PELANCONGAN

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah sasaran Kerajaan Negeri tahun 2024 bagi melipat gandakan pencapaian dalam sektor Pelancongan?

    Sasaran kedatangan pelancong ke Negeri Selangor pada tahun 2024 adalah sebanyak 6.87 juta pelancong. Untuk makluman, Ahli-ahli Yang Berhormat, sasaran tersebut adalah berdasarkan anggaran peratusan peningkatan kedatangan pelancong ke Negeri Selangor yang disasarkan pada kadar 5% daripada pencapaian tahun sebelumnya.

  2. Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk mewujudkan sebuah hub budaya yang mempromosi kepelbagaian budaya dan adat kaum di Selangor?

    Berdasarkan dari aspek pelancongan, Tourism Selangor telah memperkenalkan program Hos Komuniti Setempat Selangor (HKSS) pada tahun 2019 bagi tujuan membawa pelancong ke produk-produk pelancongan tempatan melalui program ‘Community Based Tourism’. Antara usaha dan inisiatif yang akan dilaksanakan bagi mempromosikan kepelbagaian budaya dan adat kaum di Selangor adalah seperti berikut:-

    i. Memperkenalkan pakej pelancongan yang memfokuskan aktiviti kesenian dan kebudayaan;

    ii. Penghasilan peta budaya daerah; dan

    iii. Membantu meningkatkan penglibatan komuniti dalam penganjuran lawatan bersama pelancong

    Selain itu, Perbadanan Adat Melayu & Warisan Negeri Selangor (PADAT) telah memfokuskan penganjuran pelbagai aktiviti dan acara kebudayaan untuk mempromosikan kepelbagaian budaya dan adat bagi kaum Negeri Selangor pada tahun 2023 dan 2024 seperti pelaksanaan Seminar Khazanah Alam, pameran kebudayaan dan permainan tradisonal.

  3. Apakah pencapaian sektor pelancongan Selangor bagi tahun 2023?

    Bagi Tahun 2023, jumlah kedatangan pelancong ke Negeri Selangor seramai 6.54 juta pelancong dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 46.4% berbanding tahun 2022 yang lalu. Daripada jumlah 6.54 juta orang pelancong tersebut, 68% merupakan pelancong domestik (4.45 juta pelancong) manakala 32% merupakan pelancong antarabangsa (2.09 juta pelancong).

    Sehubungan itu, prestasi kedatangan pelancong domestik bagi tahun 2023, telah mencatatkan peningkatan yang menggalakkan sebanyak 35.9% dimana jumlah yang direkodkan tersebut adalah lebih tinggi berbanding pencapaian kedatangan pelancong domestik pada tempoh pra pandemik (Tahun 2019). Jumlah tersebut menunjukkan hasil langkah proaktif kerajaan Negeri Selangor dalam membantu untuk meningkatkan semula industri pelancongan Negeri Selangor melalui 2 Pakej Ransangan Kita Selangor serta Kempen Pelancongan Domestik “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!” telah menunjukkan impak yang positif.

    Bagi prestasi kedatangan pelancong antarabangsa ke Negeri Selangor, masih belum merekodkan jumlah kedatangan pelancong yang signifikan selepas tempoh pra pandemik (Tahun 2019) namun mencatatkan peningkatan kedatangan pelancong antarabangsa sebanyak 75.3% pada tahun 2023 (2.09 juta orang) berbanding tahun 2022 (1.19 juta orang).

Lampiran

Tiada Lampiran.