Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

4) PELANCONGAN

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah yang diambil Kerajaan Negeri bagi merancakkan kembali sektor pelancongan di Negeri Selangor ?

    Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor mengambil langkah proaktif bagi membangun dan memulihkan semula industri ini dalam situasi COVID-19 seperti yang berikut:-

    i) Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan bantuan bagi menangani kesan COVID-19 berjumlah RM5.51 juta kepada sektor pelancongan melalui dua Pakej Ransangan iaitu Pakej Ransangan Selangor Prihatin (RM2.6 juta) pada tahun 2020 dan Pakej Kita Selangor 2.0 (RM2.55 juta) pada tahun 2021 ini. Melalui 2 pakej ransangan ini, 6 inisiatif telah dan akan dilaksanakan seperti berikut :

    ii) Penganjuran Kempen Promosi Pelancongan “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!” yang memberi penekanan kepada pasaran domestik dengan menggunakan platform media sosial, digital dan atas talian.

    iii) Penganjuran Kempen Promosi Pelancongan “Splendid Selangor, Take Me Anywhere” bagi penekanan kepada pasaran Antarabangsa.

    iv) Penganjuran Kempen “Imagine – Experience Soon” dan #TourismSelangorCares sempena pelaksanaan PKP di Negeri Selangor.

    v) Aktiviti promosi pelancongan norma baharu melalui penglibatan di dalam program promosi pelancongan yang menggunakan platform digital dan atas talian seperti penganjuran program promosi E-Travel Fair dimana Tourism Selangor dapat berhubung dan berinteraksi bagi menyampaikan tawaran-tawaran serta maklumat terkini industri pelancongan di Negeri Selangor kepada pihak agensi pelancongan, pengusaha produk pelancongan dan pihak berkaitan industri pelancongan lain serta para pelancong secara terus tanpa bersemuka.

    vi) Penyertaan Program Promosi seperti Virtual Tourism Expo 2021 anjuran DiTTAM

    vii) Inisiatif digital dan atas talian seperti penganjuran Webinar bersiri, Live Streaming, di laman media sosial Tourism Selangor.

    viii) Penganjuran program VR Pelancongan (Virtual Reality) untuk produk pelancongan di 9 daerah di Negeri Selangor.

    ix) Penganjuran program Familiarization Trip (FAM Trip) yang melibatkan pihak media, agensi pelancongan tempatan dan antarabangsa.

    x) Penyediaan pakej pelancongan yang melibatkan integrasi promosi antara 9 Daerah dan 12 PBT di Negeri Selangor.

    xi) Penganjuran Acara Pelancongan norma baharu seperti Tourism Selangor Global Convention yang menekankan SOP (Standard Operation Procedure) mengikut saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

  2. Senaraikan kawasan pelancongan baharu yang boleh menjadi tarikan utama pelancong domestik dan luar negara di Negeri Selangor.

    Terdapat beberapa kawasan pelancongan baharu yang telah dikenal pasti menjadi tarikan utama pelancong domestik dan luar negara di Negeri Selangor. Antaranya adalah Paya Indah Discovery Wetlands yang terletak di daerah Kuala Langat. Ia merupakan produk pelancongan baharu bersegmenkan eko-pelancongan dan dibangunkan bagi melindungi dan memulihara habitat flora dan fauna. Kawasan ini diuruskan oleh Jabatan Hidupan Liar, Taman Negara dan pemaju perbandaran Gamuda Cove iaitu Gamuda Land. Tarikan utama yang terdapat di Paya Indah Discovery Wetlands adalah pengalaman menerokai ‘Safari Insta Tour Ride’ dengan menaiki Jeep. Tarikan lain yang ditawarkan adalah seperti menaiki belon udara panas dan Cove Aerobar, pelayaran bot, menunggang kuda, memancing serta berbasikal.

    Selain itu, Taman Awam Pengkalan Batu yang merupakan produk sedia ada di daerah Klang juga berpotensi untuk dijadikan tarikan utama pelancong domestik dan luar negara. Menerusi projek Selangor Maritime Gateway (SMG), taman ini telah dinaik taraf bagi meningkatkan imej taman persisir Sungai Klang dengan menawarkan kemudahan rekreasi dan perkhidmatan pengangkutan teksi air yang dijadualkan beroperasi pada tahun ini. Antara projek lain yang akan dibangunkan di kawasan sekitar Sungai Klang adalah Taman Rekreasi Mangrove Point, Grand Bazaar, Cultural Village & Retreat Resort dan Community River Park. Kesemua projek ini dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2025.

    Produk pelancongan baharu yang turut diperkenalkan di daerah Klang adalah Pakej Lawatan Agro Pelancongan Kg. Johan Setia yang diuruskan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Kampung Johan Setia. Menerusi pakej ini, pengunjung berpeluang untuk melawat ke kawasan penanaman hasil pertanian penduduk kampung dan berpeluang untuk mengenali pelbagai jenis pokok serta mengetahui kaedah  penanaman hasil pertanian.  Antara hasil pertanian yang terkenal di sini adalah buah nanas.

    Seterusnya adalah Taman Persahabatan Selangor – Jepun yang terletak di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Taman ini telah dibuka secara rasmi pada 12 Mac 2021. Ia merupakan simbolik dan penghargaan kepada negara tersebut kerana menjadikan Negeri Selangor sebagai destinasi pelaburan. Pengunjung juga berpeluang untuk menerokai keindahan Negara Jepun menerusi Laman Zen, Kolam Mazen dan Gerbang Torii Tsukubai yang terdapat di sini.

    Tidak ketinggalan Musical Fountain Taman Tasik Shah Alam yang merupakan produk pelancongan yang dibina oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Selain melakukan aktiviti seni dan rekreasi, pengunjung dapat menikmati keindahan air pancut berirama yang diwarnai oleh lampu berwarna-warni yang akan memeriahkan dan menyemarakkan taman tasik ini pada setiap hari Jumaat, Sabtu, Ahad dan cuti umum.

    Sg. Lalang Hotspring, Semenyih yang terdapat di daerah Hulu Langat juga merupakan destinasi yang boleh menjadi tarikan utama pelancong domestik dan luar negara.  Ini adalah kerana manfaat yang terdapat pada kolam air panas mampu membuatkan kesihatan tubuh badan menjadi bertambah baik. Kandungan sulfur dan mineral yang tinggi ternyata berkesan merawat pelbagai jenis penyakit seperti penyakit kulit, sakit kepala dan sebagainya.

    Selain itu, Fraser Valley merupakan kawasan agro pelancongan yang terletak di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor. Aktiviti utama yang dilakukan di sini adalah memancing dan terdapat beberapa kolam ikan air tawar khusus untuk pemancing. Di sini juga disediakan sebuah restoran untuk pengunjung menjamu selera iaitu TR TomYam House.

    Produk pelancongan baharu yang lain adalah Husin Fauzi Farm yang terletak di daerah Kuala Selangor. Ia adalah taman mini haiwan yang membenarkan pengunjung untuk memberi makan kepada haiwan seperti burung unta, burung merak, ular, kambing, arnab dan kura-kura. Aktiviti-aktiviti lain yang terdapat di sini adalah aktiviti berkuda, menangguk ikan, memanah dan menaiki ATV/ tram.

    Wan Tee Longan yang merupakan produk pelancongan baharu di Sg. Pelek juga berpotensi untuk menarik minat pelancong domestik dan luar negara ke Negeri Selangor. Ia merupakan ladang longan yang terletak di daerah Sepang. Ketika berkunjung ke sini, pengunjung berpeluang membeli longan dengan harga yang berpatutan. Walau bagaimanapun, penjualan longan ini bergantung kepada musimnya.

Lampiran

Tiada Lampiran.