Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011
56) PELANCONGAN
Tahun: 2011
Sesi: 2
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Tuan Haji Hasiman Bin Sidom
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Kerajaan negeri mahu memperkenalkan dasar 1 Produk 1 PBT. Apakah status dasar 1 Produk 1 PBT tersebut
Sebenarnya 1 Produk 1 PBT bukanlah merupakan satu dasar yang tetap yang menjadi dasar utama di peringkat negeri. Pengenalan konsep 1 Produk 1 PBT ini ialah lanjutan daripada program pembangunan pelancongan yang berterusan dari tahun-tahun sebelumnya. Ia sebenarnya tidak terikat kepada 1 produk bagi setiap satu PBT sahaja. Jawatankuasa Tetap Pelancongan Negeri Selangor telah menetapkan sasaran bagi mengenalpasti 9 produk pelancongan baru setiap tahun. Sasaran ini dibuat dengan mengambil kira kapasiti Sembilan ( 9 ) buah daerah di negeri Selangor. Setakat ini, bagi tahun 2011, sebanyak 5 produk baru pelancongan telah dikenalpasti dan berpotensi menjadi antara daya tarikan baru pelancongan di negeri ini. Produk-produk tersebut ialah Mini Convention Center ( Sabak Bernam ), Morib Gold Coast ( Kuala Langat ), Ghulam Mee ( Kota Damansara ),Pembuatan Tembikar Ramadass ( Kuala Selangor ) dan Upin Ipin – Café & Studia ( Shah Alam ).
-
Apakah produk pelancongan bagi Majlis Daerah Kuala Langat
Setiap daerah mempunyai keunikan dan tarikan tersendiri. Salah satu daerah yang mempunyai banyak produk pelancongan yang menarik adalah daerah Kuala Langat di kawasan Majlis Daerah Kuala Langat. Produk-produk pelancongan tersebut adalah:
- Pantai Morib
- Istana Jugra
- Istana Bandar
- Pantai Kelanang
- Paya Indah Wetland
- Dong Zen Monastery
- Masjid Sultan Alauddin
- Homestay Kg. Endah
- Homestay Kg. Kundang
- Homestay Kanchong Darat
- Homestay Kg. Sg. Lang Tengah
- Homestay Batu Laut
- Perkampungan Orang Asli Pulau Carey
-
Bagaimana dasar ini dilaksanakan untuk menarik pelancong asing
Untuk menarik pelancong ke produk-produk dan destinasi-destinasi tersebut, pihak Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor Sdn Bhd ( TSSB ) giat menjalankan kempen dan aktiviti promosi sama ada dalam dan luar negara. Aktiviti dan program promosi ini bukan sahaja terhad kepada produk-produk dalam daerah Kuala Langat semata-mata bahkan juga bagi semua produk pelancongan di negeri Selangor. Tahun 2011, melalui TSSB, Kerajaan Negeri telah merancang melaksanakan kira-kira 10 aktiviti promosi luar negara melalui penyertaan dalam pameran pelancongan dan sales mission yang membabitkan penyertaan key-players industry pelancongan di peringkat antarabangsa.
Selain itu, Kuala Langat juga telah menjadi salah satu daerah di bawah Program Daerah Fokus selain Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor. Program Daerah Fokus ini bukan sahaja menumpukan kepada aktiviti promosi pelancongan sahaja bahkan turut merangkumi penganjuran acara-acara pelancongan, pembangunan produk dan projek-projek kecil penyelenggaraan serta naik taraf produk pelancongan negeri Selangor. Program Daerah Fokus ini merupakan satu lagi usaha Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pelancongan dalam membantu pembangunan daerah-daerah yang terlibat yang masih berstatus Majlis Daerah. Secara kebetulan, empat ( 4 ) daerah berkenaan merupakan antara daerah-daerah yang mempunyai banyak tarikan dari aspek produk dan destinasi pelancongan yang berpotensi.