Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012
45) PELAN TINDAKAN PERUMAHAN KOMUNITI (BEKAS SETINGGAN)
Tahun: 2012
Sesi: 1
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah strategi menangani masalah perumahan komuniti bekas setinggan (ruang letak kereta, lif, kebersihan dll) yang tinggal di pangsapuri kos rendah?
Sebenarnya, tidak wujud perumahan komuniti bekas setinggan kerana di setiap pembangunan pangsapuri kos rendah terdapat juga pembeli dari kalangan bukan penduduk setinggan. Oleh itu, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan yang lebih universal yang mengambil kira semua kehendak dan cita rasa golongan berpendapatan rendah di bandar dengan menetapkan satu standard perancangan pembangunan khususnya berkaitan perumahan dalam perspektif yang baru. Sebagai langkah awal, Kerajaan Negeri memberi tumpuan untuk meningkatkan infrastruktur dan kemudahan komuniti di pangsapuri kos rendah dan sederhana rendah seperti lif, bumbung, tangki air dan sebagainya melalui Skim Bantuan Baikpulih Bangunan atau Caring Government For Residents’ Improvement Aid (CERIA) bertujuan meningkatkan taraf kualiti hidup di perbandaran bagi kumpulan sasar tersebut.
Untuk meringankan beban kewangan penduduk terlibat, Kerajaan Negeri bersetuju untuk membiayai kos baikpulih secara perkongsian iaitu Kerajaan Negeri (80%) dan pembeli (20%). Justifikasi kaedah perkongsian kos ini adalah seperti berikut:
- Pembeli berasa kepunyaan (sense of belonging) ke atas kemudahan yang di baikpulih; dan
- Pembeli tahu jumlah kos baikpulih yang telah dibiayai oleh Kerajaan Negeri di mana kos tersebut sepatutnya ditanggung pembeli.
Operasi skim CERIA telah bermula semenjak bulan Jun tahun 2011 dan setakat ini Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM9.1 juta bagi pelaksanaan Skim CERIA seperti berikut:
i- Tahun 2010 RM2.3 juta Kerajaan Negeri RM1.8 juta Pembeli RM0.5 juta ii- Tahun 2011 RM6.9 juta Kerajaan Negeri RM5.1 juta Pembeli RM1.8 juta Status pelaksanaan Skim CERIA berdasarkan jenis kerja baikpulih adalah seperti berikut:
Bil. Jenis Kerja Baikpulih Jumlah Kawasan 1. Tangki Air 5 2. Lif 16 3. Bumbung 24 4. Gutter 2 5. Pembentung 1 6. Pagar 2 7. Cat 11 8. Jalan 1 9. Longkang 2 10. Handrail & Landing Slab 1 11. Kotak Pendawaian Elektrik 1 12. Sistem Pencegahan Kebakaran 1 13. Taman Permainan 1 14. Paip Sanitari 1 JUMLAH 69 Manakala, bagi isu ruang tempat letak kereta Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 39/2010 bertarikh 27 Oktober 2010 telah meluluskan Manual Garis Panduan Dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor yang memperuntukkan satu (1) tempat letak kereta bagi satu (1) unit kediaman pangsapuri kos rendah dengan tambahan 20% unit tempat letak kereta bagi pelawat. Sebelum ini, peruntukan tempat letak kereta bagi pangsapuri kos rendah adalah satu (1) tempat letak kereta bagi dua (2) unit rumah.