Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
270) PELAN PERANCANGAN PENGGUNAAN TANAH
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah Pelan Perancangan Penggunaan Tanah bagi Negeri Selangor yang terkini?
Pelan Perancangan Penggunaan Tanah bagi Negeri Selangor adalah merujuk kepada Rancangan Pemajuan yang melibatkan Rancangan Struktur, Rancangan Tempatan dan Rancangan Kawasan Khas.
Rancangan Struktur Negeri Selangor (RSN) 2035 merupakan dokumen Rancangan Pemajuan di peringkat kedua yang disediakan menurut Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang akan melengkapi rancangan pemajuan di peringkat negeri. Ia juga merupakan pernyataan bertulis yang menerangkan dasar dan cadangan-cadangan strategik negeri berkenaan dengan pemajuan dan penggunaan tanah dalam kawasan bandar dan desa termasuklah langkah-langkah untuk:-
1) Memperelokkan lagi alam sekitar dari segi fizikal.
2) Memperelokkan lagi perhubungan dan menggunakan lalulintas.
3) Pembaikan tahap sosio, ekonomi, menggalakkan pertumbuhan ekonomi.
4) Mempertingkatkan perancangan luar bandar dan rancangan desa, dan
5) Memudahkan pembangunan secara mampan.
Manakala Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula berperanan untuk menyediakan dokumen Rancangan Tempatan (RT) yang selaras dengan Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 bagi merancang dan mengawal pembangunan aktiviti guna tanah di setiap kawasan Pihak Berkuasa tempatan (PBT) menerusi dokumen ini akan memperincikan penggunaan tanah dalam bentuk Pelan Guna Tanah dan Kelas Kegunaan tanah bagi tujuan kawalan pembangunan melalui penggantian atau pengubahan yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) berdasarkan keperluan selaras dengan peruntukan Akta 172.
-
Bagaimana Kerajaan Negeri memastikan perlaksanaan serta pemantauan segala perancangan penggunaan tanah dilakukan?
Bagi memastikan perancangan pembangunan negeri dilaksanakan sebagaimana terkandung di dalam dokumen Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 atau mana-mana Rancangan Tempatan (RT), pihak PLANMalaysia@Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan akan melaksanakan penilaian dari masa ke semasa dari segi kepatuhan dan keperluan pihak pemaju atau tuan tanah selepas dua tahun di wartakan. Antara kaedah yang dilaksanakan adalah Penilaian Outcome. Antara tujuan utama penilaian ini adalah untuk :
(a) Mengkaji tahap penerimapakaian dan pematuhan kepada RP oleh PBN, PBT dan agensi pelaksana yang berkaitan;
(b) Menilai pencapaian dasar, strategi pembangunan dan langkah-langkah pelaksanaan RP;
(c) Menilai pencapaian keberhasilan (outcome); dan
(d) sebagai asas kepada penggubahan atau kajian semula RP.
Dalam erti kata lain, cadangan dan strategi, dasar dan projek-projek utama oleh kerajaan negeri akan dinilai semula berdasarkan viability, tahap penerima pakaian dan pelaksanaan projek-projek yang telah dicadangkan oleh pihak stake holders dan golongan sasar.