Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

43) PELAN PEMULIHAN INDUSTRI PELANCONGAN DAN PERHOTELAN

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri telah menyediakan sebuah pelan pemulihan bagi industri Pelancongan dan perhotelan untuk membantu sektor ini berkembang semula dan membantu golongan pekerja dalam industri ini?

    Kerajaan Negeri pada ketika ini telah melaksanakan dan merancang pelbagai inisiatif dan bantuan bagi membantu perkembangan industri pelancongan di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan bantuan bagi menangani kesan Covid-19 serta inisiatif bagi membangunkan perkembangan industri pelancongan di Negeri Selangor berjumlah RM5.51 juta melalui dua Pakej Ransangan iaitu Pakej Ransangan Selangor Prihatin berjumlah RM2.6 juta pada tahun 2020 dan Pakej Kita Selangor 2.0 berjumlah RM2.55 juta pada tahun 2021.

    Melalui 2 pakej ransangan ini, 6 inisiatif telah dan akan dilaksanakan seperti berikut :

    Pakej Ransangan Selangor Prihatin (Tahun 2020):

    1. Insentif Khas Bersasar Secara One-Off kepada Penggiat Industri Pelancongan; dan
    2. Program Pengagihan Subsidi Baucar Pelancongan.

    Pakej Kita Selangor 2.0 Bagi Sektor Pelancongan (Tahun 2021):

    1. Geran Bantuan Kewangan Program /Aktiviti Pelancongan Negeri Selangor;
    2. Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0;
    3. Program Latihan Digital Pembelanjaran Pendigitalan Pelancongan; dan
    4. Bantuan Kewangan “One-Off” kepada Persatuan Pelancongan.

    Inisiatif-inisiatif tersebut memberi manfaat kepada pemain-pemain industri pelancongan seperti Pengusaha Penginapan Pelancongan (Hotel & Homestay), Frontliner Pelancongan (Pemandu Pelancong & Hos Komuniti), Agensi Pelancongan dan Pengembaraan dan Persatuan-Persatuan Pelancongan yang menaungi keseluruhan pemain-pemain industri pelancongan di Negeri Selangor khususnya bagi industri perhotelan dan penginapan. Pengusaha melalui persatuan perhotelan dan penginapan juga boleh membuat permohonan bagi bantuan-bantuan dan latihan kemahiran yang terdapat dalam pakej bantuan yang telah disediakan bagi membantu merangsang perkembangan sektor ini.

    Selain dari pakej bantuan tersebut, kempen promosi pelancongan tetap giat dijalankan melalui pelaksanaan kempen “Pusing Selangor Dulu!” bagi merangsang ekonomi pelancongan domestik khususnya kepada sektor perhotelan dan industri-industri berkaitan pelancongan yang lain.

    Disamping itu, pihak Kerajaan Negeri pada ketika ini juga sedang meneliti dan cadangan untuk mengurangkan atau menangguhkan pengenaan cukai pintu, cukai tanah dan permit perniagaan terhadap pengusaha hotel dan penginapan dalam Negeri Selangor.

     

    Nota Tambahan:

    Butiran Pakej Kita Selangor 2.0:

    Geran Bantuan Kewangan Program dan Aktiviti Pelancongan;

    Melalui pakej rangsangan ini, pihak persatuan atau penggiat industri pelancongan boleh memohon geran bantuan kewangan yang ditawarkan bagi tujuan melaksanakan aktiviti berkaitan promosi industri pelancongan Negeri Selangor tertakluk kepada kelayakan, terma dan syarat yang digariskan. Jumlah keseluruhan peruntukan yang disediakan Kerajaan Negeri di bawah Geran Bantuan Kewangan Program dan Aktiviti Pelancongan ini adalah sebanyak RM1 juta.

    Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0;

    Melalui program Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0, penggiat industri pelancongan khususnya agensi pelancongan, pengusaha penginapan pelancongan (Hotel, Bajet Hotel dan Homestay), pengusaha makanan, pengusaha pengangkutan pelancongan dan operator produk pelancongan secara langsung dan tidak langsung akan dapat menerima manfaat baucar bantuan ini. Sebanyak 20,000 baucar bernilai RM50 setiap baucar akan diagihkan melalui e-wallet dan e-baucar kepada orang ramai yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1 juta.

    Program Latihan Pembelajaran Pendigitalan Pelancongan;

    Penggiat industri juga ditawarkan latihan pendigitalan untuk  membantu meningkatkan kesedaran, pengetahuan,  produktiviti dan pemasaran produk pelancongan secara atas talian di bawah Program Latihan Pembelajaran Pendigitalan Pelancongan Negeri Selangor. Dengan adanya program berteraskan digital ini, pemain-pemain industri mampu untuk meningkatkan produktiviti pemasaran dan promosi serta ianya secara tidak langsung akan meningkatkan perkembangan ekonomi sektor pelancongan di Negeri Selangor.

    Bantuan Kewangan “One-Off” kepada Persatuan Pelancongan di Negeri Selangor;

    Inisiatif bantuan ini memberi galakkan kepada 17 persatuan pelancongan di Negeri Selangor yang terpilih untuk melaksanakan aktiviti atau program pelancongan yang berupaya meningkatkan semula produktiviti serta pendapatan lebih 1,500 penggiat industri atau ahli yang berada dibawah naungan mereka.  Antara persatuan pelancongan yang terpilih termasuklah dari sektor penginapan dan perhotelan seperti Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Association Of Hotel Owners (MAHO) dan Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA). Selain itu, Persatuan Gemilang Agensi Pelancongan & Pengusaha Bas Malaysia (GAPP Malaysia) juga tersenarai sebagai penerima bantuan ini berserta dengan persatuan-persatuan terpilih yang lain. Setiap persatuan diberikan bantuan kewangan ”one-off” sebanyak RM15,000 yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM255,000.

Lampiran

Tiada Lampiran.