Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
155) PELAN MENGHADAPI PERUBAHAN IKLIM TERUTAMA DI KAWASAN PANTAI BARAT SEMENANJUNG
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Zamri Bin Mohd Zainuldin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah strategi dan langkah jangka pendek, sederhana dan panjang untuk menghadapi perubahan iklim, seperti banjir kilat, tebing ban yang pecah dan hakisan pantai?
Sejak akhir- akhir ini, perubahan iklim menjadi tumpuan di serata dunia. Ianya bukan sahaja memberi impak negatif terhadap alam sekitar malah turut terkesan kepada aspek sosial dan ekonomi masyarakat. Bagi menghadapi perubahan iklim yang boleh mengakibatkan banjir kilat, tebing dan ban pecah serta hakisan pantai beberapa langkah dan strategi telah dirangka sebagai alternatif bagi mengurangkan risiko dan kesan terhadap perubahan iklim di kawasan pinggir pantai. Antara strategi dan langkah yang diambil terbahagi kepada tiga (3) iaitu langkah jangka pendek, sederhana dan panjang adalah seperti berikut:-
- Jangka Pendek
- Pelaksanaan kerja melibatkan kawasan dilanda hakisan di mana ianya boleh mengakibatkan ancaman banjir kepada penduduk setempat. Pelan tindakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor adalah dengan melaksanakan kerja-kerja menyelenggara parit borrowpit sekurang-kurangnya setahun sekali bagi menampung limpahan air apabila berlaku fenomena air pasang besar dan benteng/ ban pecah.
2. Jangka Sederhana
- JPS sentiasa melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan benteng pantai yang rendah dan kritikal serta menyelenggara lapisan pelindung batu sebagai alternatif meminimumkan risiko hakisan pantai.
3. Jangka Panjang
- Keperluan menaiktaraf ban/ benteng pantai adalah berdasarkan faktor keselamatan, kefungsian, ekonomik dan bersifat mesra alam. Cadangan reka bentuk telah mengambil kira tahap hakisan, faktor kekuatan angin, pukulan ombak dan kenaikan aras laut. Sehubungan itu, cadangan reka bentuk menggunakan tanah (untuk meninggikan ban), amour rock dan coastal block (untuk lapisan pelindung) adalah bersesuaian berdasarkan keadaan di tapak dan peruntukan sedia ada.
- Bagi tindakan jangka panjang pula, JPS akan melaksanakan Projek Fenomena Air Pasang Besar yang dijangka bermula pada bulan April 2024. Projek tersebut melibatkan empat (4) Daerah iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang dan Kuala Langat dengan pelaksanaan sebanyak lapan (8) projek yang melibatkan jumlah kos projek sebanyak RM38.6 juta seperti berikut:-
-
Merujuk perkara ke-8 dalam buku pembentangan bajet, cuma 6.5 juta dan 103 program, adakah memadai?
Untuk Makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM65 juta kepada JPS Negeri Selangor bagi pelaksanaan sebanyak 103 projek. Peruntukan sebanyak RM4.2 juta diagihkan untuk pelaksanaan projek melibatkan pembangunan pantai di bawah Pecahan Kepala (P.K) 6 – Pembangunan Pantai. Selain daripada peruntukan oleh Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan sebanyak RM38.6 juta kepada JPS Negeri Selangor bagi pelaksanaan Projek Fenomena Air Pasang Besar seperti di atas. Buat masa ini, peruntukan yang diterima masih memadai.