Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

92) PELAN INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN KAMPUNG TRADISI MELAYU

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah peruntukan yang disediakan untuk setiap kampung untuk mencapai piawaian infrastruktur dan kemudahan awam?

    Kerajaan Negeri sentiasa berusaha keras untuk memastikan infrastruktur yang diperolehi oleh masyarakat pinggiran bandar adalah setanding dengan infrastruktur yang diperolehi oleh masyarakat di bandar. Bagi memastikan kelengkapan dan kesempurnaan infrastruktur ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan jumlah kewangan yang besar khas untuk menampung kos pembaikan dan pengwujudan infrastruktur baru di kawasan kampung. Pada tahun 2016, jumlah peruntukan yang diberikan untuk penyelenggaraan jalan kampung dan menaiktaraf kemudahan asas desa adalah sebanyak RM15 juta. Walau bagaimanapun, jumlah peruntukan tersebut tidak dikhususkan terhadap sesebuah kampung. Peruntukan akan diberikan mengikut keperluan dan keutamaan projek- projek yang dijalankan.

  2. Bagi setiap kampung, adakah pelan menyeluruh untuk mencakupi perkembangan dan keperluan masa depan penduduk?

    Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi setiap kampung di negeri Selangor adalah diwajibkan untuk menyediakan profil kampung yang mengandungi maklumat terperinci bagi sesebuah kampung. Maklumat ini meliputi senarai demografi penduduk, aktiviti ekonomi yang dijalankan di kampung serta kemudahan-kemudahan infrastruktur yang terdapat di kampung tersebut. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri Selangor sedang bekerjasama dengan Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Selangor untuk menyediakan Pelan Halatuju Strategik Desa Negeri Selangor.

    Kajian akan dijalankan untuk menterjemah Dasar Perancangan Fizikal Desa Negara (DPFDN) ke peringkat Negeri Selangor, mengemaskini profil fizikal desa untuk memudahkan perancangan fizikal dilaksanakan, dan secara tidak langsung menyediakan sistem maklumat yang menggabungkan maklumat spatial dan bukan spatial untuk kegunaan pelbagai pihak ke arah merealisasikan pembangunan fizikal dan sosial desa yang berkualiti.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.