Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016

229) PELAN INDUK PENGANGKUTAN

Tahun: 2016

Sesi: 1

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan juga merangka satu Pelan Induk Pengangkutan yang bukan sahaja merangkumi pengangkutan awam tetapi juga meliputi pembinaan lebih banyak jambatan sepanjang Sungai Klang sebagai contoh bagi meleraikan kesesakan trafik di jalan-jalan utama di Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor berpandangan bahawa terdapat keperluan untuk meningkatkan pelaburan dalam pembangunan infrastruktur pengangkutan awam dan menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama. Sehubungan itu penyediaan pelan ini akan memandu Kerajaan mencapai hasrat tersebut selaras dengan pembangunan ekonomi peduli rakyat. Apabila disiapkan kelak kajian ini dijangka dapat menentukan halatuju pengangkutan awam Negeri Selangor seperti berikut:

    1. Mencapai sasaran nisbah pengangkutan awam berbanding pengangkutan persendirian adalah 60:40;
    2. Menghasilkan Pelan Induk Pengangkutan Awam yang komprehensif meliputi pelan jaringan lebuhraya dan pengangkutan awam semasa dan masa hadapan untuk rujukan Kerajaan Negeri, Persekutuan, agensi  terlibat dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan penyelarasan pengurusan dan pelaksanaan yang lancar ( seamless) di setiap peringkat;
    3. Mencadangkan strategi jangka masa pendek, sederhana dan panjang serta agensi bertanggungjawab terutama bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam meliputi perkhidmatan LRT, MRT,BRT, feeder bus, perkhidmatan bas dan teksi);
    4. Mencadangkan dan mengintegrasikan jalan raya dan lebuhraya sedia ada dengan pengangkutan awam sedia ada dan akan datang;
    5. Mencadangkan dan menggalakkan penggunaan kemudahan sokongan bagi lorong pejalan kaki, lorong berbasikal dan program car free di dalam kawasan bandar;
    6. Mencapai keseimbangan antara pembinaan lebuhraya dan penyediaan sistem pengangkutan awam melalui kajian yang telus dan terperinci;dan

     

    • Menganalisi konsep Transit Oriented Development (TOD) bagi membolehkan pembangunan perumahan dan komersil di Lembah Klang diintegrasi dengan penyediaan infrastruktur pengangkutan

    Kerajaan menyedari isu kesesakan lalulintas yang sering menghantui penduduk Negeri Selangor terutama di kawasan bandar utama. Sehubungan itu, Kerajaan telah turut mengambil inisiatif dengan menyediakan perkhidmatan bas Smart Selangor terutama di kawasan bandar untuk menggalakkan dan meningkatkan aksesibiliti penduduk terhadap pengangkutan awam. Kerajaan Negeri telah melancarkan Bas Smart Selangor pada 1 Julai lalu membabitkan 11 buah bas yang beroperasi di tiga kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK). Kemudian diperluaskan ke Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Lampiran

Tiada Lampiran.