Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

38) PELAN INDUK PENGANGKUTAN AWAM

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini pelan induk pengangkutan awam Negeri Selangor?

    Untuk makluman YB, Kajian Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor telah dimulakan pada Ogos 2016 dan pada Januari 2016 Kerajaan Negeri telah menerima deraf Laporan Akhir Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor. Selanjutnya, Kerajaan Negeri telah mengadakan sesi keterlibatan (engagement) deraf Laporan Akhir Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor bersama pihak ADUN, Ahli Parlimen, Ahli Majlis, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan rakyat bagi mendapatkan maklum balas dan input berkaitan pelan induk tersebut.

    Maklum balas dan input tambahan melalui sesi tersebut akan diambilkira bagi memuktamadkan Laporan Akhir pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor untuk dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) dalam tempoh yang terdekat.

  2. Nyatakan pelan jangka masa pendek untuk mengatasi kesesakan trafik di Lembah Klang?

    Kesesakan trafik di Lembah Klang berlaku disebabkan peningkatan jumlah kenderaan persendirian berbanding pengangkutan awam. Berdasarkan maklumat daripada Kajian Semula Rancangan Struktur Negeri Selangor 2020, data pada tahun 2012 menunjukkan nisbah penggunaan pengangkutan awam kepada kenderaan persendirian ialah 20:80. Ini menunjukkan jurang yang sangat besar antara pengguna pengangkutan awam berbanding pengguna kenderaan persendirian.

    Sehubungan itu, dasar Kerajaan Negeri adalah jelas untuk mencapai nisbah penggunaan    pengangkutan          awam berbanding   penggunaan             kenderaan persendirian sebanyak 60:40 menjelang 2035. Ke arah mencapai matlamat tersebut, Kerajaan telah melancarkan Bas Smart Selangor bermula pada 1 Julai 2015 membabitkan 11 buah bas yang beroperasi di tiga kawasan

    pentadbiran Pihak Berkuasa Negeri (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK). Kemudiannya, perkhidmatan bas percuma ini telah diperluaskan ke Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

    Selanjutnya, pada tahun 2016, Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi memperluaskan perkhidmatan bas Smart Selangor dengan menambah enam (6) laluan baru, dua (2) laluan tambahan dan satu (1) bas tambahan.

    Enam (6) laluan baru melibatkan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS). Berdasarkan sambutan dan permintaan daripada penduduk, dua (2) laluan baru telah ditambah di MBSA dan MPSJ manakala tambahan satu (1) bas baru turut diberikan kepada MPK.

    Penyediaan Bas Smart Selangor di kawasan PBT yang menjadi tumpuan orang awam merupakan satu pelan jangka masa pendek bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di Negeri Selangor sekaligus mempersiapkan rakyat kepada dasar 60:40 menjelang 2035.

Lampiran

Tiada Lampiran.