Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

1) PELAN ADAPTASI DAN MITIGASI TERHADAP PERUBAHAN IKLIM

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan apa jenis projek dan jumlah peruntukan tentang adaptasi dan mitigasi efek Perubahan Iklim yang telah diluluskan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

    Negeri Selangor kini berdepan dengan impak perubahan iklim yang agak ketara dan tidak menentu menerusi beberapa kejadian banjir kilat, ribut dan tanah runtuh yang menjejaskan aktiviti pembangunan dan sosio-ekonomi rakyat. Bencana alam akan memberi kesan terhadap ekonomi dan hasil negeri. Sehubungan dengan itu, terdapat keperluan untuk Kerajaan Negeri Selangor menyediakan satu pendekatan tindakan jangka pendek dan jangka panjang bagi meningkatkan daya tahan infrastruktur dan bangunan, jaminan makanan dan juga masyarakat setempat.

    Susulan daripada kejadian bencana yang kerap berlaku ini, Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan segera dengan menambahbaik dan menaiktaraf infrastruktur asas khususnya bagi menangani banjir. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) telah membuat perancangan pengurusan banjir seperti:

    • Pembinaan ban banjir, tembok penahan banjir (flood wall), terowong banjir (flood tunnel), bypass channel dan barrage bagi tujuan kawalan banjir;
    • Menaiktaraf sistem saliran;
    • Pembinaan kolam takungan banjir seperti underground storage, elevated pond, vertical & horizontal storage dan kolam takungan bertingkat;
    • Program Ramalan Amaran Banjir Negara (PRAB);
    • Kajian Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM – Integrated River Basin Management) dan Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir (IFMP – Integrated Flood Management Plan) serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA).

    Kerajaan Negeri telah meluluskan Peruntukan Pembangunan Negeri (P13) kepada JPS sebanyak RM556.6 juta. Daripada peruntukan tersebut, sebanyak 44% (RM245.86 juta) adalah untuk Pembangunan Projek Tebatan Banjir. Kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM455.2 juta kepada JPS untuk melaksanakan empat (4) projek tebatan banjir di Sungai Kayu Ara, Sungai Buloh, Sungai Langat dan Sungai Kuyoh. Kerajaan Persekutuan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) turut menyediakan peruntukan pembangunan bagi projek/program
    di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) yang dilaksanakan di negeri Selangor. Butiran projek adalah seperti di Lampiran I dan Lampiran II.

    Di bawah Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Negeri Selangor pula, peruntukan bagi inisiatif dan langkah mitigasi dan adaptasi dalam mengurangkan impak perubahan iklim turut disediakan:

  2. Apakah rancangan khusus daripada Kerajaan Negeri demi mengurangkan efek buruk perubahan iklim?

    1. Malaysia kini terdedah kepada impak perubahan iklim seperti hujan lebat yang mengakibatkan fenomena banjir besar. Ini kerana iklim Malaysia berkelembapan tinggi disamping bentuk muka buminya yang turut menyumbang kepada fenomena ini. Disamping itu, aktiviti pembangunan dan guna tanah akan meningkatkan lagi risiko bencana seperti banjir besar sekiranya tiada tindakan adaptasi yang sewajarnya diambil. Sebagai contoh, kejadian banjir yang melibatkan 11 buah negeri pada bulan Disember 2021 telah menjejaskan ekonomi negara di mana Jabatan Perangkaan Malaysia menganggarkan jumlah kerugian keseluruhan akibat banjir tersebut bernilai RM6.1 bilion iaitu bersamaan 0.40% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal.

    Dengan situasi perubahan iklim yang diunjurkan, sistem cuaca negara akan turut berubah dan impak perubahan iklim ini juga akan meningkatkan lagi risiko bencana hidrometeorologi seperti kejadian banjir dan kemarau, bencana geofizikal seperti tanah runtuh, kejadian cuaca lampau dan kenaikan aras laut. Perkara ini jika tidak ditangani akan memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada pembangunan serta sosio-ekonomi negara. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan jangka pendek dan jangka panjang dalam menangani impak perubahan iklim,  antaranya:

     

    • Pembinaan infrastruktur dan naiktaraf kerja-kerja pendalaman sungai, tampungan sungai dan kolam;
    • Pengurusan air yang efisyen dan kaedah pembersihan serta pemuliharaan sumber air negeri Selangor;
    • Pembangunan mekanisme pelaporan karbon dan pelan/rangka kerja pengurangan karbon negeri;
    • Pembangunan Dasar dan Pelan Tindakan Perubahan Iklim Negeri Selangor 2030;
    • Sistem pengurusan sisa bersepadu berteknologi tinggi seperti kemudahan Sisa kepada Tenaga atau Waste-toEnergy (WTE) dan penapisan biogas;
    • Pengurusan hutan dan memastikan pengekalan kawasan litupan hijau tidak kurang dari 30%; dan
    • Menjalankan kempen-kempen kesedaran dan sesi perkongsian maklumat berkaitan penjagaan alam sekitar.

     

    Kepelbagaian strategi adaptasi dan mitigasi yang selari dengan pembangunan negeri akan dilaksanakan secara bersepadu dan seimbang dalam usaha mengurangkan impak perubahan iklim. Melalui RS-1 ini, Selangor akan terus memberi tumpuan terhadap kelestarian alam sekitar di samping meningkatkan tahap kesejahteraan sosial melalui pembangunan infrastruktur hijau dan pemuliharaan sumber asli. Kerajaan Negeri juga komited untuk menjadi negeri rendah karbon pada masa hadapan bagi mengurangkan impak perubahan iklim.

     

    Secara keseluruhan, perancangan dan sasaran yang ditetapkan dalam RS-1 dan RMKe-12 ini adalah selari dengan visi dan misi Kerajaan Negeri. Justeru, Kerajaan Negeri komited dalam menyokong pelaksanaan dan pencapaian RS-1 dan RMKe-12 untuk tempoh sehingga 2025.

     

    Sekian, terima kasih.

Lampiran

Tiada Lampiran.