Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

10) PELAKSANAAN PROGRAM KASIH IBU SMART SELANGOR (KISS)

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Hasnul Bin Baharuddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimana penyampaian keputusan lulus atau tidak dari pihak Selcare?

    Untuk makluman ahli Yang Berhormat, pihak Selcare Management Sdn Bhd selaku pengendali kepada Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) bertanggungjawab memproses dan menyediakan kad penerima Program KISS bagi setiap kelulusan nama-nama pemohon yang telah disaring dan dikemukakan oleh Pejabat Khidmat Masyarakat (PKM) kepada pihak Selcare Management Sdn Bhd. Setelah selesai proses mencetak, kad-kad berkenaan akan diberikan kepada pihak PKM untuk diserahkan kepada penerima yang berjaya di DUN masing-masing. (Sumber : Selcare Management Sdn Bhd)

  2. Kelayakan untuk KISS berdasarkan pada kelayakan E Kasih atau BSH melebihi dari kuota yang di beri . Apakah ada penambahan kuota untuk skim KISS dan juga PEDULI SIHAT.

    Sebagaimana ahli Yang Berhormat semua sedia maklum, salah satu syarat bagi penerima manfaat Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan Skim Peduli Sihat (SPS) adalah penerima berkenaan perlulah berdaftar di dalam sistem Pangkalan Data Kemiskinan Nasional iaitu Sistem eKasih dan dikategorikan sebagai miskin atau miskin tegar; atau merupakan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH). Pada tahun 2020, Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju menambah bilangan penerima manfaat Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) sebanyak 5,000 orang yang menjadikan jumlah keseluruhan terkini ialah sebanyak 25,000 orang berbanding 20,000 pada tahun 2019 dengan jumlah peruntukan yang terlibat sebanyak RM62juta.

    Manakala bagi pelaksanaan Skim Peduli Sihat pula, Kerajaan Negeri turut bersetuju untuk menambahbaik Skim Peduli Sihat kepada Skim Insurans Peduli Sihat bermula April 2020 di mana Skim Insurans Peduli Sihat ini lebih komprehensif dengan manfaat perlindungan insurans asas kepada pemegang polisi. Penambahbaikan ini meliputi perlindungan asas insurans seperti berikut:

    1. Rawatan kesihatan asas (rawatan pesakit luar);
    2. Kematian atau hilang upaya kekal disebabkan kemalangan;
    3. Khairat kematian;
    4. Penyakit kritikal; dan
    5. Kematian atau hilang upaya kekal akibat penyakit/musibah.

     

    Walaupun Skim Insurans Peduli Sihat ini baru mula diaktifkan pada April 2020, namun pemegang polisi layak menerima manfaat insurans asas bermula Januari 2020 dengan tempoh sah laku polisi sehingga Disember 2021 dan akan diperbaharui sekiranya pemegang polisi masih lagi memenuhi kriteria dan syarat kelayakan yang ditetapkan. Kriteria dan syarat kelayakan yang ditetapkan adalah masih sama seperti skim terdahulu iaitu:

    1. Berpendapatan isi rumah sebanyak RM2,000.00 dan ke bawah;
    2. Mendapat Bantuan Sara Hidup (BSH) atau tersenarai di bawah program e-Kasih; dan
    3. Kad aktif dalam tempoh dua (2) tahun.

     

    Kerajaan Negeri bersetuju menambah bilangan pemegang polisi daripada 65,000 orang sebelum ini kepada 85,000 pemegang polisi dengan pembahagian seperti berikut:

    1. Sebanyak 18,000 polisi diperuntukkan kepada pemohon yang memenuhi kriteria dan syarat kelayakan berasaskan pendapatan terendah daripada senarai pemohon. Kuota ini tidak tertakluk kepada kuota DUN;
    2. Sebanyak 1,000 kad diperuntukkan kepada ketua kampung tradisi, ketua kampung baru cina, ketua komuniti india, kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN, penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB) dan kakitangan pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang berpendapatan RM2,000.00 dan ke bawah;
    3. Sebanyak 200 kad diperuntukkan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas yang tidak tersenarai daripada kuota DUN; dan
    4. Sebanyak 800 polisi untuk kes-kes terpencil.

    (Sumber maklumat Skim Peduli Sihat dari Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan, UPEN)

Lampiran

Tiada Lampiran.