Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

11) PELAKSANAAN PEMBANGUNAN LEBUHRAYA KL – KARAK

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah jaminan Kerajaan Negeri terhadap para pemilik kediaman di sepanjang jajaran Jalan Gombak Lama sekiranya pembangunan Lebuhraya KL - Karak dilaksanakan?

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, projek pelebaran Lebuhraya KL-Karak (KLK) telah mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan dan kerja-kerja awalan telah bermula pada Januari Skop pelebaran dengan penambahan satu (1) lorong setiap hala dari KM19.2 (Plaza Tol Gombak) hingga ke KM64.5 di Persimpangan Lingkaran Tengah Utama (LTU), Bentong dengan panjang keseluruhan 45.30 KM dijadualkan bermula pada penghujung Februari 2025 dan dijangka siap dalam tempoh empat (4) tahun iaitu pada tahun 2029. Pelaksanaan projek ini bakal memberi manfaat yang besar kepada pengguna lebuh raya terutamanya dalam mengatasi isu kesesakan trafik, menambahbaik ciri-ciri keselamatan dan rekabentuk lebuhraya sedia ada, pemasangan lampu jalan tambahan dari Genting Sempah ke Bentong.

    Skop pelebaran Lebuhraya KL – Karak ini akan dilaksanakan di ndalam koridor/rizab jajaran lebuh raya sedia ada tanpa melibatkan pengambilan tanah tambahan. Rizab lebuh raya yang berada di dalam Negeri Selangor sebahagiannya merupakan tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) serta Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS). Syarikat Konsesi Lebuhraya KL-Karak iaitu AFA PRIME Berhad telah mengadakan sesi libat urus dengan pihak Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan) Negeri Selangor (JKPTGS) dan JPNS, dan telah mengenal pasti bahawa majoriti penempatan yang berada di pinggiran lebuh raya adalah penempatan setinggan.

    Sehubungan itu, Syarikat Konsesi bersama JKPTGS, JPNS dan pihak-pihak yang terlibat telah mengambil inisiatif untuk membuat bancian terhadap penempatan yang terkesan. Laporan bancian tersebut seterusnya akan diteliti oleh pihak JKPTGS dan JPNS untuk diambil tindakan selanjutnya selaras dengan peraturan dan garis panduan yang berkuatkuasa.

    Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat kediaman penduduk yang berada di dalam rizab lebuhraya dan perlu berpindah keluar, Kerajaan Negeri akan memastikan proses pemindahan itu adalah mengikut lunas undang-undang yang sedia ada tanpa meminggirkan kebajikan pemilik kediaman yang terlibat.

Lampiran

Tiada Lampiran.