Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

20) PELAJAR UNISEL

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah kemasukan pelajar ke UNISEL dari 2017-2019 mengikut kursus?

    Jumlah kemasukan pelajar ke UNISEL dari 2017 – 2019 mengikut kursus adalah   seperti berikut:

    BIL KURSUS TAHUN
    2017 2018 2019
    1. ASAS/ FOUNDATION 406 352 325
    2 DIPLOMA 1171 1240 926
    3 IJAZAH SARJANA MUDA / BACHELOR DEGREE 1642 1435 1292
    4 SARJANA /MASTER 37 19 32
    5 DOKTOR FALSAFAH / DOCTORATE 86 37 33
    JUMLAH 3,342 3,083 2,608
  2. Nyatakan cabaran atau masalah UNISEL untuk menarik minat pelajar asing untuk belajar di UNISEL dan apakah strategi UNISEL untuk menarik minat pelajar belajar di sana?

    Permohonan pembaharuan lesen bagi pengambilan pelajar antarabangsa UNISEL bagi kedua-dua kampus di Bestari Jaya dan Shah Alam telah ditangguhkan pada 27 Feb 2019 dan 29 Feb 2019 oleh pihak JPT. Sepanjang tempoh tersebut UNISEL tidak dapat mengambil para pelajar baru antarabangsa.

    Pihak Pengurusan UNISEL telah berjaya menyelesaikan isu berkaitan lesen ini bagi Kampus Shah Alam dengan mendapat kelulusan daripada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tempoh setahun bermula pada 29 Jan 2020. Walaubagaimanapun, Kampus Bestari Jaya masih lagi dalam proses pertimbangan akhir di peringkat KDN dan dijangkakan akan mendapat keputusan dalam jangka masa yang terdekat.

    Oleh yang demikian, perkara berkaitan pembaharuan lesen seperti yang telah dinyatakan di atas merupakan cabaran terbesar yang dihadapi oleh UNISEL, dan kini ia bakal ditangani dengan baik dengan kerjasama daripada semua pihak dalaman UNISEL dan JPT serta KDN.

    Cabaran lain dihadapi UNISEL untuk menarik minat pelajar antarabangsa untuk belajar di UNISEL adalah seperti berikut:

    1. Tiada aktiviti promosi dan pemasaran di peringkat antarabangsa dijalankan kerana isu pembaharuan lesen yang telah tertangguh hampir setahun sejak Februari 2019.
    2. Bilangan staf yang berpengalaman dan khusus dalam aktiviti pemasaran di luar negara bagi menarik minat pelajar antarabangsa adalah amat terhad (1 orang).
    3. Faktor kewangan bagi aktiviti pemasaran di luar negara yang bertujuan bagi menarik minat pelajar antarabangsa ke universiti ini melibatkan kos yang amat tinggi yang menyebabkan aktiviti pemasaran yang perlu dijalankan adalah terhad.
    4. Penarafan universiti yang rendah dalam kategori tempatan dan dunia menyebabkan para pelajar antarabangsa lebih cenderung memilih universiti tempatan lain berbanding universiti ini.
    5. Program yang ditawarkan oleh universiti lain (competitors) adalah lebih menarik dan bersifat cross-discipline yang menarik minat pelajar antarabangsa.

    Sehubungan dengan itu, strategi UNISEL yang sedang dan bakal dilaksanakan untuk menarik para pelajar antarabangsa bermula tahun 2020 adalah seperti berikut:

    1. Memperkemaskan urus tadbir pengurusan di Pejabat Antarabangsa di universiti ini melalui perubahan struktur organisasinya untuk memastikan syarat-syarat ketat yang dikenakan oleh pihak Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkaitan pengurusan para pelajar antarabangsa di universiti ini sentiasa dipatuhi dengan baik dan teratur, yang secara tidak langsung bakal menarik minat dan kepercayaan para ibubapa atau pelajar antarabangsa ke universiti ini sebagai pilihan utama.
    2. Dengan tertubuhnya unit yang khusus, iaitu Bahagian Pemasaran di Pejabat Antarabangsa di universiti ini, ianya akan menumpukan skop pemasaran pelajar antarabangsa melalui penyertaan aktiviti pemasaran dengan pihak EMGS dan pihak Event Management. UNISEL sedang mengenalpasti untuk bekerjasama dengan organisasi rakan strategik bagi tujuan membiayai sebahagian kos aktiviti pemasaran ini (seperti yuran penyertaan, tiket penerbangan, penginapan, elaun lojing dan makan) tertakluk kepada kelulusan pihak Pengurusan Eksekutif UNISEL.
    3. Mempergiatkan promosi UNISEL dengan memperkenalkan UNISEL Scholarship Award for International Student (USAIS) tertakluk kepada “terma dan syarat” yang bertujuan memberi pulangan keuntungan kepada universiti ini. Dianggarkan sejumlah 960 pelajar antarabangsa daripada enam (6) negara terpilih (Tanzania/Zanzibar, Kenya, Somalia, Sudan, Zambia dan Maghribi) yang bakal memperoleh USAIS ini. Diharapkan usaha ini dapat meningkatkan minat pelajar antarabangsa untuk memilih UNISEL sebagai pilihan utama.
    4. Pihak Pengurusan UNISEL akan mempergiatkan usaha bagi meningkatkan ranking tempatan dan dunia dengan memberi fokus kepada kategori tertentu, melalui usaha meningkatkan kualiti dalam pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan dengan kerjasama semua fakulti dan organisasi luar serta Kerajaan Negeri Selangor.
    5. Berikut adalah strategi jangka panjang universiti yang bakal dijalankan:
    6. Pelantikan bekas pelajar (alumni) sebagai agen pemasaran kepada Universiti ini.
    • Penubuhan unit cawangan pemasaran Universiti ini di luar negara.
    • Menjalankan aktiviti promosi secara terus di sekolah-sekolah luar negara.
    • Mengenalpasti dan memperkenalkan program-program yang bersifat cross-discipline dengan kerjasama partner-university di luar negara.
    • Penyertaan dalam “Times Higher Education-University Impact Ranking” (Impact on Society) yang baru mula diperkenalkan pada tahun 2019, di mana penilaian skor adalah berdasarkan kepada “17 United Nations’ Sustainable Development Goals” (17 SDGs). Penyertaan Universiti ini dalam THE-UIR dapat meningkatkan ranking di peringkat dunia (level the playing field) yang secara tidak langsung dapat menarik minat para pelajar antarabangsa ke universiti ini.
    • Fokus kepada negara Afrika Timur merangkumi Tanzania, Somalia dan Kenya.
    • Mengunjungi Kementerian Pendidikan Tanzania, Kenya dan Sumait University di Zanzibar dalam usaha mempromosi UNISEL.
    • Hasilnya Tanzania berjanji akan menghantar seramai 160 pelajar tertakluk kepada kelulusan lesen untuk pengambilan pelajar antarabangsa.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.