Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

227) PELAJAR SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM) 2024

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Muhammad Izuan Bin Ahmad Kasim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah yang tidak mengambil SPM di Selangor bagi SPM 2024?

    Untuk makluman Yang Berhormat, setakat ini JPN Selangor hanya memperolehi data yang dikumpul secara rasmi bagi SPM tahun 2022 dan 2023 di negeri Selangor bagi kategori Sekolah Kerajaan, Sekolah Bantuan Kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan. Untuk maklumat data bilangan calon berdaftar dan calon tidak hadir semua mata pelajaran SPM Tahun 2024 hanya akan diperolehi secara rasmi semasa keputusan SPM 2024 diumumkan oleh pihak Lembaga Peperiksaan. Berikut adalah trend bagi bilangan calon tidak hadir semua mata pelajaran bagi SPM tahun 2022 hingga tahun 2023 :

     

    SPM BILANGAN CALON DAFTAR CALON TIDAK HADIR SEMUA MATA PELAJARAN
    2022 65583 2387
    2023 65452 1724
    2024 Maklumat rasmi akan diperolehi semasa keputusan SPM 2024 diumumkan oleh Lembaga Peperiksaan

     

    Berdasarkan kepada data calon tidak hadir / tidak menduduki semua kertas peperiksaan SPM 2024 yang diperolehi antara perkara yang dikenalpasti sebagai penyumbang kepada situasi ini adalah seperti berikut :

    1. Masalah kesihatan.
    2. Masalah keluarga.
    3. Meninggal dunia.
    4. Berpindah keluar negara.
    5. Bekerja
    6. Kemalangan
  2. Berapakah jumlah berkenaan yang berada di kawasan DUN Kota Damansara?

    Untuk makluman Yang Berhormat, terdapat 5 buah sekolah menengah yang berada di kawasan DUN Kota Damansara. Berikut adalah laporan dari sekolah-sekolah yang terlibat berkaitan jumlah murid yang tidak hadir mengambil semua kertas peperiksaan yang didaftarkan bagi calon SPM 2024 di kawasan DUN Kota Damansara :

     

    PEJABAT PENDIDIKAN DAERAH (PPD) NAMA SEKOLAH BIL. CALON DAFTAR BIL. CALON TIDAK HADIR SEMUA MATA PELAJARAN
    PETALING PERDANA SMK SUBANG 518 13
    PETALING PERDANA SMK SUBANG BESTARI 511 1
    PETALING UTAMA SMK SEKSYEN 10 KOTA DAMANSARA 252 2
    PETALING UTAMA SMK SEKSYEN 4 KOTA DAMANSARA 170 1
    PETALING UTAMA SMK SEKSYEN 8 KOTA DAMANSARA 147 1
    JUMLAH 1598 18

     

    Maklumat berkaitan bilangan calon tidak hadir semua mata pelajaran yang didaftarkan semasa SPM 2024 diperolehi daripada laporan sekolah-sekolah yang terlibat. Antara punca atau sebab mengapa calon-calon sekolah di kawasan DUN Kota Damansara ini tidak hadir semasa SPM 2024 adalah seperti berikut :

     

    NAMA SEKOLAH SEBAB TIDAK HADIR JUMLAH
    SMK SUBANG 1 – Masalah kesihatan.

    4 – Masalah keluarga.

    7 – Bekerja.

    1 – Meninggal dunia.

    13
    SMK SUBANG BESTARI 1 – Bekerja 1
    SMK SEKSYEN 10 KOTA DAMANSARA 1 – Masalah kesihatan.

    1 – Masalah keluarga.

    2
    SMK SEKSYEN 4 KOTA DAMANSARA 1 – Bekerja 1
    SMK SEKSYEN 8 KOTA DAMANSARA 1 – Berpindah ke luar negara 1
  3. Apakah strategi kerajaan terhadap mereka yang gagal mengambil SPM untuk menduduki semula SPM atau ke TVET?

    Untuk makluman Yang Berhormat, murid-murid yang gagal mengambil SPM mempunyai peluang untuk memperbaiki pencapaian keputusan peperiksaan SPM mereka dengan mendaftar semula untuk menduduki peperiksaan SPM Ulangan atau mendaftar semula SPM bagi tahun berikutnya sebagai calon persendirian. Pendaftaran calon persendirian hanya boleh dilakukan secara di atas talian sahaja melalui laman web yang telah disediakan oleh pihak Lembaga Peperiksaan iaitu https://sppat.moe.gov.my/.

    Bagi calon yang gagal ingin menduduki peperiksaan SPM, boleh menyemak syarat permohonan dan membuat permohonan sebelum tarikh ditutup melalui portal Lembaga Peperiksaan. Calon persendirian boleh memilih pusat peperiksaan yang ditawarkan bergantung kepada kuota dan kekosongan di pusat peperiksaan sekolah yang dibuka kepada calon persendirian. Calon yang ingin menduduki peperiksaan ini juga perlu membayar mengikut mata pelajaran yang dipilih dan mengikut kadar bayaran yang telah ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan melalui kaedah perbankan elektronik. Calon persendirian perlu menyimpan resit untuk rujukan dan sebagai bukti pembayaran telah dibuat.

    JPN Selangor sentiasa komited menggalakkan murid-murid untuk terus melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang termasuk di bidang TVET. Bagi  murid-murid yang gagal mengambil SPM boleh mengikuti pendidikan aliran TVET, mereka boleh terus memohon dengan pusat dan institut latihan awam dan swasta.

Lampiran

Tiada Lampiran.