Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

105) PELAJAR KUIS & UNISEL

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Ng Tien Chee

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan langkah yang di ambil oleh Kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup pelajar di KUIS dan UNISEL.

    Kerajaan Negeri Selangor memandang serius kos sara hidup yang semakin meningkat. Mahasiswa juga tidak ketinggalan dalam hal ini. Antara langkah yang diambil oleh kerajaan Negeri dalam menampung kos sara hidup pelajar-pelajar di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Universiti Selangor (UNISEL) adalah dengan menyediakan kemudahan-kemudahan seperti berikut:

    1) Hadiah Pengajian Anak Masuk Universiti

    Hadiah RM1,000 diberi kepada anak Selangor dari keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah, yang melanjutkan pendidikan ke pusat pengajian tinggi awam/swasta yang diiktiraf kerajaan dengan mengikuti pengajian peringkat diploma atau ijazah sarjana muda.

    Permohonan Hadiah Pengajian IPT Kerajaan Negeri Selangor (HPIPT) boleh dibuat secara atas talian (online) dengan melayari laman web rasmi Sistem Permohonan HPIPT: http://hpipt.selangor.gov.my.

    2) Pinjaman Pelajaran Kerajaan Negeri Selangor

    Pinjaman Pelajaran Negeri Selangor merupakan pinjaman pelajaran tanpa faedah bagi tujuan membantu anak-anak Negeri Selangor untuk meneruskan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tempatan yang diiktiraf oleh Kerajaan. Permohonan pinjaman pelajaran ini terbuka kepada pelajar-pelajar yang telah mendapat tawaran di mana-mana IPTA / IPTS, sama ada di peringkat Ijazah Pertama, Diploma atau Sijil (Politeknik sahaja). Pinjaman Pelajaran ini juga diperkenalkan bagi memenuhi permintaan tenaga manusia di peringkat profesional dan separa profesional, terutamanya di dalam bidang sains dan teknologi.

    Permohonan Pinjaman Pelajaran Kerajaan Negeri Selangor boleh dibuat secara atas talian (online) dengan melayari laman web rasmi Sistem Permohonan HPIPT: http://tkwbns.selangor.gov.my/.

    3) Bantuan Umum Pelajaran (BUP) Lembaga Zakat Selangor

    Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuka permohonan Bantuan Umum

    Pelajaran (BUP) khusus untuk para pelajar di peringkat tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan institut pengajian tinggi, bertujuan meringankan beban ibu bapa dan penjaga di Selangor.

    Permohonan terbuka kepada warganegara Malaysia yang beragama Islam, lahir dan menetap di Selangor atau bermastautin dan masih menetap di Selangor tidak kurang dari tiga tahun. Ia tertakluk kepada garis panduan dan syarat kelayakan yang telah ditetapkan.

    Orang ramai boleh mendapatkan borang permohonan BUP di 24 cawangan LZS atau muat turun di laman web LZS iaitu www.e-zakat.com.my. Sebarang pertanyaan lanjut, hubungi Talian Zakat Selangor 1-800-88-5353.

Lampiran

Tiada Lampiran.