Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

265) PELAJAR KECICIRAN

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa ramai pelajar sekolah rendah dan menengah di Selangor yang keciciran dan tidak bersekolah?

    Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), definisi keciciran merujuk kepada keciciran daripada sistem pendidikan iaitu murid warganegara Malaysia yang berada dalam sistem pendidikan (bersekolah) tetapi keluar daripada sistem sebelum tamat/menghabiskan tempoh pendidikan.

    Secara keseluruhan, kadar keciciran murid di Negeri Selangor pada tahun 2022 bagi peringkat sekolah rendah ialah 0.10 peratus iaitu lebih tinggi berbanding kadar keciciran nasional iaitu 0.07 peratus. Pada peringkat menengah pula, kadar keciciran murid negeri Selangor adalah 0.61 peratus iaitu lebih rendah berbanding kadar keciciran nasional iaitu 0.99 peratus.

    Jabatan Pendidikan Negeri Selangor telah mengambil pelbagai inisiatif dan program dalam usaha mengembalikan murid cicir agar kembali ke sekolah dan meneruskan pembelajaran sehingga tamat tingkatan lima. Antaranya ialah:

    1. Program Ziarah Cakna Rumah Ke Rumah;
    2. Program Pemuafakatan Komuniti;
    3. Program Bantuan Kewangan Dan Kelengkapan Sekolah;
    4. Program Khidmat Nasihat Dan Kaunseling Kepada Murid Serta Ibu Bapa;
    5. Program Jejak Pintu Ke Pintu;
    6. Program Bicara Personaliti Dan Kerjaya;
    7. Program Keseronokan Dan Kepelbagaian Kaedah Pembelajaran;
    8. Program Penggunaan Jadual Waktu Anjal Pembelajaran;
    9. Program Sentuhan Nurani;
    10. Program Bual Bicara Akta Pendidikan 1996 Pindaan 2002;
    11. Program Bisikan Hati Ke Hati;
    12. Program Memperkasakan Peranan PIBG Dan PIKBS; dan
    13. Program Jom….Ke Sekolah.
  2. Pecahan mengikut kaum.

    Jabatan Pendidikan Negeri Selangor tidak mempunyai data pecahan mengikut kaum bagi pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri Selangor yang keciciran dan tidak bersekolah.

  3. Langkah yang diambil oleh KNS mengatasi masalah ini.

    Kerajaan Negeri Selangor adalah sebuah kerajaan yang membangunkan pelbagai kemudahan untuk rakyatnya termasuk menyediakan bantuan dengan sebaiknya. Langkah Kerajaan Negeri bagi menangani pelajar yang keciciran agar kembali ke sekolah antaranya ialah melalui Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS). Melalui program ini para pelajar turut diberi bantuan dalam bentuk bimbingan akademik dan dilaksanakan dalam konsep tutorial di mana para pelajar akan diberikan perhatian yang sepenuhnya oleh guru memandangkan pembelajaran dilaksanakan dalam kumpulan yang lebih kecil.

    Bagi menarik minat para pelajar dan memastikan agar mereka boleh terus memberi komitmen kepada sesi pembelajaran yang dilaksanakan di sekolah, pek makan tengah hari turut disediakan kepada para pelajar yang mengikuti Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS). Bantuan ini dilihat mampu menyelesaikan punca keciciran pelajar itu sendiri iaitu kemiskinan dan displin tidak berminat untuk belajar.

    Selain itu Kerajaan Negeri melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI turut menyediakan inisiatif Bantuan Kembali Ke Sekolah dengan jumlah sumbangan yang diberi sebanyak RM100 bagi tahun 2023 untuk 1 keluarga tertakluk kepada syarat kelayakan yang telah ditetapkan.

    Kerajaan Negeri Selangor juga sentiasa mendukung usaha yang dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Pejabat Pendidikan Daerah Negeri Selangor, Kementerian Pendidikan Malaysia dan pihak sekolah dalam menangani isu pelajar sekolah rendah dan menengah di Selangor yang keciciran dan tidak bersekolah.

Lampiran

Tiada Lampiran.