Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
178) PELABURAN STRATEGIK DAN EKONOMI MASA DEPAN
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Pelaburan
Adun: Y.B. Dato' Seri Mohamed Azmin Bin Ali
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Jumlah pelaburan diluluskan untuk sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama tahun 2023 dijangka RM220 bilion berbanding RM268 bilion bagi 2022 dan RM309 bilion untuk 2021. Apakah langkah Kerajaan Negeri untuk fokus dalam sektor perkhidmatan dan nitche investments seperti E&E dan logistik?
Sektor perkhidmatan dan nitche investment seperti E&E dan logistik adalah industri yang telah dikenalpasti dan tersenarai dalam industri yang diberi penumpuan oleh pihak Kerajaan Negeri. Sektor ini semakin berkembang di Negeri Selangor. Program – program libat urus dan Focus Group Discussion (FGD) bersama pemain industri sentiasa diadakan dari masa ke semasa bagi mendapatkan maklumbalas dalam usaha mempertingkatkan pertumbuhan industri ini.
Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor merancang untuk menganjurkan SEMICON South East Asia (SEA) 2024 yang dijadualkan akan diadakan pada 28 – 30 Mei 2024. Pameran khusus bagi sektor semi-konduktor ini diadakan untuk mempamerkan rantaian bekalan pembuatan dalam industri mikroelektronik, dan fotovoltaik. Pameran ini merupakan kesinambungan pameran daripada SEMICON SEA 2023 berlangsung di Pulau Pinang yang telah disertai oleh lebih 570 reruai (booth) daripada 17 negara. Melalui penganjuran program ini, ianya dapat mengukuhkan pengaruh Selangor dalam sektor pembuatan khususnya industri mikroelektronik dan fotovoltaik di mata dunia.
Cadangan Pembangunan Pelabuhan Pulau Carey dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) adalah salah satu agenda Kerajaan Negeri dalam usaha mengukuhkan dan merancakkan sektor perkhidmatan khususnya dalam industri logistk di Selangor. Projek pembesaran Pelabuhan Barat (West Port) yang dijangka akan menaikkan kapasiti pengendalian kepada 28 juta TEU kontena pada 2040, Projek Digital Initiative dibawah Malaysia Maritime Single Window dan Projek Port Klang Cruise Terminal antara faktor yang akan menyumbang kepada pertumbuhan industri logistik.
Mesyuarat penyelarasan projek yang dipengerusikan oleh YB EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti diadakan setiap bulan bagi membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh pihak pelabur agar cadangan projek pembangunan yang dirancang dapat direalisasikan dalam tempoh yang ditetapkan. Inisiatif ini memberi keyakinan kepada pelabur untuk memilih Selangor sebagai destinasi pelaburan khususnya dalam industri perkhidmatan logistik dan E&E. Berdasarkan rekod, beberapa cadangan projek pembangunan dalam industri logistik dan E&E telah dibincangkan dalam mesyuarat ini serta dipantau oleh pihak Kerajaan Negeri.
Dalam usaha menyediakan prasarana pelaburan yang kondusif kepada industri logistik & E&E, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan inisiatif pembangunan Taman Perindustrian yang berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP) yang memfokuskan kepada aktiviti pelaburan dalam sektor perkhidmatan logistik dan E&E. Sehingga kini sebanyak 6 projek pembangunan kawasan perindustrian telah mendapat pengiktirafan daripada Kerajaan Negeri sebagai Taman Perindustrian Berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP) dengan jumlah keluasan pembangunan 3,383.85 ekar yang melibatkan daerah Kuala Langat, Klang dan Gombak.