Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

172) PELABURAN NEGERI

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Pelaburan

Adun: Y.B. Tuan Danial Al-rashid Bin Haron Aminar Rashid

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif Kerajaan Negeri supaya anak-anak Selangor mendapat tempat diantara 26,500 peluang pekerjaan yang tersedia daripada pelaburan lebih RM9.4 billion oleh Google?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Invest Selangor di dalam proses perbincangan dan sedang bekerjasama rapat bersama pusat-pusat data bagi mengenalpasti serta mengkaji keperluan kemahiran spesifik untuk memperkukuhkan kurikulum dan program latihan kepada anak-anak Selangor yang sejajar dengan keperluan industri teknologi. Turut dibincangkan adalah penglibatan institusi pendidikan di dalam usahasama tersebut bagi melahirkan graduan yang berdaya upaya dan berkebolehan tinggi yang layak diserap masuk ke dalam syarikat terkemuka seperti Google. Inisiatif ini bertujuan untuk melahirkan tenaga kerja mahir dan berdaya saing kepada anak-anak Selangor yang diperlukan oleh Google dan syarikat-syarikat teknologi lain.

  2. Adakah wujud kerjasama yang baik Kementerian Sumber Manusia bagi memastikan anak-anak Selangor mempunyai peluang pekerjaan di dalam negeri?

    Kerajaan Negeri bekerjasama dan mempunyai hubungan yang erat dengan agensi-agensi kerajaan pusat yang dipertanggungjawabkan untuk memacu pembangunan ekonomi digital seperti MIDA dan MDEC.

    Antara aspek yang diusahakan bersama adalah penghasilan tenaga kerja. Untuk makluman, MDEC mempunyai inisiatif yang juga satu kolaborasi bersama Kementerian Pendidikan Tinggi dikenali sebagai ‘Premier Tech Digital Insitution’, satu pengiktirafan kepada institusi-institusi pendidikan yang komited dalam memberikan pendidikan berkualiti tinggi dalam teknologi digital. Lebih separuh daripada senarai insititusi pendidikan yang memiliki status tersebut berada di Selangor. Kerajaan Negeri akan meneruskan usahasama dengan mana-mana Kementerian dan agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan peluang yang cerah untuk anak Selangor mendapatkan pekerjaan di dalam sektor ekonomi digital  mahupun sektor yang lain.

Lampiran

Tiada Lampiran.