Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
158) PELABURAN LANGSUNG ASING (FDI)
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Yew Jia Haur
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk menarik lebih banyak pelaburan asing dan domestik bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi Selangor pada tahun 2025?
Antara usaha Kerajaan Negeri untuk menarik lebih banyak pelaburan asing dan domestik bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor seperti berikut;-
- Melaksanakan program – program promosi penggalakan pelaburan dengan pertemuan secara fizikal mahupun virtual dengan pihak dewan-dewan perniagaan di dalam dan luar negara termasuk misi-misi pelaburan yang akan terus diatur dan dilaksanakan bagi menarik pelaburan baru dan penambahan atau pengembangan pelaburan sedia ada.
- Memberi penekanan kepada industri – industri tumpuan seperti Sains Hayat, Pembuatan Makanan dan Minuman (F&B), Pembuatan Produk Elektrik & Elektronik, Kelengkapan Pengangkutan seperti industri Aeroangkasa dan Dron serta Mesin dan Peralatan bagi sektor pembuatan / perkilangan.
- Manakala bagi sektor perkhidmatan pula, Kerajaan memberi penumpuan kepada industri Perkhidmatan Logistik dan Digital Investment seperti Global Business Services (GBS), Data Centre serta Creative Content Technology.
- Memperkenalkan dan mempromosikan Negeri Selangor sebagai destinasi pelaburan utama di Malaysia dan rantau Asia Tenggara melalui penganjuran program – program pameran tahunan bertaraf antarabangsa seperti Selangor International Business Summit (SIBS) dan Selangor Aviation Show (SAS).
- Memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti Selangor’s Investors Soft Landing Incentive Program, dan Selangor Lab Partnership Program bagi menyediakan kemudahan dan khidmat sokongan pelaburan yang diperlukan oleh pelabur serta membantu mempercepatkan perlaksanaan projek – projek pelaburan yang dirancang.
- Menggalakkan pembangunan kawasan – kawasan industri baru yang kondusif berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP) untuk keperluan para pelabur.
- Mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Projek secara berkala setiap bulan bagi memantau dan membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh pelabur agar cadangan projek pelaburan yang dirancang dapat dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan
-
Apakah sasaran aliran masuk kasar / bersih Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2025 bagi pelaburan langsung asing (FDI)?
Secara dasarnya, Kerajaan Negeri tidak mendapat hasil secara langsung daripada aktiviti pelaburan yang dilaksanakan. Hasil yang diperoleh oleh pihak Kerajaan Negeri seperti bayaran premium tanah, cukai tanah dan cukai taksiran yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan yang berkenaan.
Selain itu, melalui aktiviti pelaburan secara langsung dapat menyediakan potensi peluang pekerjaan mahir dan separa mahir serta pemindahan teknologi kepada rakyat tempatan.
Sasaran pelaburan bagi tahun 2025 hanya akan dapat ditetapkan berdasarkan analisa prestasi pelaburan yang diluluskan bagi tempoh sepanjang tahun 2024.
-
Apakah bidang tumpuan pelaburan langsung asing Kerajaan Negeri pada tahun 2025?
Dalam usaha menarik pelaburan, Kerajaan Negeri memberi penekanan kepada 7 industri tumpuan seperti Sains Hayat (Life Sciences), Pembuatan Makanan & Minuman (Food & Beverages), Pembuatan Produk Elektrik & Elektronik (Electrical & Electronic), Kelengkapan Pengangkutan (Transport Equipment) serta Mesin dan Peralatan (Machinery & Equipment) yang dilihat sebagai industri yang semakin berkembang di Selangor. Selain itu, industri Perkhidmatan Logistik (Logistic Services) dan Digital Investment seperti Global Business Services (GBS), Data Centre serta Creative Content Technology turut dikenalpasti sebagai industri yang mampu memberi lonjakan kepada Negeri Selangor sebagai destinasi pelaburan utama di Malaysia.