Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
177) PELABURAN KE NEGERI SELANGOR
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Pelaburan
Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Walaupun Selangor merupakan negeri termaju di Malaysia, namun Selangor tidak lagi mendahului negeri-negeri lain dalam kemasukan pelaburan baik dari pelaburan langsung asing (FDI) dan juga pelaburan langsung domestik (DDI). Mengikut data yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), pada tahun 2021, Selangor hanya menduduki tempat ke-4 dengan hanya menerima RM28.8 bilion, jauh ditinggalkan oleh Pulau Pinang di tempat pertama yang menerima RM83.5 bilion. Apakah punca Selangor tidak lagi menjadi perhatian utama kemasukan pelaburan di Malaysia?
Persembahan Selangor tidak boleh diukur dengan hanya mengambil perangkaan satu tahun sahaja, lebih-lebih memandangkan pandemik pada tahun 2020 yang menyebabkan sempadan antarabangsa masih ditutup sehingga tahun 2021. Harus dilihat juga perangkaan pada tahun 2018, 2019, dan 2020 yang menyaksikan Selangor mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah selama tiga tahun berturut – turut sebelum dilanda pandemik. Antara faktor – faktor yang dikenalpasti menyebabkan lain – lain negeri merekodkan pelaburan tertinggi berbanding Negeri Selangor adalah seperti;-
- Faktor Cost Of Doing Business yang meningkat di Selangor disebabkan kenaikan harga hartanah industri dan lain – lain kos yang berkaitan. Sebagai contoh kos tanah perindustrian di Selangor adalah di antara RM65 – RM200 per kaki persegi manakala di Pulau Pinang adalah RM50 – RM55 per kaki persegi. Bagi kilang sedia ada (ready-built factory), kos di Selangor adalah di antara RM100 – RM500 berbanding RM180 – RM440 (harga di pulau).
- Eko – sistem industri yang telah wujud yang mendorong pelabur – pelabur baru memilih negeri lain. Sebagai contohnya Pulau Pinang yang mempunyai kekuatan dalam industri Elektrik & Elektronik.
- Tambahan insentif fiskal melalui Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).Seperti sedia maklum, insentif-insentif berkaitan kemasukan pelabur terletak di bawah pengawasan dan penyeliaan MIDA dimana ia diberikan secara umum kepada pelabur, tidak mengira lokasi pelaburan itu.Dengan sokongan daripada kerajaan Persekutuan untuk menggiatkan pertumbuhan ekonomi di wilayah utara, NCER telah mengumumkan insentif tambahan yang lebih menarik berbanding tawaran yang diberikan oleh MIDA. Sebagai contoh, MIDA menawarkan insentif cukai pendapatan sebanyak 100% selama 10 tahun. Manakala, NCER diberikan kelebihan untuk menawarkan insentif yang sama dengan tempoh yang dipanjangkan iaitu 15 tahun. Begitu juga dengan elaun cukai pelaburan yang dipanjangkan daripada 5 tahun ke 10 tahun. Dengan tawaran sedemikian, ia dapat mengurangkan modal awalan serta kos operasi yang mampu mempengaruhi keputusan dalam pemilihan lokasi yang ideal untuk melabur
- Faktor Ease Of Doing Business dimana kelulusan sesuatu projek boleh diberikan dalam tempoh yang singkat seperti proses kelulusan E10 yang ditawarkan oleh Kulim Hi-Tech.
- Kemudahdapatan pekerja – pekerja tidak mahir bagi mengisi kekosongan jawatan sektor perindustrian.
Walaupun Selangor merekodkan nilai pelaburan yang rendah pada tahun 2021 berbanding Pulau Pinang, tetapi Selangor secara dasarnya masih sebagai penyumbang utama kepada KDNK negara. Pada tahun 2021, Selangor telah menyumbang sebanyak 24.8% kepada KDNK Negara secara keseluruhan. Sumbangan Selangor kepada sektor pembuatan adalah sebanyak 32% dan sektor perkhidmatan sebanyak 25.9%. Selangor juga turut merekodkan kelulusan projek tertinggi berbanding negeri – negeri lain iaitu sebanyak 247 projek. Selain itu, Selangor juga merekodkan penglibatan pelaburan tempatan tertinggi iaitu sebanyak RM 6.05 bilion (80.6%) berbanding pelabur asing sebanyak RM 1.46 bilion (19.42%). Selangor juga turut merekodkan jumlah potensi peluang pekerjaan tertinggi berbanding negeri lain, iaitu sebanyak 14,393 potensi peluang pekerjaan.
-
Apakah perancangan dan hala tuju Kerajaan Negeri dalam memastikan Negeri Selangor kembali menjadi destinasi paling utama bagi kemasukan pelaburan di Malaysia?
Antara perancangan dan halatuju Kerajaan Negeri dalam memastikan Negeri Selangor kembali menjadi destinasi paling utama bagi kemasukan pelaburan di Malaysia seperti;-
Dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021 – 2025, Kerajaan Negeri mensasarkan pengukuhan ekonomi dengan pertumbuhan KDNK Negeri. Sektor pembuatan akan terus diperkasakan dengan usaha – usaha promosi penggalakkan pelaburan yang telah direncanakan.
- Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021 – 2025
- Rancangan Selangor Pertama (RS-1) berfungsi sebagai pelan rancangan pembangunan lima tahun secara menyeluruh bagi Negeri Selangor. Pelan ini dirangka berpandukan strategi dan inisiatif jangka pendek, sederhana dan panjang bagi mencapai visi untuk menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri pintar, makmur dan berdaya huni menjelang tahun 2025. Antara teras utama yang diberikan penumpuan seperti pengukuhan ekonomi, peningkatan kesejahteraan hidup dan keterangkuman sosial, pemacuan kelestarian serta SMART dan tadbir urus berkesan.
Dalam teras ekonomi, Kerajaan Negeri mensasarkan beberapa halatuju seperti;-
- Peningkatan pertumbuhan KDNK;
- Meningkatkan nilai pelaburan dalam sektor keutamaan; dan kompleksiti tinggi;
- Meningkatkan peluang pekerjaan;
Meningkatkan kadar penembusan jalur lebar tetap.
- Pembangunan Serantau Bersepadu di Selangor Selatan (Integrated Development Region in South Selangor (IDRISS)
- IDRISS merupakan pembangunan pelaburan oleh pihak swasta secara bersepadu di daerah Sepang dan Kuala Langat. Projek pembangunan yang didorong dan dilengkapkan dengan kemudahan oleh pihak Kerajaan Negeri dan disokong dengan insentif Negeri dan Persekutuan merangkumi jumlah keluasan 40,000 ekar dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM1 trilion.
- Pembangunan hartanah yang dirancang oleh pihak swasta ini secara dasarnya akan membawa limpahan pembangunan serta dapat membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi di daerah Sepang dan Kuala Langat khususnya.
- Cadangan projek – projek pembangunan di kawasan IDRISS meliputi cadangan pembangunan komersil, perindustrian (yang melibatkan sektor aeroangkasa, elektrik dan elektronik, logistik dan pergudangan), perumahan, pelancongan, pendidikan dan lain – lain lagi.
- Kesemua cadangan projek pembangunan yang dikenalpasti setakat ini melibatkan pihak swasta dan pada masa ini pihak Kerajaan Negeri sedang menimbang untuk menambahkan lagi beberapa projek di dalam kawasan pembangunan IDRISS.
- Dalam usaha memastikan projek – projek pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan oleh pemaju yang berkaitan, Kerajaan Negeri telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa Pasukan Petugas Perlaksanaan Projek Pembangunan IDRISS. Jawatankuasa ini akan berperanan sebagai pemudah cara dan penyelaras dalam membantu merealisasikan perlaksanaan cadangan pembangunan projek disamping membantu pemaju menyelesaikan isu – isu yang berbangkit.
- Menggalakkan Pembukaan Kawasan Perindustrian baru yang berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP)
3.1 Dalam usaha menyediakan kawasan perindustrian yang kondusif bagi keperluan para pelabur, Kerajaan Negeri menggalakkan pembukaan kawasan Perindustrian baru yang berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP).
3.2 Pada masa ini terdapat pemaju hartanah yang berminat untuk membangunkan kawasan perindustrian berkonsepkan MIP di Kuala Langat dan projek ini telah disenaraikan dibawah IDRISS dengan keluasan pembangunan seluas 732.4 ekar.
- Insentif Galakkan dibawah Pembangunan IDRISS dan Pembangunan Taman Perindustrian Berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP).
- Dalam usaha untuk merancakkan pembangunan dibawah IDRISS dan menggalakkan pembangunan taman perindustrian berkonsepkan MIP, Kerajaan Negeri telah meluluskan insentif – insentif yang boleh diberikan di bawah bidang kuasa Pihak Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.
- Antara insentif yang ditawatkan oleh Pihak Kerajaan Negeri adalah insentif Skim Premium Khas dimana melalui skim ini membenarkan pemilik hartanah / pemaju untuk membuat pembayaran premium tanah sepenuhnya dalam suatu tempoh yang ditetapkan sebelum pindah milik atau pengeluaran Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) atau mana – mana yang lebih awal oleh pemilik tanah atau pemegang surat kuasa wakil.
- Selain itu, diperingkat Pihak Berkuasa Tempatan pula, antara insentif – insentif lain yang ditawarkan seperti Pengecualian Cukai Taksiran Ke Atas Tanah Kosong, Insentif Potongan 50% Cukai Taksiran Ke Atas Bangunan Kosong, Insentif Pengecualian Bayaran Lesen Perniagaan Bagi Tempoh 5 Tahun dan Insentif Bayaran Ansuran Caj Pemajuan Tanpa Faedah.
- Bagi menggalakkan pembukaan taman perindustrian yang kondusif serta berkonsepkan MIP, Kerajaan Negeri menawarkan insentif – insentif seperti Skim Premium Khas, Bayaran Ansuran Caj Pemajuan Tanpa Faedah, Pengecualian Penyediaan Kilang Kos Rendah, Pengecualian Kuota Pemilikan Hartanah Bagi Warganegara / Syarikat Asing, Tempoh Pajakan Jangka Panjang bagi Pembangunan Bukan Strata dan pengecualian Cukai Tanah.
- Manakala insentif yang ditawarkan diperingkat Pihak Berkuasa Tempatan pula seperti proses Kelulusan Pembangunan secara Fast Track, Pengecualian Bayaran Cukai Taksiran bagi tempoh 5 tahun, Diskaun 50% ke atas Cukai Taksiran bagi Bangunan Kosong dan Pengecualian Bayaran Lesen Perniagaan bagi tempoh 5 tahun.
- Perincian terhadap insentif – insentif yang dinyatakan ini akan dimaklumkan oleh pihak Kerajaan Negeri dalam tempoh terdekat.
- Program Promosi Penggalakkan Pelaburan.
- Melalui program – program menarik pelaburan seperti Trade & Investment Mission secara fizikal dan virtual terus diperkukuhkan lagi disamping penekanan kepada industri tumpuan seperti Sains Hayat (Life Sciences), Pembuatan Makanan & Minuman (Food & Beverages), Pembuatan Produk Elektrik & Elektronik (Electrical & Electronic), Kelengkapan Pengangkutan (Transport Equipment) serta Mesin dan Peralatan (Machinery & Equipment) yang dilihat sebagai industri yang semakin berkembang di Selangor.
- Selain daripada itu, terdapat 2 industri baru turut dikenalpasti dan berpotensi melonjakkan Selangor sebagai destinasi pelaburan seperti industri Perkhidmatan Logistik (Logistic Services) dan Digital Investment seperti Global Business Services (GBS), Data Centre serta Creative Content Technology.
- Selangor International Business Summit (SIBS)
- Selangor International Business Summit adalah program pameran perdagangan dan persidangan peringkat antarabangsa yang diadakan setiap tahun oleh Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor.
- Objektif penganjuran program ini untuk mempromosikan Negeri Selangor sebagai Hub Perdagangan Global dirantau ASEAN dan juga memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan dan asing untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan serta memberi peluang untuk menjalinkan hubungan kerjasama perniagaan untuk kepentingan bersama.
- Program ini dapat memberi peluang kepada pengusaha tempatan untuk meneroka pasaran luar negara serta mewujudkan komuniti perdagangan antara Selangor dan Negara-Negara luar serta menjadikan Selangor sebagai destinasi pelaburan serta hub perdagangan bagi rantau ASEAN.
- ‘Selangor International Business Summit 2022 (SIBS 2022)’ yang merupakan edisi keenam telah diadakan pada 6 – 9 Oktober 2022 bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre, Kuala Lumpur dan pada tahun ini SIBS 2023 akan diadakan pada 19 hingga 22 Oktober 2023 di tempat yang sama.
- SIBS 2022 telah berjaya mendapatkan penglibatan syarikat dalam dan luar negara untuk membuka gerai pameran. Sebanyak 906 gerai pameran daripada 623 syarikat telah direkodkan terlibat sebagai pempamer pada SIBS 2022.
- Sebanyak 60 negara telah terlibat di dalam SIBS 2022 sama ada sebagai pempamer, pembeli antarabangsa (International Buyer), penceramah persidangan, peserta seminar, pengunjung pameran dan sebagainya.
- Seramai 44,342 pelawat telah direkodkan mengunjungi pameran dan persidangan yang diadakan ini dimana sebanyak 25% adalah pengunjung awam dan sebanyak 75% adalah pengunjung perniagaan (trade visitors).
- Program SIBS 2022 ini telah merekodkan potensi transaksi perniagaan bernilai RM 1.45 bilion.
- Selangor Aviation Show (SAS)
- Selangor Aviation Show (SAS) merupakan program pameran yang melibatkan pemain – pemain dalam industri aero angkasa. Program pameran ini telah diadakan pada 8 – 10 September 2022 bertempat di Subang Skypark RAC, Subang, Selangor dan pada tahun ini program ini akan diteruskan pada 7 hingga 9 September 2023 di tempat yang sama.
- Program pameran ini diadakan bertujuan untuk;-
- Mempromosikan aktiviti Penerbangan Perniagaan dan Penerbangan Am (Business Aviation dan General Aviation) di Selangor.
- Mempromosikan Subang sebagai hab aktiviti Business Aviation dan General Aviation.
- Menjadi platform bagi syarikat-syarikat perusahaan sederhana dan kecil tempatan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka serta berpeluang untuk meneroka kerjasama dengan syarikat luar.
- Selangor Aviation Show (SAS 2022) yang diadakan telah menarik penyertaan sebanyak 124 gerai pameran daripada 66 buah syarikat samada dari dalam dan luar negara. Antara negara – negara luar yang terlibat dalam pemeran ini seperti Singapura, United Kingdom, China, France, Nigeria, Brazil, South Korea, USA, Czech Republic, Hong Kong dan Switzerland.
- Seramai 10,563 pengunjung telah direkodkan yang terdiri daripada pengunjung awam (Public Visitors) dan juga Pengunjung Perniagaan (Trade Visitors). Sejumlah RM 1.174 bilion potensi transaksi telah direkodkan sepanjang pameran ini diadakan.
- Usaha Penambahbaikan.
- Kerajaan Negeri menerusi Invest Selangor akan meneroka cadangan – cadangan penambahbaikan proses kelulusan tertentu (Ease of Doing Business) supaya para pelabur atau masyarakat perniagaan dapat terus dibantu dalam melaksanakan cadangan – cadangan pelaburan atau cadangan pembangunan – pembangunan mereka dapat dilaksanakan dengan lancar dan cekap.