Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

172) PELABURAN KE NEGERI SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Pelaburan

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Walaupun Selangor merupakan negeri termaju di Malaysia, namun Selangor tidak lagi mendahului negeri-negeri lain dalam kemasukan pelaburan baik dari pelaburan langsung asing (FDI) dan juga pelaburan langsung domestik (DDI). Mengikut data yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), pada tahun 2021, Selangor hanya menduduki tempat ke-4 dengan hanya menerima RM28.8 bilion, jauh ditinggalkan oleh Pulau Pinang di tempat pertama yang menerima RM83.5 bilion. Apakah punca Selangor tidak lagi menjadi perhatian utama kemasukan pelaburan di Malaysia?

    Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), pada tahun 2021, Selangor hanya menduduki tempat ke-4 dengan hanya menerima RM 28.8 bilion, jauh ditinggalkan oleh Pulau Pinang di tempat pertama yang menerima RM83.5 bilion. Jumlah pelaburan yang direkodkan ini melibatkan projek perkilangan dalam Industri Elektrik dan Elektronik yang mana eko-sistem industri ini telah bertapak lama di negeri tersebut.

  2. Apakah perancangan dan hala tuju Kerajaan Negeri dalam memastikan Negeri Selangor kembali menjadi destinasi paling utama bagi kemasukan pelaburan di Malaysia?

    Antara perancangan dan hala tuju Kerajaan Negeri dalam memastikan Negeri Selangor kembali menjadi destinasi paling utama bagi kemasukan pelaburan di Malaysia seperti berikut;-

     

     

     

     

    • Perancangan Strategik;

     

    • Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021 – 2025 yang berfungsi sebagai pelan rancangan pembangunan lima secara menyeluruh bagi Negeri Selangor. Pelan ini dirangka berpandukan strategi dan inisiatif jangka pendek, sederhana dan panjang bagi mencapai visi untuk menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri pintar, makmur dan berdaya huni menjelang tahun 2025. Antara teras utama yang diberikan penumpuan seperti pengukuhan ekonomi, peningkatan kesejahteraan hidup dan keterangkuman sosial, pemacuan kelestarian serta SMART dan tadbir urus berkesan.

     

    Dalam teras ekonomi, Kerajaan Negeri mensasarkan beberapa halatuju seperti;-

    1. Peningkatan pertumbuhan KDNK;
    2. Meningkatkan nilai pelaburan dalam sektor keutamaan; dan kompleksiti tinggi;
    • Meningkatkan peluang pekerjaan;
    1. Meningkatkan kadar penembusan jalur lebar tetap.

     

    Beberapa projek pembangunan fizikal telah dikenalpasti akan dilaksanakan oleh pihak pemaju swasta dibawah Rancangan Selangor Pertama ini yang melibatkan daerah Sepang dan Kuala Langat yang melibatkan pembangunan dalam sektor pelancongan, komersil atau perniagaan dan industri. Kerajaan Negeri yakin, apabila projek – projek ini dilaksanakan kelak, ianya mampu untuk menarik dan meningkatkan pelaburan asing di Negeri Selangor.

     

    • Penubuhan Jawatankuasa Petugas Khas Pembangunan Selangor Golden Traingle.

    Dalam usaha merancakkan pembangunan ekonomi dan hartanah, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas Perlaksanaan Projek Pembangunan Selangor Golden Triangle yang melibatkan daerah Sepang dan Kuala Langat.

     

    Penubuhan Jawatankuasa Pasukan Petugas Perlaksanaan Projek Pembangunan ini secara langsung akan berperanan sebagai pemudah cara dan penyelaras dalam membantu merealisasikan perlaksanaan cadangan pembangunan projek disamping membantu menyelesaikan isu – isu yang berbangkit.

     

    • Pelan Tindakan Bioteknologi Selangor (Selangor Biotechnology Action Plan).

    Perancangan yang holistik akan digarap sebaik mungkin bagi memperkasakan pertumbuhan industri terpilih seperti bidang Bioteknologi yang amat berpotensi untuk berkembang di Selangor. Pelan Tindakan Bioteknologi Selangor yang diterbitkan akan menggariskan perancangan pembangunan secara komprehensif bagi memacu pertumbuhan industri bioteknologi di Negeri Selangor disamping menyediakan Negeri Selangor sebagai lokasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara.

     

    Bagi melaksanakan perancangan pembangunan dalam industri bioteknologi, Kerajaan Negeri telah mewujudkan sebuah divisyen khusus yang dikenali sebagai Selangor Bioteknologi Coordination Office (SBIOCO) yang diletakkan dibawah Invest Selangor. Divisyen baru ini akan berperanan untuk menyelaras pembangunan projek – projek berasaskan bioteknologi di Negeri Selangor dan juga pembangunan ekosistem industri berkenaan.

     

    • Penubuhan Majlis Industri Rel Negeri Selangor

    Kerajaan Negeri menubuhkan Majlis Industri Rel Negeri Selangor bagi memastikan industri ini diberi perhatian kerana industri ini dilihat mampu memberikan impak yang besar kepada ekonomi Selangor pada masa akan datang.

     

    Penubuhan Majlis Industri Rel Negeri Selangor adalah bagi memastikan inisiatif – inisiatif pembaharuan strategik menjadi asas yang penting kepada agenda pemakmuran negeri dan peningkatan kualiti kehidupan.

     

    Objektif penubuhan majlis ini adalah untuk;-

    1. Memberikan dokongan kepada pengukuhan perkembangan industri rel di Negeri Selangor;
    2. Memberikan pandangan kepada Kerajaan Negeri tentang halatuju indutsri rel di negeri Selangor;
    3. Membangunkan ekosistem industri rel di negeri Selangor;
    4. Menjadikan industri rel di Selangor sebagai salah satu industri yang memberi impak besar kepada ekonomi negeri.

     

    Majlis yang ditubuhkan ini berperanan untuk;-

    1. Meningkatkan potensi pelaburan di dalam industri rel dan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan di Selangor;
    2. Merancang dan merangka program-program pembangunan dan promosi industri rel di negeri Selangor.

     

    • Pelaksanaan Program Promosi Penggalakkan Pelaburan

     

    Dalam usaha mengekalkan dan menarik pelaburan baru, program – program promosi penggalakkan pelaburan telah dirancang sebaik mungkin untuk dilaksanakan sepanjang tahun. Walaupun negara sedang dilanda pendemik Ketika ini, perancangan perlaksanaan program yang telah diputuskan tetap diteruskan dan disesuaikan dengan keadaan semasa.

     

    Program – program libat urus, perbincangan, webinar, promosi dan pengiklanan dalam media cetak mahupun elektronik secara berterusan dilaksanakan agar program – program promosi penggalakkan pelaburan tidak terhenti disebabkan penularan pendemik.

     

    • Program Promosi Penggalakkan Pelaburan.

    Melalui program – program menarik pelaburan seperti Trade & Investment Mission secara fizikal dan virtual terus diperkukuhkan lagi disamping penekanan kepada industri tumpuan seperti Sains Hayat (Life Sciences), Pembuatan Makanan & Minuman (Food & Beverages), Pembuatan Produk Elektrik & Elektronik (Electrical & Electronics) dan Mesin dan Peralatan (Machinery & Equipment) yang dilihat sebagai industri yang semakin berkembang di Selangor.

     

    Selain daripada itu, terdapat 2 industri baru turut dikenalpasti dan berpotensi melonjakkan Selangor sebagai destinasi pelaburan seperti Perkhidmatan Logistik (Logistic Services) dan Digital Investment seperti Global Business Services (GBS), Data Centre serta Creative Content Technology.

     

    • Selangor International Business Summit (SIBS)

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Invest Selangor Berhad selaku penganjur telah mengadakan program ‘Selangor International Business Summit Hybrid 2021 (SIBS 2021)’ edisi kelima pada 7 – 10 Oktober 2021 bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre dan juga secara virtual di www.selangorbusinesshub.my

     

    Bagi tahun 2022, penganjuran SIBS bagi edisi ke enam akan diteruskan dan program pameran dan persidangan ini dijadualkan akan diadakan pada 6 – 9 Oktober 2022 bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre, Kuala Lumpur.

     

    Objektif penganjuran program ini untuk mempromosikan Negeri Selangor sebagai Hub Perdagangan Global dirantau ASEAN dan juga memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan dan asing untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan serta memberi peluang untuk menjalinkan hubungan kerjasama perniagaan untuk kepentingan bersama.

     

    Program ini dapat memberi peluang kepada pengusaha tempatan untuk meneroka pasaran luar negara serta mewujudkan komuniti perdagangan antara Selangor dan Negara-Negara luar serta menjadikan Selangor sebagai destinasi pelaburan serta hub perdagangan bagi rantau ASEAN

     

    Antara komponen-komponen program:

    1. Selangor International Expo (F&B)
    2. Selangor International Expo (MEDIC)
    3. Selangor Industrial Park Expo (SPARK)
    4. Selangor ASEAN Business Conference (SABC)
    5. Selangor Smart City and Digital Economy (SDEC)
    6. Selangor R&D and Innovation Expo (SRIE)
    7. Selangor International Culinary Festival

     

    • Selangor Aviation Show (SAS)

    Sektor aeroangkasa di Negeri Selangor akan terus dipacu dan diperkukuhkan dengan hasrat menjadikan Negeri Selangor sebagai lokasi pelaburan utama untuk industri aero angkasa dengan mensasarkan sebanyak 70% syarikat – syarikat berkaitan aero angkasa di Negara ini beroperasi di Selangor.

     

    Berbagai program penggalakkan pelaburan seperti sesi libat urus, webinar dan lain -lain program bersama pemain dalam industri Aeroangkasa di Selangor sentiasa diadakan dari masa ke semasa.

     

    Objektif penganjuran Selangor Aviation Show adalah untuk mempromosikan Subang sebagai hub aktiviti penerbangan perniagaan dan am atau Business Aviation dan General Aviation dan menjadi medium bagi syarikat-syarikat perusahaan sederhana dan kecil tempatan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka serta berpeluang untuk meneroka kerjasama dengan syarikat luar.

     

    Bagi tahun 2022, penganjuran Selangor Aviation Show (SAS) akan diteruskan dan dirancang akan diadakan pada 8 – 10 September 2022 bertempat di Subang Skypark RAC.

     

    • Menggalakkan Pembukaan Kawasan Perindustrian baru yang berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP)

    Menggalakkan pembukaan kawasan Perindustrian baru yang berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP) bagi menyediakan kawasan perindustrian baru yang kondusif untuk memenuhi permintaan dan keperluan pihak pelabur.

     

    • Program – Program Menyantuni Pelabur & Penyelesaian Isu – Isu Pelaburan.

    Program – program networking dan sesi pertemuan dan perbincangan bersama pelabur secara fizikal dan virtual sentiasa dilaksanakan dari masa ke semasa menyantuni pelabur yang sedia ada di Negeri Selangor. Mesyuarat atau perbincangan diadakan setiap bulan bagi membantu menyelesaikan isu – isu pelaburan yang berbangkit.

     

    Program menyantuni pelabur yang diadakan secara berterusan ini dapat mewujudkan suasana pelaburan harmoni di Selangor bagi menggalakkan pelaburan baru atau penambahan / pengembangan pelaburan sedia ada.

Lampiran

Tiada Lampiran.