Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

4) PELABURAN DI SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Pelaburan

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah pelaburan yang berjaya sejak tahun 2021.

  2. Nyatakan program misi penggalakan pelaburan ke luar negara yang telah diadakan sejak tahun 2021 secara terperinci.

  3. Adakah promosi telah dilakukan bagi menarik pelabur dalam industri BioTech? Jika ya, nyatakan butir-butirnya.

    Dalam usaha memberikan penumpuan khusus terhadap pembangunan industri bioteknologi di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri telah mewujudkan Selangor Biotechnology Coordination Office (SBIOCO) dibawah Invest Selangor bagi memperkasa industri bioteknologi dan menyelaras perlaksanaan Pelan Tindakan Hala Tuju Industri Bioteknologi di Negeri Selangor. SBIOCO telah ditubuhkan pada September 2021 dan memulakan operasi pada Februari 2022.

     

    Usaha mempromosi industri bioteknologi mulai tahun 2022 dimana beberapa siri lawatan kerja telah dianjurkan oleh Invest Selangor bagi mempromosikan industri Bio-Tech di Selangor yang telah berjaya menarik minat dan pertimbangan pelabur-pelabur. Di antara siri lawatan yang ingin diketengahkan adalah lawatan ke Pulau Pinang dan Johor.

     

    Pulau Pinang dan Johor merupakan antara negeri yang agresif dalam menarik pelabur dengan menawarkan pelbagai insentif bagi membantu dan memudahcara urusan perniagaan. Mereka telah berjaya untuk menarik pelaburan khususnya dalam kalangan syarikat pemula niaga (startup companies) dan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (SMEs). Objektif utama lawatan ke dua buah negeri tersebut adalah untuk menarik perhatian syarikat-syarikat SME untuk mempertimbangkan negeri Selangor sebagai destinasi pilihan utama untuk perancangan pengembangan perniagaan mereka.

     

    Semasa lawatan tersebut, Invest Selangor telah berjumpa dengan pemain-pemain industri bioteknologi dalam subsektor pertanian, perubatan dan juga alam sekitar. Di samping menarik minat pelabur-pelabur ke Selangor, peluang ini juga digunakan untuk mendekati dan memahami landskap bioteknologi di Malaysia secara menyeluruh dari sudut pandangan pemain-pemain industri. Ini adalah selari dengan Pelan Tindakan Hala Tuju Industri Bioteknologi Selangor 2021-2030 yang berhasrat untuk menyediakan infrastruktur dan persekitaran perniagaan yang kondusif dan menepati keperluan pelabur dalam subsektor seperti yang disebut tadi.

     

    Selain pemain-pemain industri, Invest Selangor juga telah mengadakan mesyuarat dengan agensi-agensi kerajaan dan swasta yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pembangunan ekosistem industri bioteknologi. Adalah amat penting untuk melibatkan mereka kerana pelaksanaan pelan ini tidak akan tercapai tanpa sokongan pihak-pihak tersebut. Invest Selangor bercadang untuk meneruskan aktiviti-aktiviti promosi bukan sahaja di Malaysia malah juga di luar negara. Sektor bioteknologi mempunyai tarikan tersendiri terutamanya pasca Covid-19 dan berpotensi tinggi dalam memacu ekonomi negeri Selangor. Seperti sedia maklum, sektor bioteknologi telah dikenalpasti sebagai antara sektor fokus dalam perangkaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1). Sokongan daripada semua agensi-agensi kerajaan negeri Selangor adalah diperlukan ke arah pelaksanaan Pelan Tindakan Hala Tuju Industri Bioteknologi Selangor 2021-2030 dan Rancangan Selangor Pertama.

     

    Sumber : Selangor Biotech Coordination Office (SBIOCO)

Lampiran

Tiada Lampiran.