Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
223) PELABURAN DI ANJUNG UTARA SELANGOR
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Pelaburan
Adun: Y.B. Tuan Jefri Bin Mejan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah rancangan Kerajaan Negeri Selangor bagi merancakkan pelaburan di Anjung Utara Selangor?
Dalam usaha Kerajaan Negeri membawa keseimbangan pembangunan ke segenap daerah di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri telah merangka beberapa strategi atau langkah yang boleh dilaksanakan dalam usaha membangunkan kawasan – kawasan di luar Lembah Klang. Antara perancangan pembangunan yang diatur dalam usaha memacu pembangunan ekonomi kawasan terutama di kawasan Anjung Utara Selangor yang melibatkan Daerah Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor adalah seperti berikut;-
- Memacu Pembangunan Ekonomi menerusi Pendekatan secara Gugusan atau Klusterisasi dimana melalui pendekatan ini akan memberi kelebihan kepada kekuatan dan keunikan setiap daerah di Selangor sambil mewujudkan insentif untuk perniagaan kecil dan sederhana untuk berkembang serta memupuk koordinasi antara sektor awam dan swasta untuk bersaing di rantau ini. Dibawah perancangan pembangunan melalui Gugusan atau Klusterisasi ini kawasan – kawasan di Daerah Kuala Selangor dikenalpasti berpotensi bagi pembangunan ekonomi seperti berikut;-
Bil. Gugusan Kluster Ekonomi
1. Tanjung Karang – Sg. Air Tawar · Sektor Pertanian dan Industri Asas Tani
2. Kuala Selangor – Sabak · Eko – Pelancongan · Perikanan & Akuakultur
3. Serendah – Sg. Choh – Bukit Beruntung · Industri Automotif & Sokongan
4. Teluk Panglima Garang – Rawang – Kuang & Bernam Jaya – Lembah Beringin · Industri Terpilih & Perkhidmatan – F&B, Sains Hayat & Pelancongan Kesihatan.
- Pembangunan Industri. Dalam usaha menyediakan peluang pekerjaan melalui aktiviti perindustrian, Kerajaan Negeri melalui agensi pengalakan pelaburan negeri (Invest Selangor) turut mempromosikan kawasan – kawasan atau lot industri yang berpotensi yang ada seperti;-
- Kuala Selangor – kawasan perindustrian di Bestari Jaya, Puncak Alam (Eco Industrial Park, Kaw. Perindustrian Alam Jaya), kawasan / lot industri di Jeram dan kawasan industri IKS Kuala Selangor.
- Hulu Selangor – Kawasan perindustrian di Serendah, Bukit Beruntung & Bukit Sentosa, Hulu Yam dan lain – lain kawasan.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga turut menggalakkan pemilih hartanah yang berskala besar untuk dibangunkan bagi tujuan perindustrian.
- Perancangan pembangunan ekonomi menerusi Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA). Inisiatif ini melibatkan enam projek baharu meliputi sektor – sektor seperti pertanian, perikanan, logistik, perniagaan dan pelancongan yang dibangunkan secara berfasa. SABDA merupakan salah satu daripada tiga zon pembangunan ekonomi Selangor yang merangkumi Pembangunan Bersepadu Wilayah Selatan Selangor (IDRISS) dan Selangor Maritime Gateway (SMG) yang dirancang dibawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
Antara projek – projek pembangunan yang dirancang dibawah pembangunan SABDA seperti;-
- Projek Industri Hiliran Hasil Laut dan Agro Makanan Sg. Lang seluas 432 ekar yang memberi tumpuan kepada projek komersil dan pertanian.
- Kompleks Pendaratan Laut Ikan, Sekinchan seluas 265 ekar yang memberi fokus kepada aktiviti Komersil, Pertanian dan Rekreasi.
-
Apakah fokus utama pelaburan yang dirancang di Daerah Kuala Selangor dan bagaimanakah pelaburan ini akan memberi manfaat kepada rakyat setempat?
Dalam usaha menarik pelaburan ke Negeri Selangor, Kerajaan Negeri memberi penumpuan kepada industri seperti Sains Hayat (Life Sciences), Pembuatan Makanan & Minuman (Food & Beverages), Pembuatan Produk Elektrik & Elektronik (Electrical & Electronic), Kelengkapan Pengangkutan (Transport Equipment) seperti industri Aeroangkasa dan Dron serta Mesin dan Peralatan (Machinery & Equipment).
Bagi sektor perkhidmatan pula, industri Perkhidmatan Logistik (Logistic Services) dan Digital Investment seperti Global Business Services (GBS), Data Centre serta Creative Content Technology antara industri yang telah dikenalpasti berpotensi untuk berkembang di Negeri Selangor.
Adalah harapan dan juga aspirasi Kerajaan Negeri agar aktiviti – aktiviti pelaburan ini akan memberi manfaat secara lansung dan tidak lansung kepada rakyat setempat.
Melalui aktiviti pelaburan, ianya secara lansung akan meningkatkan taraf hidup rakyat setempat seperti penyediaan potensi peluang pekerjaan dan penjanaan peluang perniagaan serta aktiviti ekonomi setempat.
Manakala kutipan hasil daripada aktiviti – aktiviti pelaburan seperti Bayaran Premium, Cukai Tanah dan Cukai Taksiran yang dipungut oleh pihak Kerajaan Negeri pula akan disalurkan kepada rakyat setempat melalui program – program kebajikan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri, perlaksanaan projek – projek pembangunan dan menaiktaraf kemudahan infrastruktur dan penyediaan kemudahan rakyat serta penaiktarafan perbandaran bagi mempertingkatkan kesejahteraan hidup rakyat setempat.