Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009

128) PELABURAN ASING (MENGENALPASTI JUMLAH PELABURAN ASING DI NEGERI SELANGOR)

Tahun: 2009

Sesi: 3

Isu: Pelaburan

Adun: Y.B. Dato' Subahan Bin Kamal

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Memandangkan Negeri Selangor adalah sebuah negeri maju, banyak pelabur-pelabur asing dikenal pasti berminat membuat pelaburan di negeri ini. Berapakah jumlah pelaburan asing yang dibuat oleh pelabur-pelabur asing setakat ini dan apakah pecahan pelaburan asing mengikut negara di Negeri Selangor.

    Bagi tempoh Januari hingga Julai 2009 sebanyak 138 projek perkilangan telah
    diluluskan oleh MIDA di Negeri Selangor dengan nilai pelaburan berjumlah RM
    2,718,155,506. Daripada jumlah ini sebanyak RM 1,253,299,362 adalah daripada
    pelaburan tempatan dan sebanyak RM 1,464,856,144 daripada pelaburan asing.
    Pecahan kelulusan projek-projek perkilangan di Negeri Selangor mengikut penyertaan
    pelabur asing bagi tempoh Januari hingga Julai 2009 adalah seperti berikut;-

    Negara Projek Peluang
    Pekerjaan
    Modal
    Pelaburan (RM)
    Sweden 4 276 329,057,492
    Singapore 7 701 231,870,639
    Iran 2 82 142,458,933
    British Virgin Island 3 325 132,000,000
    Finland 1 12 123,795,000
    United States America (USA) 2 96 105,263,390
    Lain-Lain Negara 12 674 82,095,680
    Japan 11 413 76,513,572
    Netherlands 6 397 67,458,403
    Korea Rep. 1 46 48,226,849
    Germany 5 250 24,663,244
    Taiwan 3 112 24,278,200
    China 4 173 19,975,943
    India 3 111 19,546,000
    United Kingdom 6 364 11,773,886
    Turkey 1 0 9,983,093
    Switzerland 1 16 9,300,000
    Hong Kong 1 80 5,640,000
    Australia 2 8 736,000
    Indonesia 1 12 123,878
    Myanmar 1 13 49,442
    France 1 0 46,500
    Jumlah 78 4,161 1,464,856,144
    * Sumber : MIDA

  2. Apakah langkah-langkah yang sedang dibuat oleh Kerajaan Negeri untuk meningkatkan pelaburan-pelaburan asing ini.

    Antara langkah-langkah yang sedang dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri
    untuk meningkatkan pelaburan asing di negeri Selangor adalah seperti berikut;-
    1) Memastikan iklim pelaburan yang kondusif melalui pelaksanaan dasar pelaburan
    yang pragmatik dan telus untuk memberi keyakinan kepada pelabur asing.
    2) Konsep Mesra Pelabur yang diterapkan dengan mengadakan lawatan dan
    perjumpaan dengan pihak industri secara berkala bagi mendapatkan maklum balas
    mengenai permasalahan yang dihadapi oleh pihak industri/pelabur di Selangor.
    3) Menaik taraf infrastruktur di kawasan-kawasan industri serta menyediakan kawasan
    perindustrian yang selesa seperti Selangor Science Park.
    4) Mempercepatkan proses penyelesaian masalah yang dihadapi pihak industri.
    5) Mempercepatkan proses kelulusan permohonan seperti Permohonan Sijil Layak
    menduduki, Permohonan Kelulusan Pelan Bangunan dan lain-lain kelulusan yang
    diperlukan pihak industri/pelabur menerusi One Stop Centre (OSC) yang ditubuhkan
    di setiap PBT.
    6) Penubuhan Jawatankuasa Pelaburan Peringkat Negeri dan Daerah bagi memantau
    perlaksanaan projek-projek pelaburan di setiap daerah serta mempromosikan
    peluang-peluang pelaburan di setiap daerah.
    7) Penubuhan Industrial Park Management Committee (IPMC) di setiap kawasan
    perindustrian yang kawasan Pihak Berkuasa Tempatan.
    8) Mempertingkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan di
    semua peringkat, termasuk di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan.
    9) Penambahbaikan fungsi SSIC bagi memantapkan keupayaan dalam memberi
    perkhidmatan.
    10) Pemantauan yang lebih kerap untuk projek-projek yang sedang dilaksanakan.
    11) “Hand hold” program.
    12) Penganjuran dan penyertaan dalam misi-misi pelaburan ke luar negara.
    13) Bekerjasama dengan pihak swasta bagi menarik pelaburan dari luar negara.
    14) Meningkatkan program dialog bersama industri bagi mengenal pasti
    isu/permasalahan yang dihadapi bagi mencari jalan penyelesaian agar pihak industri
    terus beroperasi
    15) Penubuhan jawatankuasa PEMUDAH Negeri Selangor bagi menambahbaikkan
    sistem penyampaian di Negeri Selangor

  3. Bagaimanakah strategi dan peranan Kerajaan Negeri bagi memastikan rakyat Negeri Selangor dapat menikmati manfaat terus daripada pelaburan asing ini, dari segi peluang ekonomi dan pekerjaan.

    Beberapa strategi dan peranan Kerajaan Negeri telah diambil bagi memastikan
    rakyat tempatan mendapat manfaat terus daripada pelaburan asing seperti berikut;-
    1. Peluang Ekonomi
    i) Menyediakan maklumat penyedia-penyedia perkhidmatan untuk rujukan
    para pelabur bagi mendapatkan khidmat profesional yang beroperasi di
    negeri Selangor.
    ii) Menganjurkan program-program networking antara para pelabur yang
    beroperasi di Negeri Selangor bertujuan bagi menyediakan ruang untuk
    pelabur tempatan serta pelabur asing menjalin hubungan kerjasama
    perniagaan antara satu sama lain.
    2. Peluang Pekerjaan
    i) Mengadakan sesi pertemuan antara institusi-institusi pengajian tinggi
    serta institusi latihan di negeri Selangor dengan syarikat multinasional
    bagi mewujudkan jaringan antara pihak industri dan institusi pengajian
    tinggi serta latihan supaya program yang ditawarkan menepati kehendak
    industri dan membolehkan pihak industri dapat berhubung secara terus
    bagi mendapatkan tenaga kerja yang bersesuaian.
    ii) Dalam syarat-syarat lesen pengilang yang dikeluarkan oleh MIDA, pihak
    syarikat perlu melatih rakyat Malaysia supaya pemindahan teknologi dan
    kepakaran dapat disalurkan ke semua peringkat jawatan.
    Bagaimanapun, pihak syarikat dibenarkan mengambil khidmat pegawai
    dagang (expatriate post) dari luar negara, di mana Malaysia tidak
    mempunyai kepakaran yang diperlukan tetapi perkhidmatan adalah di
    dalam tempoh yang ditetapkan. Dalam masa yang sama, pihak syarikat
    perlu melatih pekerja tempatan bagi mengambil alih jawatan pegawai
    dagang berkenaan setelah tempoh perkhidmatannya tamat dan secara
    tidak langsung satu bentuk transaksi teknologi akan berlaku.
    iii) Kerajaan melalui Jabatan Tenaga Kerja memutuskan untuk membekukan
    pengambilan pekerja asing dalam beberapa sektor terutama sub sektor
    perkilangan dan perkhidmatan. Keputusan ini diambil bagi menangani
    kesan masalah kegawatan ekonomi ketika ini serta memaksimumkan
    pengambilan pekerja tempatan.
    iv) Kerajaan Negeri turut mengadakan roadshow mencari pekerjaan ke
    setiap daerah di Negeri Selangor bagi membantu rakyat tempatan
    khususnya penduduk luar bandar untuk mendapatkan pekerjaan. Dalam
    program ini syarikat-syarikat yang memerlukan pekerja diminta untuk
    membuat temu duga secara langsung dengan penduduk tempatan di
    sekitar kawasan program ini diadakan.
    v) Selain itu, Kerajaan Negeri melalui SSIC Berhad telah mengadakan
    pertemuan bersama ketua-ketua kampung bagi mendapatkan kerjasama
    mereka untuk membantu rakyat tempatan mendapatkan pekerjaan dalam
    sektor perindustrian.

Lampiran

Tiada Lampiran.