Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

18) PELABURAN ASING

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Pelaburan

Adun: Y.B. Tuan Harumaini Bin Haji Omar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan jangka pendek / panjang Kerajaan Negeri untuk menarik pelabur luar mahupun dalam negeri ke kawasan Bukit Sentosa / Beruntung memandangkan masih banyak lagi premis kedai/perniagaan dan perumahan yang terbiar tanpa diuruskan dengan baik?

    Permasalahan di Bandar Bukit Beruntung / Bukit Sentosa merupakan priority utama bagi Majlis Daerah Hulu Selangor. Pelbagai usaha dan perancangan telah dan didalam pelaksanaan pihak MDHS bagi menjadikan kawasan berkenaan kembali membangunan setara bandar – bandar lain di Hulu Selangor.
    Sejak tahun 2006, pelbagai perancangan telah dijalankan bagi menarik pelabur / pengusaha dan stakeholder / anchor bagi melabur dan menjalankan pelaburan di Bandar Bukit Beruntung.
    Bagi mengawal pembangunan, pihak MDHS telah mengambil langkah proaktif dengan membekukan tanah – tanah pembangunan di sekitar Serendah / Sungai Buaya di dalam Rancangan Tempatan Daerah Hulu Selangor 2020 bagi memberi tumpuan pembangunan di Bandar Bukit Beruntung / Bukit Sentosa.
    Bagi menjadi anchor utama di Bukit Beruntung, pihak Tesco Distribution telah membuka gudang pengedaran terbesar (repacking) seluas 50 ekar di Bukit Beruntung dan diluluskan oleh pihak MDHS pada Mei 2008. Selain itu, bagi menarik penduduk untuk mendiami Bukit Beruntung serta menggalakkan aktiviti perniagaan, pihak MDHS telah menjemput pihak Tesco untuk membuka Tesco Store di Bukit Sentosa yang telah dibuka pada 2011.
    Bagi pembangunan institusi, pihak Polis Diraja Malaysia telah mengambilalih Kolej Aman, Bukit Sentosa dan dijadikan Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Bukit Sentosa. Disamping itu sepanjang 2006 hingga kini, pihak MDHS telah meluluskan 2 Sekolah Rendah dan 1 Sekolah Menengah kebangsaaan di Bukit Beruntung / Bukit Sentosa dibawah Rancangan Malaysia Ke-10 Kementerian Pelajaran. Di samping itu sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil telah dibuka di Bukit Beruntung. Dari segi
    keselamatan, Bandar Bukit Sentosa telah mempunyai Balai Polis selain Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa telah siap dibina dan menunggu masa untuk beroperasi sepenuhnya. Pihak MDHS juga di dalam proses perbincangan secara berkala dengan agensi – agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran untuk agensi berkenaan membangunkan kemudahan di Bandar Bukit Beruntung / Bukit Sentosa bagi kemudahan penduduk.
    Aktiviti perindustrian juga berjalan rancak. Ini ditunjukkan dengan 98% lot industri di Jalan Jasmine Bukit Beruntung telah dibina kilang – kilang. Selain itu kawasan perindustrian lain seperti di Jalan Kenanga dan Jalan Kamunting Bukit Beruntung, Jalan Seroja dan Jalan Ros, Bukit Sentosa juga kini mula diisi oleh pelabur. Lot – lot kilang di Bukit Beruntung / Bukit Sentosa merupakan pilihan utama bagi pengilang vendor bagi PERODUA, PROTON dan TANCHONG (NISSAN).
    Terkini, Pihak PERODUA telah menyediakan jalan terus dari persimpangan PERODUA ke Bukit Sentosa. Dengan pembukaan jalan ini, ia akan menjadi alternatif kepada penduduk Bukit Sentosa terus ke Tol Sungai Buaya selain Tol Bukit Beruntung kini. Pihak PERODUA bersama pihak UMW Development kini dalam penyediaan jalan penyambung dari Bukit Sentosa ke Serendah yang boleh dihubungkan terus ke Jalan Pintasan Rawang.
    YAB Dato Menteri Besar di dalam pembentangan Belanjawan Negeri Selangor 2019 telah menetapkan kawasan Serendah termasuk Bukit Beruntung / Bukit Sentosa sebagai Kluster Aeroangkasa dan Automotif. Pihak UMW Aerospace telah melabur dan membina Kilang Pemasangan Kelongsong Enjin Kapal Terbang untuk Airbus di kawasan ini dan pihak UMW juga bercadang untuk memindahkan operasi mereka dari Shah Alam ke Serendah. Pemajuan ini memberi impak tinggi kepada Bandar Bukit Beruntung / Bukit Sentosa selain menaikkan lagi nilai hartanah di kawasan berkenaan.
    Bagi mencari penyelesaian secara mampan, pihak MDHS dengan kerjasama PlanMalaysia dan PlanMalaysia Selangor telah menyediakan Pelan Tindakan Kawasan Brownfield Bukit Beruntung yang menyediakan pelan komprehensif pembangunan semula kawasan terbengkalai (brownfiled) di Bandar Bukit Beruntung terutamanya di kawasan kilang teres seperti di Jalan Seroja dan Jalan Kamunting, Bukit Sentosa.
    Secara keseluruhannya, situasi di Bandar Bukit Beruntung / Bukit Sentosa bertambah baik dan pihak MDHS bersama pihak INVEST SELANGOR akan terus mempromosikan kawasan ini kepada pelabur sama ada pemain industri dan pemaju hartanah untuk terus membangunkan Bandar Bukit Beruntung / Bukit Sentosa khasnya dan kawasan sekitar amnya.

Lampiran

Tiada Lampiran.