Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

28) PELABURAN ANTARABANGSA KE NEGERI SELANGOR

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Pelaburan

Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa kadar pelaburan antarabangsa yang melabur di Negeri Selangor antara tahun 2018-2023?

    Bagi tempoh 2018 hingga Jun 2023 sebanyak 1,506 projek perkilangan telah diluluskan di Negeri Selangor dengan nilai pelaburan berjumlah RM 88,882,983,802 (RM 88.88 bilion). daripada jumlah ini sebanyak RM 35,879,623,616 (RM 35.88 bilion) adalah daripada modal pelaburan tempatan dan sebanyak RM 53,003,360,186 (RM 53.0 Bilion) daripada modal pelaburan asing. Sebanyak 95,610 potensi peluang pekerjaan telah diwujudkan daripada projek – projek perkilangan yang diluluskan ini.

    Sumber : Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)

  2. Apakah perancangan dan usaha Kerajaan Negeri bagi meningkatkan kadar pelaburan antarabangsa?

    Antara perancangan dan usaha Kerajaan Negeri bagi meningkatkan kadar pelaburan antarabangsa seperti berikut;-

     

    1. Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021 – 2025

    Rancangan Selangor Pertama (RS-1) berfungsi sebagai pelan rancangan pembangunan lima tahun secara menyeluruh bagi Negeri Selangor. Pelan ini dirangka berpandukan strategi dan inisiatif jangka pendek, sederhana dan panjang bagi mencapai visi untuk menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri pintar, makmur dan berdaya huni menjelang tahun 2025. Antara teras utama yang diberikan penumpuan seperti pengukuhan ekonomi, peningkatan kesejahteraan hidup dan keterangkuman sosial, pemacuan kelestarian serta SMART dan tadbir urus berkesan.

     

    Dalam teras ekonomi, Kerajaan Negeri mensasarkan beberapa halatuju seperti;-

    • Peningkatan pertumbuhan KDNK;
    • Meningkatkan nilai pelaburan dalam sektor keutamaan; dan kompleksiti tinggi;
    • Meningkatkan peluang pekerjaan;
    • Meningkatkan kadar penembusan jalur lebar tetap.

     

    1. Program Promosi Penggalakkan Pelaburan

    Dalam usaha mengekalkan pertumbuhan sektor perkilangan dan perkhidmatan sebagai penyumbang utama kepada KDNK Negeri dan Negara amnya, program – program penggalakkan pelaburan akan terus dilaksanakan. Program – program seperti misi lawatan pengalakkan pelaburan ke luar negara bagi bertemu dengan para pelabur yang berpotensi akan terus diatur dan dilaksanakan.

     

    Program – program pertemuan secara fizikal mahupun secara virtual akan terus dilaksanakan bersama pelabur tempatan, luar negara dan juga pihak dewan – dewan perniagaan yang ada di Malaysia mahupun di luar negara.

     

    Industri tumpuan seperti Sains Hayat (Life Sciences), Pembuatan Makanan & Minuman (Food & Beverages), Pembuatan Produk Elektrik & Elektronik (Electrical & Electronic), Kelengkapan Pengangkutan (Transport Equipment) seperti industri Aeroangkasa dan Dron serta Mesin dan Peralatan (Machinery & Equipment) akan terus diberikan penekanan.

     

    Bagi sektor perkhidmatan pula, industri Perkhidmatan Logistik (Logistic Services) dan Digital Investment seperti Global Business Services (GBS), Data Centre serta Creative Content Technology antara industri yang telah dikenalpasti berpotensi untuk berkembang di Negeri Selangor.

     

    1. Selangor’s Investors Soft Landing Incentive Program.

    Selangor’s Investors Soft Landing Incentive Program program dimana penyediaan Ruang Kerja Bersama (Coworking Area) / Ruang Pejabat (Coworking Office) bagi bakal pelabur samada dari dalam dan luar negara yang berhasrat untuk melaksanakan tinjauan awal perancangan pelaburan di Negeri Selangor.

     

    Insentif ini disediakan untuk menyediakan platform yang holistik dan memberikan sokongan penuh bagi pelabur yang berpotensi agar dapat menerokai ekosistem pelaburan di Selangor. selain itu, melalui insentif ini juga dapat memupuk penglibatan komuniti industri sedia ada dalam proses menarik pelaburan baru ke kawasan dan kumpulan sektor yang dikenalpasti.

     

    Kemudahan yang disediakan untuk para pelabur ini secara langsung dapat membantu mempercepatkan perlaksanaan projek – projek pelaburan dengan sokongan – sokongan pelaburan yang diperlukan.

     

    Pelaksanaan Selangor’s Investors Soft Landing Incentive Program ini dapat merancakkan aktiviti pelaburan disamping menggalakkan pertumbuhan ekonomi negeri. Melalui Insentif ini, ianya berfungsi sebagai pemudahcara kepada para pelabur yang berpotensi untuk melabur di Selangor disamping sokongan penuh daripada Kerajaan Persekutuan, Negeri dan rakan-rakan Strategik yang terlibat.

     

    Selain itu, insentif ini juga akan dapat membantu mengurangkan kos kelayakan (feasibility cost) kepada pelabur baru yang berpotensi, di mana lebihan kos tersebut dapat digunakan untuk membuat pelbagai analisis dan kajian yang berkaitan semasa menerokai ekosistem pelaburan di Selangor

     

    Dengan adanya insentif ini, Kerajaan Negeri berpeluang untuk meningkatkan potensi pelaburan dan seterusnya menggalakkan peluang-peluang pelaburan dari dalam dan luar negara dengan memakmurkan kerjasama strategik dari pelbagai pihak yang terlibat. Inisiatif ini dijangka dapat dilaksanakan mulai Januari 2024.

     

    1. ’Selangor Lab Partnership Program’ Bagi Pembangunan Sektor Sains Hayat Di Selangor.

    Lab Partnership Program adalah salah satu daripada pelan tindakan yang digariskan dalam ’Selangor Biotechnology Action Plan (SBAP) 2021-2030’ bagi ’Action Plan-10’ iaitu ’Utilise and Link Partner Labs at IHLs (Institute Higher Learnings) and RIs (Research Institutes)’.

     

    Inisiatif ini bertujuan membantu pemain industri untuk memanfaatkan kemudahan penyelidikan dan sumber kepakaran di institusi akademik, serta menggalakkan kerjasama kolaborasi antara Institusi Pengajian Tinggi, Institusi Penyelidikan dan pemain industri. Melalui inisiatif ini, ia dapat menggalakkan penyelidikan dan pembangunan inovatif serta berpontensi mengurangkan jurang antara pihak akademi dan pemain industri dalam sektor sains hayat di Selangor. Antara sub-sektor yang diberikan penumpuan bagi perlaksanaan program ini adalah;

    • Industri pengeluaran produk alatan perubatan;
    • Industri Farmaseutikal
    • Industri bioteknologi
    • Industri Kosmetik dan Penjagaan Diri.

     

    Pihak Kerajaan Negeri telah mengenalpasti rakan strategik dari pihak Institusi Pengajian Tinggi dan Institusi Penyelidikan bagi melaksanakan inisiatif ini. Dua rakan strategik yang telah mengesahkan keterlibatan dalam inisiatif ini iaitu Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

     

    Melalui program ini, pihak institusi pendidikan dan penyelidikan akan menyediakan bantuan kepakaran teknikal dan kemudahan peralatan serta penilaian terhadap aktiviti – aktiviti penyelidikan yang diperlukan oleh pihak syarikat. Antara kemudahan yang disediakan kepada pihak industri melalui program ini seperti;

    • Laboratory and Equipment Rental;
    • Laboratory Analysis Services;
    • Consultation and Experties;
    • Student Assistance;
    • Technical Training
    • Research Collaboration.

     

    Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor merancang untuk bekerjasama dengan lebih banyak Institusi Pengajian Tinggi dan Institusi Penyelidikan bagi menjayakan program ini di masa akan datang bagi memperkukuhkan inisiatif ini. Inisiatif ini dijangka dapat dilaksanakan mulai Januari 2024.

     

    1. Pembangunan Wilayah Ekonomi BaruPembangunan Serantau Bersepadu di Selangor Selatan (Integrated Development Region in South Selangor – IDRISS)

    Pembangunan Serantau Bersepadu di Selangor Selatan atau Integrated Development Region in South Selangor – (IDRISS) merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri dalam usaha membawa keseimbangan pembangunan ke seluruh negeri Selangor. Pembangunan Serantau Bersepadu di Selangor Selatan atau IDRISS merupakan cadangan pembangunan yang meliputi pembangunan kawasan perindustrian baru, kawasan pelancongan, pusat pengajian tinggi, pembangunan kediaman dan pusat perniagaan baru oleh pihak swasta yang melibatkan daerah Sepang dan Kuala Langat.

     

    Melalui insentif pembangunan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri serta bantuan sokongan daripada agensi – agensi teknikal yang berkaitan, ianya telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pemilik – pemilik hartanah yang berskala besar untuk membangunkan hartanah mereka. Sehingga kini sebanyak (13) projek dengan anggaran jumlah keluasan pembangunan keseluruhan seluas 17,398.56 ekar telah mendapat kelulusan Kerajaan Negeri untuk disenaraikan dibawah pembangunan IDRISS. Daripada projek – projek ini (1) projek telah mendapat kelulusan pembangunan, (1) projek dalam proses untuk mengemukakan kelulusan pembangunan dan selebihnya dalam peringkat cadangan awal pembangunan.

     

    Bagi memastikan projek – projek pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan oleh pemaju yang berkaitan, Kerajaan Negeri telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa Pasukan Petugas Perlaksanaan Projek Pembangunan IDRISS. Jawatankuasa ini akan berperanan sebagai pemudah cara dan penyelaras dalam membantu merealisasikan perlaksanaan cadangan pembangunan projek disamping membantu pemaju menyelesaikan isu – isu yang berbangkit.

     

    Selain itu, Kerajaan Negeri juga turut menawarkan insentif sebagai galakkan kepada pemilik tanah yang berskala besar untuk terlibat dalam pembangunan IDRISS.

     

    Kerajaan Negeri yakin, dengan insentif yang ditawarkan serta fasilitasi pelaburan yang disediakan oleh pihak Kerajaan Negeri, secara lansung akan menarik minat pemilik hartanah yang berskala besar untuk menyertai pembangunan IDRISS disamping mempercepatkan proses pembangunan hartanah mereka dalam usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

     

    1. Menggalakkan Pembukaan Kawasan Perindustrian baru yang berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP)

    Dalam usaha menyediakan kawasan perindustrian yang kondusif bagi keperluan para pelabur, Kerajaan Negeri menggalakkan pembukaan kawasan Perindustrian baru yang berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP).

     

    Sehingga kini sebanyak 6 projek pembangunan kawasan perindustrian telah mendapat pengiktirafan daripada Kerajaan Negeri sebagai taman Perindustrian Berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP) dengan keluasan pembangunan seluas 3,383.85 ekar yang melibatkan daerah Kuala Langat, Klang dan Gombak.

     

    Insentif juga turut ditawarkan kepada pemaju hartanah yang berminat untuk membangunkan hartanah mereka bagi tujuan pembangunan taman perindustrian yang berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP) di Negeri Selangor. Selain itu, insentif-insentif tertentu juga turut ditawarkan kepada pelabur yang beroperasi dalam taman industri yang berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP).

     

    1. Selangor International Business Summit (SIBS)

    Selangor International Business Summit adalah program pameran perdagangan dan persidangan peringkat antarabangsa yang diadakan setiap tahun oleh Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor. Objektif penganjuran program ini untuk mempromosikan Negeri Selangor sebagai Hub Perdagangan Global dirantau ASEAN dan juga memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan dan asing untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan serta memberi peluang untuk menjalinkan hubungan kerjasama perniagaan untuk kepentingan bersama.

     

    Program ini dapat memberi peluang kepada pengusaha tempatan untuk meneroka pasaran luar negara serta mewujudkan komuniti perdagangan antara Selangor dengan Negara – Negara luar. Ini secara lansung dapat menjadikan Negeri Selangor sebagai destinasi pelaburan serta hub perdagangan bagi rantau ASEAN.

     

    1. Selangor Aviation Show (SAS)

    Selangor Aviation Show (SAS) merupakan program pameran yang melibatkan pemain – pemain dalam industri aero angkasa. Program pameran ini diadakan bertujuan untuk;-

    1. Mempromosikan aktiviti Penerbangan Perniagaan dan Penerbangan Am (Business Aviation dan General Aviation) di Selangor.
    2. Mempromosikan Subang sebagai hab aktiviti Business Aviation dan General Aviation.
    3. Menjadi platform bagi syarikat-syarikat perusahaan sederhana dan kecil tempatan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka serta berpeluang untuk meneroka kerjasama dengan syarikat luar.

     

    1. Program – Program Program – Program Libat Urus, Menyantuni Pelabur & Penyelesaian Isu – Isu Pelaburan.

    Dalam usaha menggalakkan penambahan pelaburan oleh pelabur sedia ada, Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor sentiasa melaksanakan program – program bagi menyantuni pelabur yang telah melabur di Negeri Selangor.

     

    Program – program libat urus seperti seminar dan bengkel, lawatan kilang dan pertemuan sentiasa diatur dalam usaha menjalinkan hubungan erat dengan pelabur – pelabur sedia ada.

     

    Selain itu, mesyuarat penyelarasan projek yang dipengerusikan oleh YB EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti diadakan setiap bulan bagi membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh pihak pelabur.

  3. Apakah pendekatan yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri dalam pengambilan sumber tenaga tempatan?

    Antara pendekatan yang diusahakan oleh Kerajaan dalam menggalakkan pihak syarikat mengambil sumber tenaga tempatan adalah seperti;-

    1. Penetapan syarat – syarat dalam lesen pengilang dibawah Akta Penyelarasan Perindustrian, 1975 (Akta 156) dimana;-

      i. Pihak syarikat hendaklah melatih warganegara Malaysia supaya pemindahan teknologi dan kepakaran dapat disalurkankan di semua peringkat jawatan.

      ii. Jumlah gunatenaga sepenuh masa syarikat hendaklah terdiri daripada sekurang – kurangnya 80% warganegara Malaysia. Penggajian rakyat asing termasuk pekerja yang diperolehi melalui penyumberan luar adalah tertakluk kepada dasar semasa.

    2. Kawalan pengambilan sumber tanaga asing oleh Kerajaan dengan hanya sektor dan sub-sektor tertentu sahaja yang dibenarkan yang mana telah dikenalpasti kurang diminati oleh pencari kerja tempatan. Selain itu, pihak majikan juga tertakluk kepada dasar semasa penggajian pekerja asing. Antara sektor – sektor yang dibenarkan seperti;-

      i. Sektor perkhidmatan
      ii. Perkilangan / Pembuatan
      iii. Pembinaan
      iv. Perladangan
      vi. Pertanian
      v. Perlombongan dan Pengkuarian.

    Manakala sub-sektor yang dibenarkan seperti;-

    1. Restoran
    2. Pembersihan dan pencucian
    3. Resort di Pulau Peranginan
    4. Hotel
    5. Kedi (Lelaki)
    6. SPA
    7. Pusat Urutan Kaki
    8. Pengendalian Kargo
    9. Borong dan Runcit.

    Sumber : Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia

    Antara pendekatan dan usaha pihak kerajaan negeri dalam pengambilan sumber tenaga tempatan ialah dengan merancang dan melaksanakan program-program yang membuka peluang kepada masyarakat tempatan untuk mendapatkan pekerjaan seperti berikut;-

    1. Program Selangor Mega Job Fair

    Pelaksanaan program Selangor Mega Job Fair ini merupakan satu platform dan ruang bagi golongan anak muda tempatan untuk mendapatkan pekerjaan dengan menghimpunkan syarikat – syarikat yang menawarkan peluang kerja. Program ini bukan sahaja membantu mengurangkan kadar pengangguran malah juga dapat membantu syarikat-syarikat yang memerlukan tenaga kerja khususnya di tahap kritikal dengan mendahulukan penglibatan di kalangan warga tempatan.

    Antara pengisian program sepanjang tempoh program tersebut adalah seperti perkongsian ilmu kerjaya, kaunter penerangan agensi, temu duga terbuka (walk- in interview) oleh pihak majikan.

    1. Career Fair Sempena Penganjuran Selangor Aviation Show (SAS) 2023.

    Program Career Fair ini telah diadakan pada 8 – 9 September 2023 bersempena dengan penganjuran Selangor Aviation Show (SAS) 2023. Seramai 1,842 pengunjung telah menghadiri program ini. Sebanyak 26 syarikat yang terlibat dalam industri penerbangan terlibat dalam program ini yang menawarkan sebanyak 288 peluang pekerjaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.