Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

200) PELABUHAN KETIGA DI PULAU CAREY

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status pembangunan Pelabuhan Ketiga di Pulau Carey?

    Mesyuarat Jemaah Menteri yang telah diadakan pada 3 November 2023 bersetuju supaya cadangan Pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey diteruskan dan satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan yang dianggotai oleh semua Kementerian dan agensi Kerajaan serta pihak yang berkepentingan untuk memperincikan peranan dalam perancangan pembangunan ini. Bengkel Pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey telah diadakan oleh Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Lembaga Pelabuhan Kelang dan PLANMalaysia Selangor untuk membincangkan hala tuju pembangunan dan seterusnya meneliti perancangan serta mengenal pasti isu-isu dan cabaran selanjutnya. Pada masa ini, Kementerian Pengangkutan bersama LPK dan PLANMalaysia Selangor sedang dalam proses akhir untuk melengkapkan Terma Rujukan Pembentukan Jawatankuasa Pembangunan Pulau Carey.

  2. Apakah peranan yang telah dimulakan oleh Kerajaan Negeri sebagai negeri yang akan menempatkan lokasi?

    Kerajaan Negeri mengambil maklum dan menyambut baik cadangan Pembangunan Pelabuhan Ketiga di Pulau Carey untuk merangsang dan meningkatkan ekosistem ekonomi maritim sedia ada di Selangor, menambah baik ketersediaan tanah bagi tujuan pembangunan perindustrian, meningkatkan kesalinghubungan pelabuhan darat untuk menyokong penggunaan domestik dan perdagangan asing dalam jangka masa panjang.

    Sejajar dengan itu juga, Kerajaan Negeri melalui PLANMalaysia Selangor telah membangunkan Pelan Induk Pembangunan Pulau Carey Klang Selangor yang komprehensif bagi menggalakkan pembangunan Bandar Pelabuhan dan Perkhidmatan Maritim yang pintar bertaraf antarabangsa serta berdaya laksana, di mana Pembangunan Pelabuhan Ketiga merupakan salah satu elemen utama yang terkandung dalam pelan induk tersebut dan merupakan enjin pertumbuhan kepada kawasan Pulau Carey. Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk anak-anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor turut sama dilibatkan secara aktif dalam Pembangunan Pelabuhan Ketiga ini dalam merancang pembangunan jangka panjang untuk memastikan manfaat dan recurring income diperolehi.

Lampiran

Tiada Lampiran.