Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
79) PELABUHAN KELANG FREE ZONE (PKFZ)
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Kecoh berhubung dengan PKFZ. Walaupun PKFZ di bawah pentadbiran Persekutuan, tetapi oleh kerana ianya berada di dalam negeri Selangor, maka sebagai rakyat negeri Selangor kita bertanya kepada YAB DATO' Menteri Besar. Apakah masalah sebenarnya yang menimbulkan kekecohan berhubung dengan PKFZ
Pertama kontroversi pembelian tapak PKFZ sebesar 1000 ekar. Kuala Dimensi Sdn. Bhd. membelinya daripada koperasi nelayan pada harga RM3.00 sekaki persegi (jumlah nilai RM95 juta), tetapi menjualnya tiga tahun kemudian pada tahun 2002 kepada Lembaga Pelabuhan Klang pada RM25.00 sekaki persegi (jumlah nilai RM1.8 bilion).
Pada waktu pembelian itu disyorkan, Kementerian Kewangan dan Kamar Peguam Negara mengesyorkan pengambilan “compulsory acquisition” pada harga RM10 sekaki persegi atau RM720 juta tetapi syor ini ditolak.
Kedua, Lembaga Pelabuhan Klang kemudian melantik Kuala Dimensi sebagai kontraktor projek PKFZ dengan nilai projek RM1.3 bilion, dan perjanjian tambahan meningkatkan kosnya dengan RM500 juta lagi.
Ketiga, kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan juga meluluskan pinjaman “softloan” sebanyak RM4.6 bilion kepada PKFZ.
-
Mengapakah Kerajaan Negeri Selangor bercadang mengawasi PKFZ di bawah seorang EXCO
Peranan EXCO tersebut antara lain adalah:-
- Memastikan bahawa pelantikan dibuat dengan betul mengikut undang-undang
- Memahami Dasar Kerajaan Berkaitan dengan Lembaga Pelabuhan Kelang
- Memahami Hubungan Fidusiari dengan Lembaga Pelabuhan Kelang dengan bersikap jujur apabila membuat keputusan, menyokong atau menentang sesuatu perakuan.
- Memahami dan memastikan bahawa dasar yang digubal dan diluluskan adalah selaras dengan penubuhan Lembaga Pelabuhan Kelang dan tidak bercanggah dengan undang-undang serta dasar dan arahan Kerajaan.
- Sentiasa mengambil perhatian dan mematuhi keputusan Jemaah Menteri yang berkaitan dengan Lembaga Pelabuhan Kelang. Memastikan pihak pengurusan tidak menjalankan kegiatan yang bertentangan dengan keputusan Lembaga Pengarah, dasar serta arahan Kerajaan.
- Menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua mesyuarat Lembaga .
- Menentukan Lembaga Pelabuhan Kelang mempunyai sistem dan peraturan yang berkesan.
- Memastikan Lembaga Pelabuhan Kelang mempunyai sistem perancangan dan peranan yang baik bagi melaksanakan program dan projek
- Memastikan Lembaga Pelabuhan Kelang mempunyai dasar dan peraturan kewangan dan perakaunan yang sempurna.
- Memastikan bahawa wang yang dipinjam untuk Lembaga Pelabuhan Kelang diuruskan dengan baik.
- Bertindak dengan berhati-hati semasa mempertimbangkan mana-mana pelaburan.
- Memastikan sebarang keputusan yang dibuat oleh anak syarikat mendapat kelulusan Ahli Jemaah Lembaga.
- Memastikan Lembaga Pelabuhan Kelang ditadbir dengan cara yang ekonomik, cekap dan berkesan.
- Memastikan Lembaga Pelabuhan Kelang mempunyai sistem kawalan dalaman yang berkesan untuk penyelenggaraan rekod dan akaun.
- Bertanggungjawab memastikan akaun Lembaga Pelabuhan Kelang di sedia dan di bentang untuk pertimbangan Ahli Jemaah Lembaga.
- Bertanggungjawab meneliti laporan, teguran serta pemerhatian yang dibuat oleh Juruaudit Luar ke atas akaun Lembaga Pelabuhan Kelang.
-
Sejauh manakah terjejasnya kepentingan negeri Selangor berhubung dengan kekecohan PKFZ.
Kerajaan Negeri Selangor telah mengumumkan kesediaan untuk membeli PKFZ pada harga nominal RM1 untuk memajukannya semula demi kebaikan pembangunan negeri dan negara. Walau bagaimanapun kerajaan pusat tidak bersetuju. Oleh itu kerugian yang melanda PKFZ menjejaskan wang pembayar cukai yang begitu banyak di samping merugikan potensi yang boleh diberikan menerusi infrastruktur tersebut.