Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
136) PEKERJAAN SEKTOR GIG
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Datuk Wira Johan Bin Abd Aziz
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Mohon nyatakan data pekerjaan sektor GIG.
Buat masa ini, Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia tiada data khusus berhubung statistik pekerja di bawah ekonomi gig negeri Selangor. Walau bagaimanapun, pelbagai program telah dilaksanakan di peringkat Kerajaan Negeri melalui beberapa portfolio dengan menyasarkan pekerja gig sebagai penerima manfaat. Di antara program – program tersebut adalah seperti berikut:
i. Program Gigcare
Program ini dilaksanakan oleh Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja bertujuan untuk membantu seramai 1,000 orang dalam kalangan pekerja perkhidmatan gig bagi membiayai caruman perlindungan di bawah skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk tempoh setahun serta memberi kesedaran kepada mereka mengenai kepentingan perlindungan PERKESO bagi menjamin masa depan mereka dan seisi keluarga.
ii. Program Bike Care
Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja telah menyediakan bantuan sebanyak RM1,000.00 sebagai bayaran pendahuluan bagi pembelian motosikal yang baharu sebagai usaha menggalakkan rakyat di negeri Selangor untuk menjana pendapatan melalui perkhidmatan P-Hailing di bawah ekonomi gig.
iii. Inisiatif Roda Darul Ehsan atau RiDE
Inisiatif RiDE yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda ini adalah bagi meringankan beban dan menggalakkan golongan belia yang terlibat secara sepenuh masa dengan industri penghantar makanan/barangan bermotor (P-Hailing) yang sah.
Tiada sumber tunggal maklumat yang tepat dan terperinci mengenai bilangan pekerja ekonomi gig atau majikan pada masa ini. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia akan berusaha dan bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan Negeri Selangor bagi mewujudkan satu pengkalan data bank berkenaan statistik pekerja di Negeri Selangor.
-
Agensi mana yang terlibat dalam memantau dan menyelaras kumpulan sektor ini?
Secara pentadbirannya, pekerjaan di bawah ekonomi gig adalah di bawah pemantauan dan penyelarasan beberapa pihak seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) yang baharu sahaja ditubuhkan pada tahun 2023.