Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
54) PEKERJA YANG DITAMATKAN PERKHIDMATAN ( UPPS )
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Pekerjaan
Adun: Y.B. Tuan Shatiri Bin Mansor
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah yang boleh dilakukan oleh UPPS untuk membantu pekerja-pekerja yang telah tamat atau diberhentikan pekerjaan ?
Selaras dengan objektif penubuhan Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) di bawah Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja, Kerajaan Negeri telah banyak membantu rakyat di negeri ini untuk mendapatkan kembali pekerjaan melalui penganjuran program – program dengan kerjasama beberapa Jabatan, agensi dan Badan – badan Bukan Kerajaan. Secara dasarnya, terdapat dua (2) sektor utama di bawah UPPS seperti berikut:
- Sektor Pemberdayaan & Hak Pekerja
- Sektor Pembangunan
Kedua-dua sektor ini adalah dikhususkan untuk merancang, menyelaras dan melaksanakan program-program tahunan dibawah UPPS. Memandangkan portfolio ini masih baharu ditubuhkan dan pelantikan kakitangan UPPS secara rasmi adalah pada 1 Oktober 2021, Jawatankuasa Tetap masih merangka dan memperhalusi beberapa cadangan program yang akan dijadikan sebagai program tahunan. Walau bagaimanapun, dalam tempoh sembilan (9) bulan beroperasi, UPPS telah berjaya menjalankan beberapa program serta menjalinkan usahasama strategik bersama pelbagai agensi / persatuan/ institusi pengajian yang berkaitan. Antara program-program tersebut adalah seperti berikut:
i. Program Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan dengan usahasama Kolej Kings dengan penyertaan seramai 750 orang peserta dalam kalangan B40.
ii. Program Latihan dan Penempatan Pekerja dengan usahasama Kolej Kings dengan penyertaan seramai 30 orang peserta program dalam kalangan B40.
iii. Persidangan secara maya bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melibatkan penyertaan seramai 100 orang peserta.
iv. Latihan pekerjaan dan penempatan segera dari kalangan B40 bersama usahasama AA Knowledge yang melibatkan penyertaan seramai 30 orang peserta.
v. Karnival Kerjaya Maya bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) melibatkan penyertaan seramai 100 orang peserta.
vi. Persidangan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melibatkan penyertaan seramai 140 orang peserta.
vii. Taklimat bersama Jobstreet berkenaan teknik carian kerja untuk golongan B40 melibatkan penyertaan seramai orang 150 peserta.
Sehingga kini, satu pencapaian yang boleh dikira membanggakan apabila UPPS telah berjaya menempatkan seramai 350 pekerja di syarikat-syarikat tempatan seperti WestPort, Citylink dan sebagainya. Disamping itu, UPPS kini sedang dalam proses untuk mewujudkan portal dalam talian dalam mempergiatkan usaha membantu pekerja-pekerja yang telah tamat atau diberhentikan pekerjaan dengan lebih efektif iaitu secara hybrid dimana peluang pekerjaan dapat disalurkan secara langsung kepada para pencari kerja dengan lebih mudah.
-
Apakah bentuk bantuan yang boleh dilakukan kepada graduan-graduan yang sedang mencari pekerjaan ?
Berkenaan hal tersebut, UPPS sedang menjalinkan hubungan dengan persatuan-persatuan siswazah untuk mengenalpasti graduan-graduan yang sedang mencari kerja dan memadankan mereka dengan syarikat-syarikat yang sedia memberi latihan serta peluang pekerjaan kepada graduan-graduan yang masih belum memiliki pengalaman kerja. Dalam pada itu, bagi tahun 2022, pelbagai program utama telah dilaksanakan di bawah UPPS dengan melibatkan penyertaan kecil graduan – graduan yang sedang mencari pekerjaan. Antaranya program-program yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:-
i. Program Jelajah Jobcare
Membantu Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama PERKESO Negeri Selangor dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran yang meningkat di negeri ini disamping menyumbang ke arah peningkatan produktiviti negara. Program jelajah Jobcare ini dilaksanakan di sembilan (9) daerah. Dalam pada itu daripada 1,495 pengunjung keseluruhan di kesemua program, seramai 892 peserta telah dikenalpasti berjaya mendapat pekerjaan dalam pelbagai bidang manakala 559 peserta menunggu bagi temuduga peringkat kedua.
ii. Program Jaminan Kerja Selangor
Program berkonsepkan pameran kerjaya dengan usahasama Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA).
iii. Program Gig Care-1,000
Membantu seramai 1,000 orang dalam kalangan pekerja perkhidmatan Gig bagi membiayai caruman perlindungan di bawah skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk tempoh setahun serta memberi kesedaran kepada mereka mengenai kepentingan perlindungan PERKESO bagi menjamin masa depan mereka dan seisi keluarga.
Sungguhpun begitu, bantuan kepada graduan-graduan yang sedang mencari pekerjaan sebenarnya adalah diletakkan di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Modal Insan yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Paya Jaras. Saya percaya Jawatankuasa Tetap Pembangunan Modal Insan juga mempunyai program – program khusus kepada golongan lepasan graduan yang merupakan kumpulan sasar utama di bawah Jawatankuasa tersebut. Dalam pada itu, selaras dengan visi UPPS bagi mengurangkan kadar pengangguran di negeri Selangor, Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja akan melaksanakan lebih banyak program-program dengan menerokai ruang dan peluang kerjasama strategik baru dengan pelbagai jabatan dan agensi agar agenda “Selangor Maju Bersama” dan matlamat bagi membantu golongan B40 yang terkesan akibat daripada penularan wabak pandemik Covid-19 khususnya mereka yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan dapat dicapai.